Keinginan China untuk naik menjadi kuasa besar nombor 1 dunia memang sudah diketahui ramai pihak. Impian China untuk menguasai dan menukar budaya tradisi dunia agar lebih selari dengan pemikiran dan ideologi masyarakat mereka yang digelarkan 'tianxia', sudah kami ulas lebih terperinci dalam artikel kami sebelum ini.

Semangat 'tianxia' bukan saja terhad kepada keinginan menguasai perdagangan serta ekonomi, bahkan keinginan China juga hadir memastikan kedaulatan dan kedudukan mereka dihormati dan diiktiraf kaum lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain tekanan ke atas kerajaan-kerajaan dunia serta mencipta kebergantungan ekonomi masyarakat luar kepada mereka, China juga sudah mula mengorak langkah menundukkan satu industri besar yang mahu diselia mereka - industri permainan video.

Berikut adalah lima kaedah yang sudah diamalkan China dalam mencipta kawalan dan tekanan kepada pengamal industri.

1. Peminat China desak judul videogame Taiwan dibekukan jualan

devotion haram jualan tekanan china taiwan

Sebuah permainan video seram keluaran syarikat Red Candle dari Taiwan yang berjudul 'Devotion' mula berhadapan kontroversi, selepas aduan berkenaan isi kandungan judul tersebut mula menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemain dari China.

Ini disebabkan oleh paparan beberapa elemen tulisan dan visual dalam judul tersebut yang menghina pemimpin tertinggi China, Xi Jinping - disamakan dengan watak popular 'Winnie the Pooh' keluaran Disney, yang menjadi topik sangat sensitif di China.

Dilancarkan pada bulan Februari tahun 2019, tekanan yang dihadapi beberapa portal jualan permainan video digital bagi memaksa penjualan 'Devotion' dihentikan dan ditarik balik timbul, sehinggakan portal-portal ini walaupun ada yang merancang penjualan semula judul ini pada Disember 2020.

Kini, judul ini yang menerima sambutan baik peminat yang sempat mendapatkannya hanya dijual di Taiwan, dalam bentuk fizikal.

2. China haramkan judul popular disebabkan kreativiti pemain

hong kong animal crossing sentimen anti china

Salah satu judul permainan video terbesar ketika ini yang bukan judul mobil, adalah 'Animal Crossing' - keluaran syarikat Jepun, Nintendo.

Berikutan kebebasan yang diberikan kepada pemain untuk mereka bentuk sendiri ladang kepunyaan mereka dalam judul tersebut, ramai pemain dari Hong Kong mula menggunakan ruangan maya yang dihubungkan secara dalam talian itu untuk menyuarakan protes mereka terhadap China.

Poster-poster anti China serta tuntutan ke atas kebebasan Hong Kong mula memenuhi ruangan digital judul tersebut. Krisis digitial ini memuncak selepas Joshua Wong, salah seorang pemimpin muda gerakan pembebasan Hong Kong memuatnaik tangkap layar judul tersebut melalui Twitter.

Judul itu yang sangat popular di China walaupun dijual dalam pasaran tidak rasmi, akhirnya diharamkan dan jualannya dihentikan kerana warga Hong Kong mula menjadikan judul tersebut lokasi mereka berhimpun beramai-ramai menunjuk perasaan.

3. Judul permainan legenda 'Street Fighter' dimoodifikasi agar mesra China

tekanan china street fighter hong kong fei long

'Street Fighter' keluaran syarikat Capcom dalam versi kedua judul tersebut, mengubah industri permainan video dunia.

Beberapa penambahbaikan kepada versi asal memperkenalkan pengenalan sistem baru serta penambahan watak pemain baru - salah satunya adalah watak Fei-Long, seorang lelaki mirip aktor terkenal mendiang Bruce Lee yang berasal dari Hong Kong.

Dalam versi kemaskini judul tersebut yang dikeluarkan pada tahun 2018, bendera Hong Kong yang sebelum itu digunakan bagi mewakili watak tersebut telah pun digantikan dengan bendera China, menggantikan bendera rasmi Hong Kong.

4. Usaha China melindungi persepsi mereka di kalangan pengguna maya

genshin impact padam istilah anti china

Dalam beberapa judul permainan video berbeza, kerajaan China didapati memperkenalkan larangan kepada pemain daripada menyebut atau menulis apa-apa frasa yang berbau negatif melibatkan kerajaan dan negara China.

Seorang pemain dari Taiwan yang gemar bermain judul 'JX Online 3', sebuah judul aksi mainan ramai pemain dalam talian, berhadapan penggantungan 10 tahun selepas dia didapati menggunakan frasa 'Wuhan virus' semasa bermain.

Judul permainan sensasi ketika ini, 'Genshin Impact' keluaran syarikat China MiHoYo pula didapati akan menutup dan memadamkan sebarang penggunaan frasa yang kurang disenangi kerajaan China. Cubaan pemain untuk menulis frasa seperti Taiwan, Hong Kong, Falun Gong, Hitler dan Putin disekat dalam sistem.

Judul popular PUBG juga tidak terlepas daripada sekatan China, di mana beberapa perkataan sensitif berkait politik akan disekat paparannya. Majoriti penerbit mengakui apa yang mereka lakukan adalah untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan China, agar dapat terus dibenarkan beroperasi.

5. Pemain bola sepak Muslim Jerman dipadamkan dari judul permainan video

mesut ozil dipadam daripada permainan video pes2020

Nama Mesut Ozil sangat terkenal di kalangan peminat bola sepak, sebagai antara pemain terbaik dunia yang seringkali berkait dengan kontroversi.

Salah satu kontroversi yang tercetus, adalah disebabkan sokongannya terhadap masyarakat Muslim Uyghur yang didakwa berhadapan tekanan kerajaan China agar mengubah identiti mereka.

Ciapannya menerusi akaun Twitter mendapat reaksi pelbagai pihak serta memberi kesan besar ke atas karier beliau.

Ekoran daripada kontroversi tersebut, kelab yang diwakilinya ketika itu Arsenal berdepan masalah besar, selepas kerajaan China mengharamkan siaran langsung bola sepak di antara kelab tersebut dengan Manchester City di China.

Arsenal juga diberikan amaran agar melakukan permohonan maaf kepada kerajaan dan masyarakat China, sekiranya tidak mahu berdepan kesan lebih buruk.

Selepas perbincangan berlangsung antara kelab dan wakil kerajaan China, kerajaan China membenarkan semula tayangan perlawanan melibatkan Arsenal - asalkan nama Mesut Ozil, tidak disebutkan sepanjang perlawanan.

Pada penghujung bulan Disember 2019, Mesut Ozil dipadamkan daripada judul permainan video Pro Evolution Soccer 2020 versi mobil oleh pengelola judul tersebut Netease di China.

Hujah mereka, pemain tersebut telah pun mengeluarkan kenyataan yang menghina keseluruhan masyarakat China. Karier Ozil terus menurun selepas itu, mula disisihkan serta seringkali menjadi bahan cemuhan sehinggalah dia berpindah ke Turki bagi memulakan kembali karier beliau.




Hakcipta iluminasi.com (2017)