Salah satu perbuatan jenayah yang sangat dibimbangi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, adalah aktiviti percetakan wang kertas palsu.

Dengan perkembangan teknologi yang memudahkan mana-mana individu mempunyai akses kepada mesin pencetak, kebimbangan ini menjadi semakin nyata sehingga memerlukan satu bentuk campur tangan drastik diusahakan, bagi memastikan sindiket wang palsu berjaya dikawal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk memastikan keberkesanan kawalan ini, pengeluar pencetak beserta kerajaan-kerajaan dunia bekerjasama secara rahsia - membangunkan satu teknologi yang tersembunyi berpuluh tahun lamanya, sebelum dibongkarkan kepada masyarakat dunia.

Rahsia 20 Tahun Terbongkar

yellowdots xerox sistem kod

Pada Oktober tahun 2004, majalah teknologi (ketika itu) PC World menerbitkan sebuah artikel berkenaan kejayaan pasukan penyiasat Belanda mengenalpasti sindiket percetakan wang palsu dengan menggunakan teknologi yang tidak dinyatakan dengan jelas.

Apa yang membingungkan pembaca ketika itu, pengakuan jurucakap Polis Belanda yang mengakui mereka bukan saja telah berjaya mengenalpasti ahli kumpulan sindiket tersebut - malahan tahu pencetak apa yang digunakan dan sedang menjejaki siapa pemilik pencetak tersebut.

Kenyataan itu menimbulkan pelbagai tanda tanya serta kontroversi, kerana orang ramai ingin mengetahui apakah teknologi yang telah digunakan oleh Polis Belanda sehingga begitu rapi sekali penyiasatan mereka.

Wartawan dan media cuba mendesak bagi mendapatkan jawapan, sehinggalah PC World sekali lagi menerbitkan sebuah artikel pada bulan November 2004 memberikan pembayang kepada satu rahsia yang telah disembunyikan daripada pengetahuan orang awam, khasnya pengguna mesin cetak selama ini.

Semua mesin pencetak laser sebenarnya akan mencetak kod tersembunyi dalam semua cetakan yang dibuat, mengandungi pelbagai informasi tentang mesin tersebut setiap masa.

Pengakuan Xerox membuka rahsia kerajaan

xerox yellow dot code identification

Dalam artikel tersebut, Peter Crean, penyelidik di syarikat Xerox yang merupakan salah sebuah pengeluar mesin cetakan terbesar dunia - menjelaskan mesin pencetak laser keluaran mereka, mempunyai fungsi tersembunyi yang tidak diberitahu kepada umum - mengesahkan apa yang dinyatakan Polis Belanda.

Semua dokumen yang dicetak mempunyai titik-titik kuning bersaiz 0.004 inci disembunyikan, antara huruf-huruf yang ada dalam setiap muka surat.

Titik-titik kuning ini diatur untuk membentuk kod bagi membolehkan mana-mana unit forensik di seluruh dunia mengenalpasti jenis, model, tarikh serta nombor siri mesin tersebut.

Itulah cara Polis Belanda memperolehi informasi dalam siasatan mereka, sehingga mereka mampu mengenalpasti jenama pencetak yang digunakan sindiket iaitu pencetak dari jenama Canon lengkap dengan nombor sirinya.

Pengakuan wakil Xerox ini menyebabkan rahsia yang selama ini disembunyikan, mula diselidiki sedikit demi sedikit.

Rupa-rupanya sejak pertengahan dekad 1980-an lagi pengeluar-pengeluar mesin cetak telah pun menandatangani perjanjian dengan kerajaan khasnya kerajaan Amerika Syarikat dan negara Eropah, untuk membangunkan sistem yang dikenali sebagai 'Kod Identifikasi Mesin' atau 'Machine Identification Code' (MIC) ke dalam setiap mesin cetakan.

MIC dibangunkan pada peringkat awal dengan menggunakan kepakaran Xerox yang membangunkan sistem kod titik kuning, digelarkan 'microdots' sebelum pengeluar-pengeluar lain turut memperkenalkan sistem keselamatan mereka sendiri.

Semua itu besar kemungkinan tidak akan didedahkan sekiranya kejayaan siasatan Polis Belanda dalam menumpaskan sindiket wang palsu di negara mereka, tidak dilaporkan dalam media.

Pengguna mula bersatu merungkai rahsia kod mesin pencetak

mesin pencetak laser privasi

Disebabkan pendedahan tersebut, Electronic Frontier Foundation atau EFF - sebuah badan bebas yang melindungi kebebasan orang ramai dalam isu digital, meminta kerjasama orang ramai menghantar kepada mereka pelbagai sampel cetakan untuk dikaji.

Ini akan membolehkan EFF mengenalpasti model-model yang mempunyai sistem MIC dibina di dalamnya secara senyap-senyap.

Hasil kajian EFF mula dilaporkan secara berkala dan setakat tahun 2017, mendapati majoriti pengeluar mesin pencetak laser daripada kesemua jenama, mempunyai sistem MIC dalam setiap cetakan sama ada dalam bentuk titik kuning, kod tersembunyi atau penggunaan corak-corak khas dalam dokumen.

Bantuan orang ramai menghantar sampel juga membantu EFF mengenalpasti kelainan mesin pencetak laser dengan mesin pencetak jenis lain seperti mesin 'inkjet' yang cukup popular.

Didapati 'inkjet' tidak mempunyai sistem MIC di dalamnya.

Ini diandaikan berlaku disebabkan hasil wang kertas palsu yang dicetak oleh mesin 'inkjet' mudah untuk dikenalpasti kepalsuannya kerana mempunyai kualiti lebih rendah, yang jauh berbeza berbanding pencetak laser.

Anda pilih sekuriti atau kebebasan?

microdots mesin cetak laser

Berikutan pendedahan tentang sistem rahsia ini, akhirnya fungsi 'microdots' didedahkan secara rasmi kepada orang awam pada tahun 2010.

Kerajaan Amerika Syarikat beserta 9 pengeluar mesin pencetak terbesar dunia iaitu Canon, Brother, Casio, Hewlett-Packard, Konica, Minolta, Ricoh, Sharp dan Xerox bersetuju untuk mematuhi akta yang dinamakan sebagai US Secret Service and Freedom of Information Act (FOIA).

FOIA menjadikan fungsi MIC sebagai satu fungsi rasmi yang wajib disertakan sekali, dalam semua pengeluaran produk mesin pencetak laser.

Pada tahun 2011 Xerox yang mempelopori teknologi MIC mula meletakkan kenyataan rasmi tentang MIC dalam manual produk mereka, menerangkan keperluan fungsi keselamatan tersebut disebabkan faktor keselamatan, mampu mengenalpasti aktiviti percetakan wang palsu dengan berkesan.

machine identification code pattern

Sehingga tahun 2018, empat sistem MIC yang berbeza didapati digunakan oleh kesemua pengeluar mesin cetak di seluruh dunia.

Walaupun demikian, setakat ini hanya satu yang berjaya ditafsir pengguna iaitu sistem titik kuning yang digunakan oleh Xerox.

3 lagi sistem MIC yang mencetak grid, corak dan pelbagai corak rawak pada dokumen belum dapat difahami sepenuhnya apa kandungannya - melainkan oleh pihak pengeluar.

Jadi beringatlah, sekiranya anda seorang pengguna mesin cetak laser sama ada di rumah atau di pejabat (termasuklah mesin fotostat), setiap dokumen yang anda cetak akan mengandungi kod-kod yang menunjukkan banyak maklumat tentang peranti anda.

Dalam satu kes tahun 2017 melibatkan seorang pembocor maklumat National Security Agency (NSA) Amerika Syarikat, beliau bertindak mencetak dokumen sulit dengan pencetak laser, untuk dihantar kepada pihak media.

Dengan hanya menggunakan imej dokumen tersebut saja, sudah cukup untuk pihak NSA mengenalpasti siapa dalang di sebalik kejadian itu.

Jangan kata kami tak beri amaran pada anda ya!

Rujukan

Reverse Engineering the Machine Identification Code




Hakcipta iluminasi.com (2017)