Ketika dunia sedang berhadapan dengan wabak Covid-19, kedengaran desas-desus yang dicetuskan oleh pihak barat tentang isu pengambilan semula Taiwan oleh China.

Dengan situasi kuasa barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom dikatakan lemah, disebabkan oleh tekanan menanggung akibat Covid-19; ada pihak mengutarakan kebimbangan adakah China akan mengambil kesempatan ke atas situasi yang boleh menguntungkan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pendapat sama turut diperkuatkan dengan krisis dingin yang sedang berlaku antara Taiwan dan WHO, yang didokong China.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat menjangkakan sasaran China ketika ini bukan Taiwan, sebaliknya Hong Kong - salah satu jajahan yang diperakui milik China yang sejak dahulu berdepan kemelut perebutan kuasa.

Satu negara - dua sistem

xi jinping carrie lam

Berbeza dengan Taiwan yang statusnya masih boleh diperdebatkan, Hong Kong ketika ini secara rasmi adalah sebahagian daripada China setelah penyerahan semula wilayah itu oleh kerajaan British kepada kerajaan China, berlaku bulan Julai tahun 1997.

Berikutan pengaruh British yang nyata agak berbeza dengan kaedah pemerintahan China, warga Hong Kong merasakan penyerahan semula itu secara amnya akan mengembalikan mereka kepada pemerintahan berbentuk komunis; di mana kebebasan yang selama ini mereka rasai akan kembali dikekang.

Disebabkan perasaan bimbang pemerintah dan warga Hong Kong terhadap perubahan yang bakal dilakukan China, pemerintah Hong Kong ketika itu iaitu British cuba melakukan rundingan sejak dekad 1980-an bagi melindungi kepentingan warga Hong Kong; di mana Hong Kong akur mereka akan kembali menjadi sebahagian daripada jajahan China tetapi dibenarkan mentadbir mengikut lunas sendiri.

pergolakan mogok boikot di hong kong china

Persetujuan dicapai di antara Britain dan China berjaya mengekalkan Hong Kong seperti sedia ada, mampu menubuhkan kerajaan sendiri, mempunyai kuasa penuh terhadap ekonomi mereka serta hubungan luar.

Sistem yang dinamakan sebagai 'One Country, Two System' berjaya dilaksanakan di Macau dan Hong Kong, membolehkan warga Hong Kong hidup di luar pengaruh kerajaan China. Malangnya, perjanjian itu hanya perlu dipatuhi selama 50 tahun, bakal berakhir pada tahun 2047.

Apa yang lebih memburukkan keadaan, China seakan tidak sabar dan enggan mematuhi perjanjian tersebut - mengakibatkan situasi di Hong Kong senantiasa tegang dari segi politik, ekoran ketidak tentuan masa depan 'negara' mereka.

Kebebasan warga Hong Kong

rusuhan 2019 hong kong

Undang-undang asas yang dilaksanakan di Hong Kong berjaya melindungi warga Hong Kong dalam bermacam perkara, jauh berbeza dengan warga China.

Dalam perjanjian yang berjaya dibentuk, Hong Kong juga mempunyai kuasa penuh ke atas perihal keselamatan negara mereka seperti yang terkandung dalam Artikel 23 perlembagaan negara itu.

Walau demikian, China pada 22 Mei 2020 telah pun menghantarkan draf resolusi bagi meminda beberapa perkara dalam artikel tersebut, bagi membolehkan beberapa bentuk tindakan dikategorikan sebagai satu bentuk jenayah. Bagi pengkritik, mereka melihat usaha terbaru China itu lebih mirip kepada pengenalan sistem undang-undang yang digunapakai di China dan bakal dilaksanakan di Hong Kong.

Pindaan yang sedang melalui perbincangan di antara kerajaan Hong Kong dan pemerintah tertinggi China dilaporkan akan menjadikan empat perbuatan utama sebagai satu jenayah; seandainya dilakukan.

Sebarang bentuk cubaan untuk memerdekakan Hong Kong, sebarang bentuk gerakan menentang kerajaan China, sebarang bentuk tindakan keganasan dan sebarang bentuk aktiviti melibatkan pihak luar, yang dilakukan di Hong Kong atas tujuan-tujuan di atas.

Di pihak China, mereka merasakan pindaan itu perlu dilakukan berikutan kegagalan pentadbir Hong Kong melindungi negara mereka disebabkan oleh bermacam insiden rusuhan serta keganasan yang telah berlaku. China percaya dengan pengenalan tersebut, insiden sedemikian rupa boleh dikawal dan dipantau dengan lebih berkesan.

Bagi warga Hong Kong khasnya, kebimbangan mereka nyata berpunca daripada sikap pentadbiran Hong Kong sendiri yang kelihatan tidak berani melawan permintaan/perintah China serta gagal memastikan China mematuhi perjanjian yang sepatutnya masih berbaki 27 tahun.

Apa masa depan Hong Kong?

penduduk hong kong pro british

Usaha China ini sebenarnya bukan kali pertama cuba dilakukan. China pernah mengusulkan pindaan serupa ke atas Artikel 23 Undang-Undang Asas Hong Kong pada tahun 2003 dan pindaan itu berjaya di bawa ke peringkat parlimen.

Berikutan tindakan kerajaan Hong Kong itu, 500,000 warga Hong Kong melakukan tunjuk perasaan besar-besaran bagi membantah cubaan pindaan tersebut mengakibatkan beberapa wakil dalam kerajaan Hong Kong meletakkan jawatan, sebagai menyatakan sokongan mereka kepada orang ramai.

Disebabkan oleh perletakan jawatan, parlimen Hong Kong gagal untuk meluluskan pindaan tersebut dan isu itu dibiarkan reda, sehinggalah beberapa hari lalu apabila kerajaan China sekali lagi kembali mencampuri urusan Hong Kong.

Rusuhan besar-besaran kembali berlaku pada tahun 2019, selepas kerajaan China cuba meminda undang-undang ekstradisi Hong Kong; dianggap melanggar hak autonomi negara tersebut serta membolehkan China campur tangan secara langsung dalam urusan-urusan penangkapan melibatkan individu yang disyaki anti-China di Hong Kong.

Apa yang jelas - sekiranya kita berada dalam situasi sama di Hong Kong, pasti kita akan merasa bimbang dengan apa yang berlaku. Setelah biasa ditadbir badan yang memberikan warga mereka hak, untuk kembali diserahkan kepada pemerintah yang jelas tidak gemar dikritik merupakan sesuatu yang sukar untuk ditelan.

China harus diakui bijak memilih waktu yang cukup baik untuk melaksanakan pindaan ini, di tengah-tengah pandemik yang melanda di seluruh dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)