Apabila Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) beberapa bulan yang lalu di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru dibentuk, maka jawatan beliau sebagai Mufti Wilayah Perseketuan secara automatiknya terpaksa dikosongkan.

Setelah sekian lama rakyat Malaysia berteka-teki siapakah yang bakal mengisi kekosongan tersebut, persoalan ini akhirnya terjawab apabila Dr. Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Perseketuan yang baharu bagi sesi berkuat kuasa mulai 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkara ini disahkan sendiri oleh pihak Universiti Malaya sendiri yang mengeluarkan poster ucapan tahniah kepada Dr. Luqman Abdullah. Untuk makluman, Dr. Luqman Abdullah bertugas sebagai Ketua Jabatan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya.

Surat perlantikan ini dikatakan sudah diterima oleh beliau. Majlis penyerahan atau peralihan jawatan ini telah dilangsungkan pada hari ini 17 Mei 2020 dan disahkan melalui Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Kami di Iluminasi mengucapkan tahniah kepada Dr. Luqman Abdullah atas perlantikan ini. Mari kenali sedikit sebanyak latarbelakang insan hebat ini yang bukan calang-calang orangnya.

Anak seorang ulamak terkenal

tuan guru hj abdullah lubuk tapah

Tuan Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah (Kredit: FB Page)

Nama penuh beliau adalah Dr. Luqman bin Haji Abdullah. Beliau dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan Lemal, Pasir Mas (1976-1980), Sekolah Menengah Ugama, Pasir Mas (1981-1986), Pra Akademi Islam Universiti Malaya Nilam Puri (1987-1989) dan peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya (1989-1993).

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa beliau juga merupakan anak kepada seorang ulama terkenal iaitu Al Marhum Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman. Dr. Luqman juga merupakan Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah dan mendapat pendidikan awal agama daripada bapanya sendiri daripada peringkat bawah sehinggalah peringkat tinggi dalam pelbagai bidang seperti nahu, saraf, fiqh, usuluddin, tafsir, hadis, mantiq dan balaghah. 

Beliau kemudiannya pernah melanjutkan pengajian selama 4 tahun di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian di peringkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di Universiti Edinburgh dalam bidang undang-undang harta Islam.

Peranan dan fungsi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa

dr luqman haji abdullah 940

Sebelum dilantik sebagai Mufti Wilayah Perseketuan, Dr. Luman merupakan Ketua Jabatan Usul dan Fiqh, Pengajian Islam di Universiti Malaya. Malah, CV beliau juga boleh diakses di halaman Universiti Malaya dengan mengklik pautan ini: CV Dr. Luqman.

Beliau juga mempunyai kepakaran sebagai penasihat syariah di beberapa agensi awam antaranya di Kelantan, Selangor, Johor dan swasta serta menganggotai panel pakar syariah JAKIM. Pencapaian beliau bukan sahaja di peringkat nasional bahkan di luar negara amat banyak. 

Beliau juga aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam forum, seminar dan konferens sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di dalam dan di luar negara dalam bidang wakaf, zakat, usul fiqh dan pengajian tradisional dan telah menghasilkan beberapa penulisan ilmiah dalam jurnal-jurnal dan prosiding-prosiding di dalam dan luar negara. 

Dr. Luqman juga pernah menjadi Panel Penasihat Syariah bagi beberapa organisasi atau syarikat antaranya Amanah Raya Berhad, MAA Takaful, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, MBSB Bank Berhad, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ Malaysia dan banyak lagi. Sesungguhnya peranan dan tanggungjawabnya di peringkat nasional amatlah banyak.

Kecintaan terhadap institusi sekolah pondok

kenali mufti wilayah baru

Walaupun terdapat segelintir pihak yang memandang rendah institusi pendidikan pondok, Dr Luqman berjaya membuktikan sebaliknya. Malah, Dr. Afifi al-Akiti (Lulusan pHD dan Pensyarah Universiti Oxford) dan adiknya Dr. Ayman al-Akiti (mendapat pHD daripada Universiti Al-Qawariyyun, universiti tertua dunia) membuktikan bahawa lulusan pondok juga boleh berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Walaupun ketika masih bertugas di Universiti Malaya, Dr. Luqman bersama adindanya Ustaz Hamdan meneruskan amanah Al Marhum Ayahandanya dengan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah selepas pemergian ayahandanya.

Di bawah kepimpinannya dan Ustaz Hamdan serta Hajjah Kamariah (ibu), mereka telah menubuhkan Akademi Tuan Guru Haji Abdullah Sdn Bhd. Ianya merupakan sebuah syarikat kebajikan yang berperanan sebagai pencari dana untuk sekolah  pondok tersebut dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat.

Untuk makluman, Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah merupakan antara sekolah pondok tertua di Kelantan. Sekolah pondok ini juga telah melahirkan ramai insan-insan hebat.

Dr. Luqman adalah antara permata berharga selaku ilmuan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah di Malaysia yang seharusnya kita hargai. Pelantikan beliau sebagai MUfti Wilayah ke-8 oleh Duli Tuanku YDP Agong merupakan satu pilihan tepat dan bijak. Semoga Sahibus Samahah Dr. Luqman Haji Abdullah dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan telus dan saksama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)