Salah satu bukti kemajuan tamadun manusia adalah melalui penciptaan sistem kiraan masa.

Hasilnya, tamadun itu mampu meramal pergerakan hari, bulan dan tahun membolehkan kepada penciptaan sistem kiraan yang mampu membantu manusia menganggarkan pergerakan masa dengan lebih tepat.

Daripada pengetahuan yang ada, lahirlah sistem kalendar yang memudahkan kita mengukur jarak masa tahun ke tahun. Wujud banyak jenis kalendar berbeza, ada yang sudah dianggap pupus dan ada yang masih diamalkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kalendar Saka yang dicipta oleh masyarakat India merupakan antara sistem kalendar yang masih diamalkan, bukan sekadar mewakili sesuatu komuniti tertentu; sebaliknya merupakan kalendar rasmi negara India. Jika kita sekarang berada dalam tahun 2020, di India mereka kini turut berada dalam tahun 1942.

Sejarah kalendar Saka

raja shalivahana india saka kalendar

Dalam bahasa Melayu, kita menamakan kalendar ini sebagai kalendar Saka namun bagi masyarakat India, istilah rasminya adalah Shalivahana Saka - sempena nama Raja Shalivahana, seorang raja Empayar India yang berjaya menakluki jajahan luas di negara tersebut.

Kisah tentang Raja Shalivahana unik, kerana beliau adalah antara orang kebanyakan yang berjaya memecahkan tradisi masyarakat India naik dilantik menjadi Raja.

Anak seorang pembuat tembikar yang hidup susah sejak kecil di Kotilingala (kini), Shalivahana mula disanjung masyarakat di kawasan kelahirannya, selepas satu insiden rompakan yang berjaya digagalkan Shalivahana melibatkan cubaan menyamun kereta lembu milik penduduk yang membawa barang dagangan.

Daripada insiden itu Shalivahana mula dihormati dan diangkat sebagai ketua penduduk di situ, mula meluaskan pengaruhnya sehinggalah akhirnya naik menjadi Raja Shalivahana.

Selepas kemenangan melawan tentera Empayar Uijayini yang diketuai Raja Vikramaditya, Raja Shalivahana mengisytiharkan permulaan era baru yang dikenali sebagai Era Shalivahana pada tahun 78, memulakan hari pertama dalam kalendar Saka seterusnya menjadi titik tolak perkembangan empayar besar tersebut.

Digunakan semula selepas tamat era penjajahan

nehru saka calendar 1957

Penggunaan kalendar Saka mula perlahan selepas kejatuhan Empayar Shalivahana namun usaha untuk mengekalkan tradisi itu dimulakan kembali selepas kejatuhan kerajaan British di India.

Pada 22 Mac tahun 1957, jawatankuasa kalendar India dalam usaha mereformasikan identiti negara itu yang telah tergugat disebabkan campur tangan British - memilih untuk memperkenalkan kembali sistem kalendar Saka, secara rasmi diisytiharkan sebagai tarikh permulaan =kalendar Saka yang pada ketika itu sudah masuk tahun 1879.

Setiap tahun, masyarakat India akan memulakan hari pertama dalam kalendar Saka pada setiap 22 Mac mengikut kalendar Gregorian atau tarikh sebenarnya 1 Chaitra, nama bulan pertama dalam sistem kalendar tersebut.

Oleh kerana dikira menggunakan kiraan solar, jumlah hari yang ada dalam setahun kekal seiring dengan kalendar Gregorian. Dalam tahun lompat, tarikh 21 Mac akan diambil sebagai 1 Chaitra. Bagaimanapun jumlah hari yang terkandung dalam tiap-tiap bulan agak berbeza dengan sistem Gregorian.

Chaitra, Vaisakha, Jyaishta dan seterusnya

bulan bulan dalam kalendar saka

Kerajaan India memilih untuk mengekalkan majoriti nama asal yang diperkenalkan semasa era Shalivahana, jadi kalendar Saka mempunyai nama bulan Chaitra, Vaisakha, Jyaistha, Asadha, Sravana, Bhadra, Asvina, Kartik, Agrahayana Pausa, Magha dan Phalguna.

Chaitra mempunyai 30 hari dalam sebulan, 31 dalam tahun lompat. Bulan seterusnya sehinggalah Bhadra mempunyai 31 hari dan bulan-bulan selebihnya mempunyai 30 hari.

Idea sebenar penggunaan kalendar Saka ini sebenarnya dimulakan oleh Perdana Menteri pertama India yang cukup terkenal, Jawaharlal Nehru bagi menyatukan sistem kiraan hari dalam aspek sivik, sosial dan lain-lain.

Dalam memilih kalendar yang sesuai untuk digunakan sekali dengan kalendar Gregorian, kerajaan India meletakkan syarat agar kalendar itu bebas daripada unsur agama serta mudah difahami masyarakat mereka.

India sebenarnya mempunyai beberapa jenis kalendar lain dalam tamadun mereka seperti kalendar Vikram, Tamil, Nepali dan sebagainya - tetapi hasil penelitian jawatankuasa yang ditubuhkan menyimpulkan bahawa kalendar Saka memberikan mereka identiti yang dicari serta persamaan dengan Gregorian yang akan memudahkan urusan.

Penggunaan rasminya dimulakan pada tarikh 1 Chaitra 1879 mengikut era Saka bersamaan dengan 22 Mac 1957.

Masyarakat lain yang menggunakan kalendar Saka

perayaan nyepi orang hindu bali

Oleh kerana kedudukannya dalam sistem pentadbiran India sudah digazetkan, kewajipan untuk mengunakannya secara formal mula diamalkan selepas itu. Semua urusan rasmi kerajaan India menamakan tarikh menggunakan kalendar Saka (selain Gregorian) selain daripada penggunaan dalam hebahan media.

Pengunaan kalendar Saka bukan terhad kepada India semata-mata. Di Tibet, akibat daripada penaklukan Rana Bahadur Shah yang berlaku pada tahun 1769, Bahadur Shah memperkenalkan sistem kalendar Saka bagi menggantikan sistem kalendar Nepal yang ada pada ketika itu. Sehingga kini kalendar itu masih lagi digunakan di kalangan masyarakat Nepal.

Di Bali, Indonesia - akibat daripada pengaruh agama Hindu, kalendar Saka masih lagi diamalkan oleh mereka khasnya melibatkan sambutan yang dinamakan acara Nyepi. Pada setiap hari permulaan kalendar Saka di Bali, acara Nyepi akan dimulakan di mana penganut agama Hindu di Bali akan berpuasa dan memencilkan diri mereka.

Berbeza dengan kalendar Saka di India, kalendar di Bali mempunyai nama bulannya sendiri yang lebih mirip dengan dialek tempatan namun daripada segi sejarah dan kiraan, kedua-duanya menggunakan kaedah serupa. Upacara Nyepi yang disambut pula diambil daripada tradisi masyarakat Hindu di India yang meraikan acara yang dinamakan Ugadi.

Sehingga kini kedua-dua kelompok masyarakat di India dan Indonesia berkongsi perayaan ini, masih terus meraikan tradisi ini dengan suasana meriah sempena meraikan kehadiran 1 Chaitra di India atau 1 Kaso di Indonesia setiap tahun.

Rujukan

Bringing India ‘up to date’ with calendar unification




Hakcipta iluminasi.com (2017)