Ada masanya perubahan secara besar-besaran perlu dilakukan kerajaan mana-mana negara, dalam memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat serta pemerintah dilindungi dengan lebih baik.

Satu tindakan yang jarang sekali diambil dalam merombak semula sistem sesebuah negara, adalah dengan menubuhkan atau mengalihkan ibu negara yang telah berkembang pesat ke satu kawasan baru; bagi menyelesaikan masalah yang telah wujud sekian lama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara negara yang sedang menjalankan proses ini adalah Indonesia; merancang perpindahan ke Kalimantan, yang terletak di kepulauan Borneo.

Dalam sejarah moden, sudah beberapa kali pihak kerajaan sesetengah negara memilih untuk memindahkan ibu negara mereka ke kawasan baru. Ini 5 contoh negara yang berjaya atau sedang memindahkan ibu negara mereka.

1. Brazil : Rio de Janeiro ke Brasilia

nigeria new capital

Perbincangan untuk memindahkan ibu negara Brazil ke sebuah kawasan lain, bakal dinamakan sebagai Brasilia sudah bermula pada abad ke 19.

Namun rancangan itu hanya berjaya digerakkan pada tahun 1956 dan pengisytiharan Brasilia sebagai bandar ibu negara baru Brazil, berjaya dibuat pada 21 April 1960 selepas lebih 40 bulan pembinaan.

Pengisytiharan itu sekaligus membolehkan Brasilia menggantikan Rio de Janeiro sebagai ibu negara Brazil - memenuhi rancangan asal sejak tahun 1827, ekoran kedudukan Brasilia yang lebih strategik. Ini diyakini dapat membantu perkembangan ekonomi Brazil dengan lebih sekata.

brasilia ganti rio de janeiro

Terletak di kawasan tinggi, sebuah kawasan tasik buatan dinamakan sebagai Tasik Paranoa dibuka sebagai kawasan tadahan air bandar tersebut.

Walaupun berstatus ibu negara, Brasilia hanya merupakan bandar keempat paling ramai populasi selepas Sao Paulo, Rio de Janeiro dan Salvador dengan jumlah 2.5 juta orang keseluruhan.

Cuba anda tanya orang ramai apa ibu negara Brazil? Pasti ramai yang akan menjawab Rio de Janeiro, bukan Brasillia.

2. Mesir : perpindahan Kaherah ke bandar baru

cairo new capital

Diumumkan pada tahun 2015 oleh Menteri Perumahan Mesir ketika itu, perpindahan ibu negara Mesir iaitu Kaherah ke sebuah kawasan baru dirancang sebagai solusi kepada masalah kesesakan yang melanda Kaherah sekian lama.

Kawasan baru itu terletak 45 km ke bahagian timur bandar Kaherah sekarang, namun belum dinamakan secara rasmi.

Pembukaan bandar baru itu diharap akan memberi kesan limpah pembukaan kawasan baru lain selain akan memendekkan masa perjalanan yang perlu ditempuhi untuk tiba ke Terusan Suez.

Dianggarkan ibu negara baru Mesir yang ketika ini dinamakan dengan nama sementara 'Kawasan Pentadbiran Baru', akan mempunyai keluasan 700 km persegi serta bilangan penduduk seramai 6.5 juta orang.

mesir kaherah pindah ibu negara

Perancangan awal kerajaan Mesir adalah untuk memulakan operasi kerajaan seterusnya merasmikan bandar tersebut pada bulan Jun 2019.

Bagaimanapun, ekoran kekangan kewangan yang diperlukan, dianggarkan sekitar RM260 billion keseluruhannya - telah menyebabkan kerajaan Mesir mengumumkan tarikh pertengahan tahun 2020 sebagai tarikh anggaran bandar itu bakal siap.

Wabak pandemik yang melanda tidak membantu projek tersebut dan statusnya masih lagi dalam pembinaan.

3. Nigeria : Lagos ke Abuja

nigeria abuja lagos

Rancangan memindahkan ibu negara Nigeria daripada bandar Lagos ke Abuja didorong oleh beberapa faktor.

Kadar kepadatan penduduk di Lagos yang terlalu tinggi, diburukkan dengan ruangan tanah yang tidak mencukupi bagi membolehkan pembangunan dijalankan. Selain itu, kedudukan Lagos yang terletak betul-betul di tepi laut menyebabkan bandar itu berdepan risiko pencerobohan pihak asing yang tinggi.

Bagi menyelesaikan masalah itu, kerajaan Nigeria merancang untuk membangunkan sebuah bandar terancang dinamakan sebagai Abuja, mengambil nama sebuah bandar lain yang telah wujud. Abuja lama diberikan nama baru Suleja.

Pembangunan terancang yang bermula pada dekad 1970-an hanya selesai pada tahun 1991.

bandar abuja city capital

Pengisytiharan Abuja (baru) sebagai ibu negara Nigeria selamat dilangsungkan pada 21 Disember 1991.

Dianggap sebagai salah sebuah bandar paling kaya di benua Afrika, jumlah penduduk Abuja berada pada tahap 1.2 juta orang menjadikan bandar tersebut bandar ketujuh dari segi jumlah populasi di Nigeria.

4. Kazakhstan : Almaty ke Astana/Nur-Sultan

almaty jalanraya ibu negara bekas

Almaty merupakan ibu negara Kazakhstan sejak tahun 1929 sehinggalah tahun 1997.

Pada tahun 1997, kerajaan Kazakhstan memindahkan ibu negara mereka ke sebuah kawasan baru bernama Akmola, menukarkan nama 'Akmola' kepada 'Astana', seiras dengan kedudukannya sebagai ibu negara baru negara tersebut.

Astana menjadi ibu negara kedua tersejuk di dunia yang mempunyai suhu sekitar -30 ke -35 darjah celcius semasa tiba musim sejuk sekitar bulan Disember sehingga Mac.

Oleh kerana cuacanya yang agak mencabar, kadar populasi Astana rendah; hanya sekitar 1.03 juta orang sahaja mendiami ibu negara tersebut dengan kadar pertambahan rendah, tahun ke tahun.

astana kazakhstan ibu negara

Pada bulan Mac 2019, kerajaan Kazakhstan secara rasmi menamakan semula Astana sebagai 'Nur-Sultan' demi mengenang jasa bekas Presiden pertama negara Kazakhstan yang telah meletakkan jawatan iaitu Nursultan Nazarbayev.

Beliau memegang kuasa sejak tahun 1990.

5. Myanmar : Yangon ke Naypyidaw

yangon city capital myanmar

Dipilih sebagai ibu negara Myanmar menggantikan Yangon pada tahun 2006, Naypyidaw menjadi lokasi di mana kesemua lokasi-lokasi penting kerajaan Myanmar ditempatkan, termasuklah kediaman rasmi ahli kabinet serta mahkamah tinggi Myanmar.

Terletak 320 km daripada Yangon, Naypyidaw dipilih berdasarkan kepada beberapa keperluan kerajaan tentera Myanmar.

Kedudukan Naypyidaw lebih strategik berbanding Yangon, membolehkan perkembangan ekonomi di kalangan masyarakat dapat diseimbangkan.

nyapyidaw myanmar ibu negara baru

Walaupun begitu, beberapa pihak tetap skeptikal dengan perubahan itu.

Mereka mendakwa kerajaan Myanmar sengaja memindahkan ibu negara mereka bagi melindungi kerajaan daripada sebarang bentuk pergolakan, sekiranya berlaku.

Rekaan bandarnya juga unik - direka untuk menyukarkan orang ramai berhimpun (untuk tunjuk perasaan dan sebagainya) melalui susunan infrastruktur yang mempercepatkan proses segregasi terancang dilaksanakan bila perlu, oleh pihak berkuasa.

Naypidaw juga mempunyai jalan raya bersaiz lapan lorong dibina bagi memudahkan kapal terbang mendarat, seandainya berlaku kecemasan.

Satu masalah besar yang dihadapi kerajaan Myanmar adalah keenganan orang ramai untuk berpindah ke Naypidaw, menyebabkan bandar besar dan moden itu ada kalanya kelihatan seolah-olah tidak berpenghuni serta agak sunyi.

Sehinggakan ada pihak menggelarkan Naypidaw bandar berhantu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)