Lembah Maut atau Death Valley di California, Amerika Syarikat, terkenal dengan suhu ekstrem dan landskapnya yang unik. Salah satu keunikan di situ ialah Racetrack Playa, fenomena aneh di mana batu-batu besar yang terletak di dataran rata bergerak dengan sendiri di atas tanah lumpur. Gerakan batu itu meninggalkan kesan seperti satu landasan trek yang panjang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Batu bergerak atau dikenali sebagai sailing stone ini adalah fenomena geologi di mana bongkah batu bergerak dengan sendiri tanpa campur tangan manusia atau haiwan. Apa yang lebih membingungkan, ada antara bongkah batu itu mempunyai berat lebih daripada 300 kg dan bergerak sejauh 250 meter.

Apa yang menyebabkan fenomena ini menjadi tanda tanya para pengkaji dan pelawat, tiada siapa yang pernah melihat bongkah batu itu bergerak. Hanya terdapat bukti melalui jejak yang ditinggalkan di atas dataran lumpur yang telah kering.

sailing stone racetrack praya

Bekas laluan yang ditinggalkan memberi petunjuk aneh tentang pergerakan bongkah batu ini. Ada beberapa laluan kelihatan lancar dan sedikit melengkung, manakala sebahagian lagi pula dalam garis lurus dan tiba-tiba berubah dari sisi ke sisi lain.

Banyak juga trek laluan batu ini yang sejajar dan membuat gerakan melencong atau mengubah arah yang sama antara satu sama lain. Kemudian, batu-batu ini berhenti bergerak lagi untuk tempoh yang lama. Ada antaranya tidak bergerak dalam tempoh satu dekad atau lebih.

fenomena batu bergerak

Selama lebih 70 tahun, saintis bingung dengan fenomena ini dan cuba mencari jawapan bagaimana ia boleh berlaku. Beberapa penjelasan yang berpotensi telah diketengahkan seperti pusar debu, angin kuat, taufan dan juga medan magnetik.

Tanpa bukti kukuh untuk menyokong dakwaan sedemikian, kepercayaan yang lebih pelik mula timbul seperti penglibatan makhluk asing. Semakin lama makin ramai yang percaya dengan teori mengarut ini walaupun penerangan ilmiah mula ditemui pada tahun 2006.

sailing stone death valley

Penjelasan logik mengenai fenomena ini ialah; batu-batu yang berada di dataran tasik kering ini sebenarnya jatuh dari gunung-gunung yang berada di sekitarnya. Ketika musim sejuk dan pada keadaan yang tepat, air yang terdapat pada tasik ini akan terbentuk menjadi satu lapisan ais yang nipis dalam hanya semalaman.

Pada waktu siang pula, ais akan menjadi cair secara perlahan-lahan. Ais yang sedang mencair itu menjadi terapung di atas air. Hanya dengan sedikit bantuan angin dan ais cair yang terapung, batu yang berada dalam tasik itu mampu bergerak sedikit demi sedikit dan meninggalkan trek laluan mereka di lumpur.

sailing stone

Pada asalnya, penjelasan ini tidak diperolehi melalui pemerhatian sebenar tetapi melalui eksperimen dan pemerhatian lain yang berkaitan oleh seorang saintis NASA, Ralph Lorenz. Saintis itu memulakan penyelidikannya dengan memerhatikan fenomena yang sama berlaku di pantai-pantai sekitar Lautan Artik.

Dalam pemerhatiannya, batu-batu besar di sekitar pantai itu terapung di atas ais dan bergerak ke destinasi baru. Diilhamkan oleh kajian ini, dia melakukan eksperimen bagaimana mekanisma yang sama mampu menggerakkan batu-batu yang terdapat di Lembah Maut ini.

ralph lorenz

Ralph Lorenz

Eksperimen yang dilakukannya begitu mudah dan boleh dicuba oleh sesiapa sahaja di rumah. Lorenz meletakkan seketul batu dalam bekas Tupperware dan mengisinya dengan satu inci air, kemudian menyimpan bekas itu dalam peti sejuk.

Sebaik sahaja air menjadi beku, ketulan batu itu juga diliputi ais. Dia kemudian meletakkan batu yang diliputi ais itu dalam dulang yang diisi dengan pasir dan sedikit air. Kemudian, dengan hanya tiupan lembut, campuran batu dan ais itu bergerak merentasi dulang.

fenomena sailing stones

Walaupun penjelasan Lorenz ini adalah paling logik dan diterima umum, namun pada hakikatnya masih tiada seorang pun yang benar-benar menyaksikan fenomena ini berlaku selama bertahun-tahun lamanya.

Akhirnya pada tahun 2014, fenomena batu bergerak di Lembah Maut ini telah dikesan, direkodkan dan disahkan proses pergerakannya oleh Dr. Brian Jackson, seorang penyelidik dari Boise State University.

dr brian jackson

Dr. Brian Jackson

Selama tempoh dua bulan setengah, pasukan penyelidikannya menggunakan kaedah fotografi selang masa (time lapse) untuk menangkap imej beratus-ratus batu bagi mengesan pergerakan yang berlaku. Mereka dapati batu-batu ini hanya bergerak dalam masa beberapa saat dan minit. Purata kelajuan batu ini bergerak ialah antara dua hingga enam meter seminit.

Walaupun sains telah membuktikan fenomena ini dengan jelas, masih lagi terdapat unsur misteri yang belum terjawab. Sebagai contoh, dalam satu pemerhatian mendapati batu-batu yang berjarak sejauh 300 meter antara satu sama lain mula bergerak pada masa yang sama.

Batu-batu ini bergerak sehingga sejauh 60 meter sebelum berhenti. Walaupun kajian telah memberitahu kita bagaimana batu-batu ini boleh bergerak, koordinasi mereka yang sekata masih lagi menunjukkan terdapat jawapan yang masih belum ditemui dengan tepat.

Rujukan:

1. Misteri Batu Bergerak di Lembah Maut terjawab

2. Fenomena Sailing Stone di Death Valley

3. Apa yang menyebabkan batu bergerak di Lembah Maut




Hakcipta iluminasi.com (2017)