Sesetengah wanita dan barangan jenama Tupperware memang tidak dapat dipisahkan. Sekiranya isteri atau emak anda pemilik bekas jenama Tupperware, anda mesti akan maklum bagaimana obsesnya mereka dengan barangan jenama ini.

Sekiranya makanan anda atau anak-anak dibekalkan dalam bekas Tupperware, maka bersiap-sedialah untuk dimarahi sekiranya bekas tersebut hilang atau penutupnya hilang. Barang lain hilang tidak mengapa, jangan bekas Tupperware mereka. Jangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain bekas makanan, antara produk lain jenama Tupperware ini adalah botol air, pinggan dan cawan. Agak-agaknya kenapa sesetengah wanita seakan-akan obses sangat dengan Tupperware?

1. Berkualiti

Sekiranya anda hanya mencari bekas yang diperbuat daripada plastik untuk menyimpan makanan, sebenarnya terdapat banyak lagi pilihan yang anda boleh beli di pasar raya seperti Giant, Tesco dan Aeon. Walau bagaimanpun, bagi suri rumah yang tahu akan kualiti barangan jenama Tupperware, mereka pasti akan memilih Tupperware berbanding jenama lain.

Tidak dinafikan bekas jenama Tupperware ini lebih mahal berbanding jenama lain tapi bagi wanita, ianya berbaloi dengan kualitinya sendiri. Jangan terkejut sekiranya staf pekerja wanita di tempat kerja anda ada membuat "geng duit kutu" semata-mata hendak membeli barangan jenama Tupperware ya?

bekas menyimpan beras

Jangan terkejut sekiranya Tupperware juga ada mengeluarkan bekas untuk menyimpan beras. Harganya? Lebih kurang RM268. Bagi mereka yang bukan peminat Tupperware, pasti merasakan ianya sesuatu yang sangat mahal dan tidak masuk akal.

2. Mempunyai Keunikan dan Nilai Estetika

design menarik tupperware warna merah

Selain kualiti, Tupperware juga diminati oleh golongan wanita kerana ianya mempunyai nilai dan keunikan yang sendiri. Kadang-kadang Tupperware yang dibeli tidak digunakan malah tersimpan rapi dalam almari.

Tupperware juga kerap mengeluarkan produk dengan design baru yang sangat menarik. Sebagai contoh, anda boleh melakukan carian di internet mengenai katalog Tupperware dan anda akan jumpa katalog produk baru Tupperware berdasarkan tahun (tahun 2016, 2017 dll), tema (warna biru, corak bunga dll) ataupun musim (musim panas, sejuk dll).

Ada yang hanya membeli kerana design yang dikeluarkan dijual dalam kuantiti yang sangat terhad dan sukar diperolehi. Walau bagaimanapun bagi golongan wanita, dinasihatkan agar tidak terlalu banyak membeli barangan Tupperware sekiranya tidak digunakan kerana dikhuatiri dianggap membazir.

3. Pengaruh Rakan Sebaya

produk tupperware 800

Jangan ingat aktiviti seperti merokok dan ponteng sekolah sahaja disebabkan pengaruh rakan sebaya ya? Aktiviti mengumpul barangan Tupperware ini juga boleh bermula daripada rakan-rakan di pejabat terutamanya yang menjadi agen barangan Tupperware.

Daripada yang langsung tidak mempunyai barangan Tupperware pun boleh terjebak! Ada yang sanggup berlapar perut semata-mata ingin mengumpul wang bagi membeli barangan Tupperware yang diidam-idamkan. Malah, ada juga berpakat membuat geng duit kutu bagi memudahkan mereka mengumpul duit.




Hakcipta iluminasi.com (2017)