Oleh pada 24 Sep 2018 kategori

inejiro asanuma ditikam atas pentas 215

Apabila kebanyakan orang menonton perdebatan politik, pasti ramai yang beranggapan bahawa suasana akan menjadi tegang dan mungkin menimbulkan kekecohan tetapi tidaklah sampai ke tahap yang boleh menyebabkan kematian.

Akan tetapi, itulah yang terjadi di Tokyo pada 12 Oktober 1960 apabila seorang ahli politik terkenal telah dibunuh di atas pentas oleh seorang remaja dengan menggunakan sebilah pedang samurai semasa sedang bersiaran langsung.

Kejadian mengejutkan itu berlaku semasa Jepun berada dalam era yang tegang. Pada ketika itu, negara matahari terbit ini sedang merangkak bangun semula dari kekalahan mereka dalam Perang Dunia kedua dan undian bagi pemilihan calon Dewan Perwakilan Rakyat juga membesarkan lagi jurang di antara parti berhaluan kiri dan kanan.

gambar inejiro asanuma

Ahli politik yang menjadi mangsa itu ialah Inejiro Asanuma, ketua Parti Sosialis Jepun yang menyokong gerakan Parti Komunis China dan mengkritik hebat perhubungan di antara Jepun-Amerika yang penuh dengan kontroversi. 

Pada tahun 1959, Asanuma telah membuat lawatan ke China dan telah menyifatkan Amerika sebagai musuh bersama China dan Jepun. Ketika pulang dari China, Asanuma kelihatan memakai pakaian seragam seakan Pengerusi Parti Komunis China iaitu Mao Zedong. Ini merupakan satu langkah yang berani kerana Mao dan partinya tidak diiktiraf di Jepun.

Ketika memberikan ucapan di Dewan Hibiya di hadapan 1,000 orang hadirin pada 12 Oktober itu, Asanuma berasa dia akan mendapat sokongan daripada sebahagian hadirin mengenai pencalonannya.

gambar otoya yamaguchi

Namun, para penonton yang hadir terkejut apabila seorang remaja berusia 17 tahun iaitu Otoya Yamaguchi telah bergegas naik ke atas pentas sambil memegang sebilah pedang samurai yang kemudiannya ditusuk ke tulang rusuk kiri Asanuma yang berusia 61 tahun ketika itu. Ketika itu Perdana Menteri Jepun iaitu Hayato Ikeda juga berada tidak jauh dari Asanuma.

Orang ramai kemudiannya berjaya menahan Yamaguchi daripada melakukan tikaman yang kedua namun keadaan Asanuma ketika itu sudah pun agak parah. Dia meninggal dunia sejam selepas itu.

Yamaguchi yang merupakan pelampau nasionalis muda yang masih berpakaian seragam sekolah ketika kejadian itu hanya tersenyum apabila dia dibawa pergi oleh pihak polis.

mayat inejiro asunama diusung keluar

Otoya Yamaguchi sebenarnya merupakan seorang ahli Persatuan Patriotik Jepun yang merupakan kumpulan pelampau berhaluan kanan yang sekeras-kerasnya menolak sistem komunis dan juga sistem politik barat. Ketika kejadian itu kira-kira 100 orang ahli kumpulan itu yang hadir dan membuat bising ketika Asanuma menyampaikan ucapan.

Yamaguchi juga menunjukkan semangat patriotiknya terhadap kebudayaan Jepun apabila memilih pedang Yoroidoshi yang biasanya digunakan oleh pahlawan samurai pada tahun 1800-an.

Setelah Asanuma diisytiharkan meninggal dunia, dianggarkan seramai 15,000 orang penunjuk perasaan parti berhaluan kiri telah membanjiri ibu pejabat polis bandaraya Tokyo. Mereka menggesa agar ketua polis meletakkan jawatan kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang baik.

Dalam keadaan tegang dan huru-hara itu, tercetus pertempuran di antara 2000 orang anggota polis dengan penunjuk perasaan telah menyaksikan seramai 60 orang pelajar dan 22 orang anggota polis telah mengalami kecederaan.

Rakaman bersejarah yang disiarkan sehari selepas kejadian itu telah disaksikan oleh jutaan orang. Asanuma mungkin lantang menentang Amerika namun tiada siapa yang ingin melihat dia disingkirkan dari arena politik dengan cara sebegini. Walaupun begitu, Asanuma telah dilihat sebagai seorang wira yang mati bermaruah dan idealogi politiknya juga mula dipercayai banyak pihak.

Begitu juga dengan Yamaguchi yang juga diangkat sebagai wira oleh mereka yang mempunyai idealogi yang sama. Tiga minggu selepas dia menikam Asanuma, dia yang sedang ditahan di dalam penjara juvana telah menggunakan ubat giginya untuk menulis ayat yang pernah diungkapkan oleh samurai Kusunoki Masashige iaitu "Tujuh nyawa untuk negaraku, semoga panjang umur Maharaja"

geng yamaguchi

yamaguchi dijulang sebagai hero

Yamaguchi kemudiannya telah membunuh diri dengan menggunakan cadar katilnya dengan cara menggantung dirinya sendiri. Namun begitu, perbuatan kejamnya itu terus diingati apabila rakaman video dan gambarnya tersebar luas.

Gambar yang diambil oleh Yasushi Nagao itu menunjukkan saat di mana Yamaguchi baru sahaja menikam Asanuma dan bersedia untuk percubaan kedua sebelum dia ditahan. Gambar itu telah memenangi Pulitzer Prize dalam bidang fotografi pada tahun 1961. Pihak kerajaan Russia dan China telah mengecam pembunuhan itu dengan mengatakan ianya mungin dirancang.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)