Bumi yang kita hidup di atasnya ini penuh dengan kejutan. Sejauh mana anda mengenali tempat tinggal anda ini? Ketika di sekolah menengah kita mempelajari subjek Geografi yang menceritakan kita tentang struktur dan tempat-tempat di serata dunia. Namun, ia tidak cukup untuk kita mengetahui keajaiban yang ada di seluruh muka bumi.

Kebanyakan daripada kita hanya mengetahui tempat-tempat yang ajaib dan pelik hanya melalui senarai keajaiban dunia, namun masih terdapat banyak tempat yang sebegitu.

iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 5 lokasi yang sangat menakjubkan dan mempesonakan yang anda tak sangka wujud di muka bumi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Lembah Antelope, Arizona, USA

Lembah slot yang terletak di padang pasir Navajo ini terhasil oleh retakan dan hakisan oleh banjir kilat serta proses sub-udara. Disebabkan ia mempunyai slot, maka terhasilah pertunjukan cahaya yang sangat indah apabila terpancar cahaya matahari. Lembah ini menjadi tempat tarikan pelancong bagi Navajo kerana sangat popular di kalangan jurugambar dan kaki jalan yang datang ke sini.

Ia dibuka kepada syarikat pelancongan sejak tahun 1987 dan hanya dilawati bermula tahun 1997. Disebabkan oleh pendedahan cahaya yang sangat tinggi (wide exposure range) yang melebihi 10 EV akibat pantulan cahaya pada dinding lembah ini, penggambaran amat sukar dilakukan.

antelope canyon 2 189

Lembah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu atas dan bawah. Bahagian atas adalah yang paling selalu dilawati pelancong oleh kerana pintu masuknya dan keseluruhan lembah itu berada di atas tanah dan tidak memerlukan pendakian.

Manakala bahagian bawah pula lebih panjang dan sempit, serta memerlukan pendakian di beberapa kawasan sebelum dipasangnya tangga. Walaupun dengan pemasangan tangga, ia masih sukar untuk didaki berbanding di bahagian atas. Tetapi ia tidak menghalang sejumlah besar jurugambar untuk melawati bahagian bawah lembah ini.

2. Air Terjun Kuang Si, Luang Prabang, Laos

air terjun kuang si 2 251

Sekali pandang, rasa nak bergambar. Dua kali pandang, terus rasa nak terjun! Dengan airnya yang sangat biru turquoise dan jernih, dengan susunan lapisan batunya yang menjadikan lata ini sempurna membuatkan air terjun tiga lapis Kuang Si ini menjadi lokasi utama pelancong. Terletak 29 kilometer daripada selatan Luang Prabang, bayaran sebanyak RM10 dikenakan untuk anda melawat dan bermandi-manda di sini.

air terjun kuang si 191

Walaupun berbayar, ia sangat memuaskan hati kerana tempat ini dijaga dengan baik sekali dan mempunyai laluan pejalan kaki dan jambatan yang membawa pelancong ke kawasan ini. Kebanyakan kolam dibenarkan untuk berenang dan mandi-manda kecuali satu kolam yang ditutup kerana dianggap suci bagi orang tempatan.

3. Huacachina, Peru

huacachina peru 322

Agak pelik jika melihat kepada penempatan ini. Kenapa? Kerana ia terletak di tengah-tengah padang pasir dan dikelilingi oleh bukit pasir. Perkampungan yang diberi nama Huacachina yang mempunyai lebih kurang 100 penduduk ini terbina disekeliling oasis yang terletak di wilayah Ica, barat daya Peru.

Walaupun mempunyai populasi penduduk yang agak sedikit, namun ia menjadi tempat tarikan pelancong berpuluh-puluh ribu orang setiap tahun.

huacachina 3

Ia menjadi tumpuan pelancong disebabkan oleh terletak di oasis dan sangat cantik pada waktu malam. Selain itu, pelancong tertarik oleh sukan luncur pasir yang dijalankan di sini setinggi beberapa ratus kaki.

Juga, menurut lagenda tempatan, lumpur dan air di sekitar kawasan ini mempunyai kuasa penyembuhan penyakit seperti arthritis, penyakit sendi, asma dan juga bronkitis.

huacachina peru 2

Pada tahun 1980, air tasik ini mula berkurangan akibat daripada penghasilan telaga oleh pemilik tanah di kawasan sekitar. Namun, sekumpulan 10 orang usahawan yang peka dan ingin menjaga nilai pelancongan yang ada pada perkampungan ini telah melakukan satu usaha dengan mengepam air daripada ladang-ladang berdekatan ke dalam tasik tersebut.

4. Salar de Uyuni, Bolivia

salar de uyuni 2

Jika anda sukakan cermin, anda wajib datang ke lokasi ini. Salar de Uyuni yang terletak di wilayah Daniel Compos, Potosi di barat daya Bolivia merupakan dataran garam terbesar di dunia dengan keluasan 10,000 kilometer persegi.

Ia berada pada kedudukan 3,656 meter dari aras laut dan dataran garam ini berketebalan melebihi 10 meter di bahagian tengah. Dataran ini menjadi kering sepenuhnya pada musim kering dan diselaputi lapisan air yang nipis pada musim lembap.

salar de uyuni

Hasil daripada transformasi beberapa tasik prasejarah, maka terhasilah dataran yang menakjubkan ini. Jika anda ingin mengunjungi dataran ini, caranya adalah dengan menghala ke arah selatan melalui bucu barat daya Bolivia, melalui beberapa tasik berwarna-warni yang terhasil daripada pengumpulan pelbagai jenis mineral yang terhakis daripada gunung-gunung sekitar.

Ia juga mempunyai flora dan fauna yang sangat mempesonakan seperti James's flamingo, Culpeo, Bolivian vizcacha dan banyak lagi.

5. The Door to Hell, Turkmenistan

door to hell 2

Tidak, ia bukannya gambar yang diedit! Ia merupakan kejadian alam yang sebenar yang terletak di Derweze, Turkmenistan yang juga dikenali dengan nama "Door to Hell" atau "Pintu ke Neraka" disebabkan struktur berapinya. Ia merupakan sebuah medan gas asli. Ia terhasil akibat runtuhan ke dalam gua bawah tanah dan menjadi kawah gas asli.

door to hell 3

Mempunyai diameter 69 meter dan kedalaman 30 meter, kawah ini dikatakan terbentuk akibat daripada penggerudian oleh ahli geologi Soviet pada tahun 1971 yang beranggapan kawasan ini mengandungi minyak yang banyak, namun setelah digali, kawah ini mula runtuh dan mengeluarkan gas berbahaya. Usaha untuk mengurangkan pengeluaran gas berbahaya itu ke kawasan sekitar dilakukan dengan menyalakan api.

Tanggapan mereka silap dengan menyangkakan bahawa api akan terpadam dalam masa beberapa hari. Sehingga ke hari ini, sudah 46 tahun, kawah tersebut masih terbakar secara berterusan.

george kourounis

Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow telah mengarahkan kawah ini ditutup pada tahun 2010 namun ianya tidak berlaku. Orang pertama yang turun ke dalam lubang berapi ini iaitu pada tahun 2013, George Kourounis, seorang pengembara dari Kanada menggambarkan ia sebagai "sebuah koliseum api".

"Ke mana saja anda pandang akan terlihat beribu-ribu api kecil. Tekanan tinggi gas itu mengeluarkan bunyi seolah-olah bunyi jet pesawat, namun api yang terbakar sangat bersih dan tidak mempunyai asap, jadi ia tidak menghalang pandangan. Anda boleh lihat api sekecil-kecil api," jelas George Kourounis.

Sumber




Hakcipta iluminasi.com (2017)