Oleh pada 08 May 2017 kategori

Tin atau nama saintifiknya ficus carica merupakan salah satu tumbuhan yang berasal di Asia Barat dan amat sesuai juga ditanam di Malaysia kerana cuaca negara kita yang mempunyai musim panas yang berpanjangan. Pokok tin mempunyai banyak khasiat dan manfaatnya untuk kegunaan manusia, bukan sahaja dari buah tetapi batang, getah, akar dan daun juga mempunyai banyak kelebihan dan khasiat tersendiri.

Pokok tin juga merupakan antara tumbuhan syurga yang disebutkan di dalam Al-Quran dalam surah At-Tin. Pokok tin ini mampu menghasilkan buah sepanjang tahun di negara ini berbanding negara lain di Asia Barat serta Eropah yang hanya mampu berbuah sekitar 2 kali setahun. Terdapat pelbagai jenis variasi pokok tin di negara kita ini, di antara variasi tersebut adalah TGF,BTM6,Blackjack,Green Jordan,Luv dan pelbagai jenis variasi lagi yang terdapat di negara kita ini. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Team iluminasi berkesempatan untuk menemubual seorang penkaji dan pengusaha dalam bidang tanaman tin ini iaitu Zulkhairi Kassim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zul kerana beliau tidak lokek untuk membantu siapa sahaja yang ingin bertanya mengenai selok-belok pokok tin. 

S. Assalamualaikum Cikgu Zul, Boleh cerita sedikit mengenai latar belakang Cikgu Zul dan projek yang diusahakan sekarang ini oleh Cikgu Zul?

J : Waalaikumussalam, nama saya Zulkhairi Kassim, berumur 51 tahun. Saya merupakan seorang bekas jurutera sistem telekomunikasi dan amat berminat dalam bidang agro. Saya mula berjinak-jinak dalam bidang agro setelah berhenti dari menjadi jurutera. Saya banyak membuat kajian tentang teknik pembenihan secara keratan bagi jenis-jenis pokok yang sukar didapati di Malaysia atau mahal harganya seperti pokok tin,lemon dan lain-lain lagi. Saya banyak menyimpan baka-baka tin di sebuah universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) di daerah Padang Besar,Perlis dan sekarang saya tengah usaha untuk memajukan sebuah bukit dengan keluasan tanah sekitar 8 ekar untuk dijadikan sebuah taman buah-buahan exotic terbuka. Untuk tempoh jangka panjang pula, ia akan dimajukan sebagai sebuah taman rekreasi, Insyaallah.

cikgu zul projek tanaman tin unimap

S. Sejak bila wujudnya pasaran pokok tin di Malaysia?

J:Pokok tin mula ditanam dan dikenali di Malaysia pada awal tahun 2013 dan menjadi satu industri baru dalam produk pertanian di Malaysia.

pokok tin berbuah

S : Harga jualan sesetengah variety pokok tin amat mahal, apa pandangan Cikgu Zul?

J : Bercakap tentang harga anak benih pokok tin yg mahal ini, bagi saya ianya satu batu penghalang bagi kemajuan industri yang baru nak menapak sendiri. Ianya terjadi disebabkan variety tin yang mempunyai beribu-ribu jenis dan wujud kelompok pengumpul variety yang menjadikan ia sebagai hobi dan juga terdapat masyarakat peniaga anak pokok samada yg sepenuh masa atau secara sambilan. Sebagai peminat atau pengusaha kita perlu bijak dalam mengatasi masalah harga anak benih yang tinggi. Ada formulanya untuk penjimatan kos benih untuk yang berminat untuk komersialkan pokok tin.

pokok tin yang baru disemai

S : Ramai yang minat untuk mengumpul pokok tin tetapi tidak menumpu dalam bidang jualan buah tin, apa pendapat Cikgu Zul tentang perkara ini?

J : Majoriti yang berkecimpung dalam industri tin ini adalah orang kita. Maaf cakap, orang kita majoritinya suka menjadi pengikut dan juga kurang keberanian untuk menjadi pelopor. Industri tin ini jika dilihat adalah amat luas sebenarnya. Permintaan dalam pasaran bukan hanya anak benih tapi hasil-hasil yang lain seperti buah,tangkai daun,getah dan akar. Yang saya nampak masing-masing hanya tumpukan perhatian dengan jualan anak benih yang mewujudkan satu lambakan dalam pasaran hanya anak benih. Dari situ wujud satu situasi dimana masing-masing bersaing sesama sendiri sampai merosakkan harga pasaran itu sendiri. Permintaan buah yang tinggi diabaikan begitu sahaja. 

anggota agensi kawalan sempadan menikmati buah tin segar

S : Bagaimana pasaran pokok tin di Malaysia pada masa kini dan akan datang?

J : Saya penuh yakin yang Malaysia mampu menjadi salah satu negara pengeluar buah dan produk-produk hiliran yang berasaskan dari tin. Saya berkata begitu disebabkan faktor cuaca Malaysia yang panas dan pokok-pokok tin disini berbuah sepanjang tahun.

tinjauan projek penanaman tin di polimas

S : Apa harapan Cikgu Zul terhadap pasaran dari hasil pokok tin ini?

J : Saya amat berharap tin dapat menaikkan taraf hidup petani-petani di Malaysia memandangkan permintaan bahan mentah dari tin akan banyak diperlukan oleh pengusaha kilang memproses makanan .Kos yang tinggi untuk mewujudkan ladang tin juga kadang-kadang menjadi penghalang, jadi sebagai salah seorang pengusaha bertaraf ladang saya amat berharap agar pihak-pihak yang berkenaan dapat membantu golongan pengusaha tin komersial.

buah tin segar

Itu di antara perkongsian yang amat berharga dari Cikgu Zul mengenai pasaran pokok tin di Malaysia. Tahukah anda, buah tin mempunyai rasa yang manis dan ia juga mengandungi zat yang sangat penting bagi tubuh manusia kerana dapat mengurangkan kolesterol jahat, menguatkan jantung dan juga kaya dengan mineral dan vitamin. Jadi anda boleh mula menanam pokok tin sebagai hobi malahan boleh juga menghasilkan produk-produk bermanfaat dari pokok tin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)