Oleh pada 06 Mar 2017 kategori

 

Anda kenal Siti Kasim? Siapa tak kenal Siti Kasim pada ketika ini. Sekarang ni dia la Siti No.1 Paling Popular Malaysia kalah Siti Nurhaliza, Siti Nurdiana, Siti Hasmah dan Honda City facelift yang baru dilancarkan.

Pada ketika ini, ramai yang mengecam dia atas tindakannya menyertai pergerakan Hindraf membawa kes Zakir Naik ke mahkamah sedangkan dia seorang umat Islam. Ramai juga pihak muncul untuk mengkritik tindakan dia, termasuklah dua agamawan popular, Dr.Maza dan Ustaz Fathul Bari. Dilaporkan yang Dr.Zakir Naik sendiri telah pun menyatakan kesudian untuk bertemu dengan Siti Kasim berbincang mengapa dan kenapa yang mereka marah benar dengan Dr.Zakir Naik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di media sosial pula, seperti biasalah, ramailah yang sama ada menyokong Dr.Zakir Naik atau menyokong Siti Kasim. Saya sendiri membantah tindakan dia kerana saya banyak belajar dengan Dr.Zakir Naik ikut Youtube. Tetapi itu bukan tujuan artikel ini ditulis.

Saya menulis berkenaan sarkas yang tercetus. Perkara yang sepatutnya dilakukan dengan privasi, kini dah jadi tontonan umum. Saya tak tahu kenapa ramai benar perselisihan yang bukan sekadar yang melibatkan orang biasa, malahan agamawan sekalipun, dilakukan secara umum dalam media sosial. Siti Kasim kata Zakir Naik pengganas, dia tulis semua hujah dia dalam media sosial bagi orang baca.Ustaz Fathul Bari pula tulis status fesbuk, update apa yang berlaku, siap tunjuk bukti Zakir Naik mesej dia.

Jadi, saya ingin bertanya satu soalan; adakah cara kita yang "anti" Siti Kasim ini mendepani tindakan dia, betul? Adakah wajar kita maki dia, herdik dia, caci dia, kutuk fizikal dia, kutuk rambut blonde dia, kata muka dia muka tak ada Nur, muka gelap sebab tak ada iman? Jika kita orang beriman, itukah tindakan orang beriman?

Cara kita "lawan" dia tu dah tak betul.

Saya sendiri mengakui apa yang dia buat tak betul, tetapi bila kita lawan dia guna cara yang sama dengan apa yang dia guna, apa bezanya kita dengan dia? Sekumpulan manusia yang rasa dirinya beriman mengherdik seorang wanita yang dirasakan tidak beriman, tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kita sebagai satu masyarakat.

Hati kita senantiasa panas.

Apa yang kita harapkan apabila hati dah panas ni? Siti Kasim pakai tudung? Zakir Naik janji tak masuk Malaysia? Percayalah, tak kira apa pun berlaku, teramat susah nak puaskan hati penyokong-penyokong mahkamah media sosial ni, melainkan satu pihak tu dimalukan secara terbuka. Bila kita sebagai masyarakat sudah sampai ke tahap tu, apa kita dapat sebenarnya? Kepuasan sementara?

Seminggu dua kemudian, muncul individu lain untuk dibenci atau dipuja dan proses itu berulang semula, kisahnya sama, kali ini wataknya berbeza.

Kita pula rasa terhibur menontonnya sedangkan kita tahu, rosak masyarakat jika itu berterus kekal budaya kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)