Jam sudah menunjukkan 7 malam.

Anda sudah kepenatan. Keadaan jalan pula sesak. Sepanjang perjalanan anda memikirkan adakah patut anda merokok, sedangkan sudah seharian anda berjaya mengatasi keinginan rokok.

Apabila hari semakin berakhir, kebanyakan dari kita akan mengalami keadaan di mana kita semakin susah hendak mengekalkan sasaran kita. Mungkin kita mahu berhenti merokok dan pada awal pagi kita berjaya kekalkan keazaman kita, tetapi menjelang tengahari dan petang, kita rasa semakin sukar hendak meneruskannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lalu kita hisap rokok pertama kita hari itu ketika sangkut dalam trafik sesak dan kita persalahkan keadaan kita yang letih.

Keletihan hanya jalan keluar mudah

iluminasi kawal diri minda tukar

Bagaimanapun, menurut kajian saintis dari University of Toronto bernama Dr.Michael Inzlicht, letih itu hanya alasan yang kita gunakan kerana kita sebenarnya mampu mengawal diri kita lebih baik.

"Memang benar kita akan kehilangan kawalan diri ketika hari dah ke penghujungnya. Tetapi selalunya yang berlaku bukanlah kita tak mampu mengawal diri kita, ia lebih kepada kita dah tak mahu mengawal diri kita," kata Dr.Inzlicht.

"Penat pula kita jadikan alasan sedangkan apa yang berlaku adalah kurangnya motivasi untuk kita teruskan perkara yang kita mahu buat setiap hari," ujar beliau.

Inzlicht memberikan teori yang teknik mengawal diri ini sama seperti penggunaan otot - lebih lama kita berjaya membuat sesuatu seperti berhenti merokok, mengelakkan diri dari membazir atau melakukan aktiviti bersenam, aktiviti-aktiviti itu akan menjadi lebih mudah.

"Seperti otot, apabila kita benar-benar melakukannya, kita akan jadi lebih kuat," ulas beliau.

"Apabila kita mengajar diri kita untuk fokus kepada sesuatu tindakan yang kita mahu buat, diri kita dari segi psikologi akan lebih cenderung untuk terus melakukannya," kata Dr.Inzlitch.

Jadi mengapa sesetengah orang gagal mengekalkan fokus mereka untuk kekal melakukan sesuatu seperti diet atau menyiapkan kerja penting mereka sepanjang hari?

"Minda kita tanpa sedar sebenarnya mahu mencari sesuatu yang seronok untuk kita lakukan," kata beliau.

Gagal untuk diet disebabkan ketiadaan ketahanan mental

iluminasi kawal diri minda tukar2

Sebagai contoh, untuk orang yang mahu diet, keinginannya mahu makan. Untuk orang yang mahu berjimat cermat pula, dia pasti ingin pergi melakukan aktiviti membeli belah.

"Seperti seekor tupai, setiap hari tupai akan ke hutan untuk mencari makanan - ini adalah proses untuk terus hidup yang semulajadi berlaku pada hidup tupai. Walau bagaimanapun, apabila tupai tersebut sudah selesai mengumpulkan makanan, kemungkinan besar tupai tersebut akan mahu mencari makanan lain, walaupun kuota makanannya pada hari itu sudah mencukupi," kata Dr.Inzlicht.

"Kita manusia bekerja kerana keperluan, tetapi selepas beberapa jam, kita mula mendambakan sesuatu yang menyeronokkan, yang dapat memberikan kita waktu rehat."

"Apabila kita mula menyeimbangkan di antara keperluan dan keseronokan atau masa rehat itulah yang akan membuatkan beralih tumpuan kita daripada apa yang kita rancang pada awal pagi," sambung beliau.

Ubah cara kita merancang sesuatu perubahan

iluminasi kawal diri minda tukar4

Jadi, apa yang kita boleh buat untuk memperkuatkan diri kita dalam memastikan kita terus fokus melakukan sesuatu perkara?

Nasihat beliau, apabila tenaga kita rendah dan letih, elakkan diri kita dari melakukan sesuatu yang membuatkan kita lari dari fokus asal. Jika kita sedang berdiet, elakkan makan ketika penat. Jika mahu berhenti merokok, sibukkan diri kita dengan aktiviti lain kerana bila kita penat, ia lebih mudah membuatkan kita terus merokok.

Nasihat paling penting beliau kepada mereka yang mahu mencuba sesuatu dalam hidup - tukarkan cara kita meletakkan sasaran kita. Jika selama ini kita kata pada diri kita "esok aku kena kurangkan makan," tukarkan sasaran kita kepada "esok, aku akan kurangkan makan."

"Menukarkan sasaran kita membantu - daripada berkata kita 'perlu' berjimat, adalah lebih baik kita menetapkan sasaran yang kita 'hendak' beli rumah, contohnya," terang beliau.

"Kuncinya bukan menjadikan sasaran kita itu sebagai satu obligasi, tetapi jadikannya satu perkara yang kita mahu lakukan dan suka lakukan," Dr.Inzlitch menambah.

"Bila kita tidak memaksa diri kita dan kita mahu lakukannya, sebarang sasaran akan menjadi lebih mudah walaupun kita penat, kerana minda yang dilatih untuk berfikir secara dominan, akan lebih mudah memotivasi diri sendiri secara semulajadi."Rujukan

Trends in Cognitive Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)