Kredit foto: Youtube I Can See Your Voice Indonesia

Sebuah rancangan realiti hiburan baru di Indonesia, I Can See Your Voice (ICSYV) telah digemparkan dengan bakat hebat salah seorang pesertanya.

Lelaki yang dikenali sebagai Ridhuan, 22 dan berasal dari Bandung, Indonesia itu pada awalnya menjadi bahan tawa penonton termasuk juri jemputan iaitu penyanyi terkemuka, Mulan Jameela.

Lebih membuatkan bakatnya di luar jangkaan adalah pakaian jubah dan mortar yang digayakannya yang tak ubah seperti seorang graduan.

Mulan hanya menilai Ridhuan berdasarkan penampilan luarannya, lalu bertindak menyingkirkan jejaka itu tanpa mendengar vokal sebenar beliau.

Bagaimanapun Ridhuan enggan mengalah lalu berkata, "Mulan, kamu telah menyingkirkan seseorang yang bakal membuat hati semua wanita meleleh ketika menyanyi. Dan saya akan membuktikannya!"

Tanpa membuang masa Ridhuan merampas pentas yang digelarkan sebagai Jenius Musik itu, lalu membuktikan kebolehannya menerusi kelincahan jari bermain alat muzik piano. Kemudian dia memperdengarkan pula vokal hebatnya menerusi lagu Love Of My Life nyanyian asal oleh kumpulan Queen.

Ketika vokalnya kedengaran buat pertama kali, semua penonton bagai dirasuk, lalu berdiri sambil memberikan tepukan gemuruh, termasuklah Mulan.

Malah Mulan turut menggesa Ridhuan untuk menyanyikan sebuah lagi lagu berjudul Can't Live (Air Supply). Mulan turut sama menyanyi bersama Ridhuan dek kerana terlalu teruja.

"Maafkan saya! Ya Allah, maafkan saya," luah Mulan padanya dengan penuh kekesalan.

Dalam tempoh enam hari selepas dimuat naik, video tersebut telahpun ditonton sebanyak lebih 5 juta kali.

Anda saksikan sendiri momen hebat tersebut.  




Hakcipta iluminasi.com (2017)