iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya11

Hari-hari kita menggunakan lampu isyarat tanpa kita sedari, tetapi pernahkah anda membayangkan bagaimana sejarah pembangunan lampu isyarat yang kita gunakan hari ini?

Mari kita luangkan masa menelaah sejarah lampu isyarat daripada iterasi paling awal lampu isyarat hinggalah ke lampu isyarat yang kita boleh saksikan di mana-mana hari ini.

Lampu Isyarat Pertama Dunia

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya2

Idea asal penciptaan dan penggunaan lampu isyarat sebenarnya sudah pun muncul sebelum terciptanya kereta lagi. Pada era 1800 di London, lalu lintas pada masa itu dipenuhi dengan pejalan kaki dan kereta kuda, memenuhi jalan. Memang berlaku kelam kabut di atas jalan sehinggalah seorang jurutera landasan British bernama J.P. Knight mengusulkan satu sistem lampu untuk mengawal lalu lintas kereta kuda supaya tidak ada pejalan kaki dilanggar.

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya4

Lampu isyarat pertama berkuasa gas itu dipasang di jalan sekitar kawasan bangunan Parlimen di London dan perlu dikawal oleh anggota polis menggunakan dua sistem. Sewaktu siang, papan tanda akan turun naik menandakan sama ada "jalan" atau "berhenti." Oleh kerana pada waktu malam pemandu kereta kuda tidak mampu melihat papan tanda, gas yang disimpan di dalam kebuk berwarna hijau dan merah digunakan. Warna hijau dipilih kerana bersifat neutral serta selamat sementara warna merah dipilih untuk menandakan bahaya.

Walaupun begitu, lampu isyarat bergas itu mudah meletup dan mengakibatkan kecederaan pada anggota polis yang mengawal aliran trafik.

Lampu isyarat elektrik pertama

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya8

Semenjak penciptaan kereta, laluan trafik menjadi semakin sesak. Ini membuatkan keperluan untuk mewujudkan satu sistem yang mampu mengawal lalu lintas menjadi semakin perlu.

Seorang anggota polis bernama Lester Wire mencipta satu rekaan lampu isyarat yang beliau rasakan sesuai kerana kerisauan beliau terhadap lalu lintas.Menggunakan rekaan Wire, lampu isyarat pertama dipasang di Cleveland, Ohio pada 5 Ogos 1914 di persimpangan 105th dan Euclid Avenue. Ciptaan Wire itu dikhabarkan pada ketika itu akan merevolusikan bagaimana kawalan lalu lintas akan dikembangkan dan ramalan itu memang benar, kerana sehingga sekarang prinsip penggunaan lampu isyarat Wire masih lagi digunakan.

Pada ketika itu, belum wujud penggunaan lampu kuning sebagai isyarat bersedia, jadi penggunaan pembesar suara yang memainkan tanda amaran akan berbunyi, menandakan lampu akan bertukar.

Potts Menambahbaik Ciptaan Wire

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya9

Sepuluh tahun selepas pengenalan lampu isyarat ciptaan Wire, seorang anggota polis bernama William Potts dari Detroit, Michigan mencipta gabungan tiga atau empat lampu isyarat untuk digunakan di persimpangan tiga dan empat.

Pada tahap ini, lampu kuning atau amber diperkenalkan untuk menggantikan sistem bunyi yang diguna sebagai tanda lampu isyarat akan bertukar.

Evolusi Lampu Isyarat

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya6

Kini, kebanyakan bandar menggunakan sistem berkomputer untuk mengawal lampu isyarat di seluruh bandar. Kita juga boleh lihat beberapa penambahbaikan yang telah diperkenalkan kepada sistem lampu isyarat.

Ada yang menjadi, seperti sistem kiraan waktu untuk menandakan berapa lama waktu menunggu dan berapa lama waktu berjalan pada setiap lampu isyarat. Selain itu pemasangan sensor pada permukaan jalan juga membantu mengesan kewujudan kereta yang boleh mempercepatkan pertukaran lampu merah ke lampu hijau.

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya10

Ada juga yang tidak menjadi. Seorang pencipta bernama Charles Adler Jr. pada tahun 1920 mencipta sebuah sistem yang mengesan bunyi hon untuk mempercepatkan pertukaran ke lampu hijau. Pemandu hanya perlu menekan hon dan bunyi hon akan dikesan oleh lampu isyarat melalui mikrofon yang dipasang. Ssistem Adler Jr. itu tidak berapa menjadi kerana pemandu-pemandu akhirnya berebut-rebut membunyikan hon di atas jalan raya.

Idea Adler Jr. dalam mempercepatkan pertukaran pertukaran lampu isyarat itu walaupun berdepan kegagalan, menjadi asas kepada sistem-sistem yang ada sekarang ini yang membantu pemandu menunggu lampu isyarat dalam tempoh lebih singkat.

Sembilan tahun kemudian, Adler Jr. tetap berjaya mencipta sistem butang yang masih lagi kita gunakan hari ini untuk pejalan kaki melintas jalan. Sistem butang untuk pejalan kaki melintas yang pertama dipasang di persimpangan Charles Street dan Cold Spring Lane di Baltimore.

Masa Depan Lampu Isyarat

iluminasi lampu isyarat sejarah malaysia cyberjaya7

Pada ketika ini beberapa buah bandar di dunia sedang mengkaji penggunaan sistem lampu isyarat pintar. Pada awal 2015, kerajaan India telah pun melaksanakan kajian ke atas sistem lampu isyarat pintar ini di sebuah persimpangan di Delhi. Di negara kita pula, kerajaan telah pun melaksanakan sistem lampu isyarat pintar ini di Cyberjaya sebagai projek perintis, memendekkan masa perjalanan di sekitar Cyberjaya dari 32 minit kepada 8-11 minit ketika waktu puncak.

Dengan menggunakan sistem kamera yang mampu menganalisa laluan trafik secara langsung, kadar jumlah kereta di atas jalan akan dikira pada setiap persimpangan dan kemudian sistem analisa akan mengubah tempoh masa lampu hijau dan merah bergantung kepada hasil analisa maklumat yang diperolehi.


tags : , , , , , , , , , , ,









/ / /
Hakcipta iluminasi.com (2017)