Oleh pada 15 Mar 2017 kategori

facebook penuh dengan fake news berita palsu jangan mudah terpedaya

Adakah anda tahu, walaupun kadar pemegang ijazah lulusan universiti dan tahap pendidikan rakyat Malaysia rata-ratanya adalah tinggi, namun majoriti daripada kita masih hidup dalam kejahilan?

Inilah salah satu masalah besar yang kita hadapi. Walaupun dengan adanya teknologi canggih di mana semua maklumat berada di hujung jari, tapi rakyat Malaysia masih tidak suka menyelidik kesahihan sesuatu berita yang diterima. Buta-buta mereka mempercayai berita itu tanpa usul periksa.

Yang penting, mereka nak tekan butang share atau forward cepat-cepat supaya dapat jadi tukang kongsi pertama.

portal dan blog kebanyakannya suka memutarbelitkan cerita untuk mendapat lebih banyak like dan klik

Ditambah pula dengan kewujudan portal-portal 'buat duit' yang gemar memanipulasi fakta supaya cerita menjadi lebih sensasi, maka semakin rancaklah rakyat Malaysia menekan butang share. Begitu juga dengan maklumat atau mesej yang dicopy-pastekan di media sosial. Main forward je.

Paling teruk apabila mereka suka tambah nota kaki "share dari group sebelah" semata-mata nak lepaskan tekak sendiri sekiranya terjerat di kemudian hari akibat berkongsi fakta palsu atau menyebar fitnah.

Keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya fitnah yang anda bantu sebarkan itu mempunyai unsur sensitif dan berbaur perkauman.

jangan mudah percaya


Mudah tertipu sangatkah kita ini?

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ramai rakyat Malaysia menerima berita melalui media sosial seperti Whatsapp dan Facebook. Namun majoritinya masih tidak dapat membezakan antara berita sebenar atau palsu. SKMM juga telah mengadakan kelas celik media buat hampir sejuta pengguna Internet di seluruh negara pada tahun lepas untuk mendidik mereka tentang isu ini.

Satu kajian yang diterbitkan oleh Oxford University Press mendapati, kaedah mendapatkan berita dari media sosial dan portal-portal tidak sahih ini akan menyebabkan kesan seperti "filter bubble" dan "echo chambers" yang akan membuatkan kita terperangkap dalam pemikiran yang sama dan tidak akan berkembang. Ini kerana laman seperti Facebook hanya akan mengeluarkan feed berita dari genre yang anda pernah baca atau gemari sahaja.

Berita-berita palsu seperti kenaikan harga minyak, tol atau harga barang, kandungan DNA babi dalam produk, kemalangan artis atau berita kematian seorang tokoh tidak lekang dari media sosial di Malaysia. Ada saja tukang forward yang rajin menghantar tanpa usul periksa.

berita palsu di mana mana

Tapi adakah anda sedar, sekiranya anda jadi tukang sebar berita palsu dan anda didapati bersalah oleh SKMM, anda boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau masuk penjara selama setahun? Nak ke?


Jadi macamana nak tahu berita itu palsu atau tidak?

Sebagai seorang pengguna Internet dan warga Malaysia yang bertanggungjawab, kita seharusnya lebih celik media dan pandai menilai serta membezakan fakta atau auta. Tak susah sangat pun. Cuma anda kena rajin sikitlah buat penyelidikan.

#1 Semak bahasa yang digunakan

Sekiranya berita yang anda baca atau terima itu menggunakan bahasa dak wicet, mengandungi kesalahan ejaan dan tatabahasa, besar kemungkinan sukar dipercayai. Ini ternyata berbeza dengan organisasi berita seperti Bernama yang sentiasa menggunakan bahasa berkualiti dan menjamin kesahihan sesuatu berita sebelum disiarkan.


#2 Buat carian google dan semak URL

Cuba buat carian google menggunakan kata kunci daripada berita yang anda terima. Kemudian semak alamat laman web yang memaparkan berita tersebut. Sekiranya anda hanya dapat melihat hasil carian memaparkan laman portal infotainment atau blog dan tidak ada langsung hasil carian daripada mana-mana laman web organisasi berita, kebarangkalian berita itu palsu adalah 99%.

tak semua benda di internet itu betul anda perlu pandai memilih dan menilai


#3 Rujuk silang (cross reference)

Sekiranya berita yang anda terima itu melibatkan fakta seperti kesihatan (contoh: minum air masak boleh menyebabkan masalah jantung) maka anda boleh buat carian google untuk mendapatkan jurnal perubatan. Gunakan keyword seperti "kajian", "tinjauan", "research" ataupun "study" untuk mendapatkan maklumat yang sahih.

Sekiranya anda mendapat sebaran mengenai sesuatu hadith, anda boleh semak dulu di laman web Jakim atau UIA.

Bagi berita lain pula, anda bolehlah rujuk silang dengan laman web berita yang lebih berkredibiliti tinggi sama ada agensi tempatan ataupun antarabangsa. Sekiranya berita itu sahih, maka sudah semestinya mereka telah membuat laporan dan liputan ke atas cerita tersebut lebih awal.


gunakan otak sebelum mempercayai sesuatu berita secara membabi buta


Janganlah kita hidup dalam kejahilan dan mempercayai sesuatu cerita secara membabi buta. Gunakan akal dan fikir panjang sebelum anda sewenang-wenangnya menekan butang share. Elakkan diri daripada bergelumang dengan dosa menjadi penyebar fitnah!


tags : , , , , , ,









/ / /
Hakcipta iluminasi.com (2017)