Selama ini kita dididik yang manusia mempunyai kelebihan bergantung kepada otak mana yang lebih dominan - kiri atau kanan?

Dominan kiri mewakili pemikiran berbentuk logik dan analitik, sementara mereka yang dominan kanan pula dikatakan mempunyai kebolehan berfikir berdasarkan firasat, intuisi serta dikatakan lebih kreatif.

Sudah bertahun lamanya kita didedahkan dengan konsep tersebut: di dalam buku, majalan, kajian psikologi, kajian sains dan pelbagai lagi teknik yang berdasarkan kajian tersebut seolah-olah itu adalah satu hukum yang perlu diikuti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lupakan semua apa yang anda tahu berkenaan otak kiri dan otak kanan kerana pendapat itu sudah dapat ditemui dan disahkan tidak benar, semenjak 2013 lagi!

Saintis selama ini mempunyai tanggapan yang salah berkenaan fungsi otak; otak kiri dan otak kanan sebenarnya tidak membawa fungsi yang berbeza secara amnya. Walaupun ada terdapat perbezaan bagaimana otak kanan dan kiri berfungsi, perbezaannya bukanlah sampai ke tahap kiri lain, kanan lain. Sebagai contoh: otak kiri memproses perkara-perkara kecil yang kita mampu lihat sementara otak kanan pula lebih menumpukan kepada bentuk atau objek secara keseluruhannya.

iluminasi otak kiri kanan mitos3

Hujah sebenarnya, otak kiri dan otak kanan tidak akan berfungsi secara sendirian: kedua-duanya akan bekerja dengan serentak. Konsep "satu pihak lebih kuat daripada pihak lagi satu" dalam menerangkan fungsi otak adalah salah kerana kita tidak ada keupayaan untuk "mengawal" atau "memilih" otak mana akan jadi dominan.

Punca tanggapan otak kiri/kanan ini sebenarnya berpunca dari satu siri bedah siasat yang dilakukan oleh seorang doktor bernama Roger W.Sperry, pemenang anugerah Nobel dan seorang saintis di California Institute of Technology, pada era 60-an. Mencari ubat untuk pesakit yang mengalami epilepsi atau sawan, 16 orang pesakit membenarkan Sperry membedah bagagian corpus callosum, bahagian tengah yang menghubungkan kedua-dua bahagian otak. Selepas dilakukan pembedahan ke atas bahagian tersebut, pesakit mendapati keadaan menjadi bertambah baik dan berpunca dari situ, 16 pesakit tersebut membenarkan Sperry meneruskan siri pembedahan. Hasil kajian tersebut yang sebenarnya adalah satu ujikaji ringkas, telah disalah ertikan oleh pihak media. Pada tahun 1973, New York Times menerbitkan sebuah artikel bertajuk "We Are Left Brained or Right Brained" yang dimulakan dengan ayat "Dua watak sebenarnya ada di dalam kepala kita. Salah seorangnya pandai bercakap, cekap menganalisa dan dominan. Yang seorang lagi artistik." Majalah Time kemudian turut juga menerbitkan artikel tersebut dua tahun kemudian diikuti Harvard Business Review dan Psychology Today.

Penyebaran idea tersebut tetap berlaku walaupun Dr.Sperry menegaskan yang "wujudnya dua watak berbeza dalam satu tubuh yang dikawal secara kognitif merupakan satu idea yang tak masuk akal." Dr.Sperry sendiri menegaskan dari mula lagi yang tanggapan wujudnya pengasingan fungsi otak yang mampu mengawal personaliti adalah karut.

Dari artikel tersebut yang disebar meluas, wujudlah pelbagai salah tanggapan. Ramai pihak yang mula memperkenalkan teori penambah kepada teori otak kiri otak kanan: seperti tanggapan bahagian atas otak adalah untuk membuat perancangan sementara bahagian bawah pula menterjemahkan apa yang kita terima.

Dengan berpandukan kajian yang meliputi berpuluh tahun, teori tersebut kekal digunakan kerana itu adalah cara untuk menjelaskan secara saintifik bagaimana kita berfikir dan berkelakuan. Kita gunakan otak kiri dan otak kanan tetapi berbeza tahap penggunaanya. Bergantung kepada tahap penggunaan otak, kita mampu membahagikan otak kita kepada 4 bahagian yang mewakili satu personaliti yang mengawal tahap pemikiran seseorang. Siapa yang tak pernah buat ujian kenali kita otak kiri atau otak kanan, angkat tangan?

iluminasi otak kiri kanan mitos2

Kajian pada 2013 yang dilakukan oleh University of Utah dengan mengambil 1000 orang peserta membuktikan yang tidak wujud perbezaan sama ada ada orang dominan otak kiri atau otak kanan. Semua peserta didapati menggunakan kesemua bahagian otak mereka secara seimbang. Sebuah laporan hasil ujikaji mereka telah disiarkan di dalam jurnal PLOS ONE .

Walaupun begitu, menurut ketua penyelidik, Dr.Jeff Anderson, memang berlaku kecenderungan seseorang untuk menggunakan satu bahagian otak untuk sesuatu fungsi tertentu yang digelarkan lateralization. Sebagai contoh, bercakap datang dari bahagian kiri kebanyakan orang yang bertangan kanan dominan. Meskipun begitu, ia tidak cukup kuat untuk membuktikan wujudnya keupayaan seseorang itu bercakap misalnya dipengaruhi oleh otak kiri mereka sahaja.

Dr.Anderson juga memberitahu salah tanggapan kita selama ini yang otak kiri dan kanan mengawal fungsi berbeza juga tidak berlaku kerana otak kita memerlukan kedua-dua belah bahagian untuk melakukan aktiviti bersifat kreatif atau analitik.

"Tidak ada bukti yang otak kiri mengawal logik, tidak ada bukti yang otak kanan mengawal kreativiti," kata beliau.

Kajian Dr.Anderson meliputi peserta berumur 7 hingga 29 tahun ketika mereka sedang berehat. Mereka meneliti aktiviti otak di 7000 kawasan otak. Walaupun ada kawasan otak yang melakukan aktiviti lebih berbanding kawasan lain, penggunaan otak pada kedua-dua hemisfera adalah seimbang.

iluminasi otak kiri kanan mitos 52

Dr.Anderson menegaskan yang mereka bukannya hendak membetulkan mitos. Tujuan mereka melakukan ujikaji adalah untuk memahami proses lateralization yang berlaku di bahagian otak untuk membantu pesakit autism, schizophrenia atau down syndrome, di mana bahagian otak pesakit mempunyai fungsi yang berbeza berbanding manusia lain.

Melalui kajian mereka, terdapat bukti jelas yang menunjukkan tidak ada sebarang sangkut paut perbezaan otak kiri atau otak kanan boleh jadi lebih dominan dalam membentuk personaliti dan kemahiran.

Adakah elok kita lupakan saja teori dominan otak kiri dan otak kanan? Ya. Kedua-dua bahagian otak anda bersetuju dengan pendapat itu dan kajian sains sudah membuktikan teori itu sepatutnya tidak disebarkan lagi.

Saintis terkenal, Neil deGrasse Tyson juga berpesan kepada masyarakat berkenaan dengan isu ini:

"Jangan panggil saya otak kiri, otak kanan. Panggil saya manusia. Saya tak mengerti kenapa masyarakat dunia terlalu sibuk hendak mengkategorikan orang ke dalam satu kumpulan. Kalau betul nak fahami seseorang, berbuallah dengan dia."

Rujukan

LiveScience

BrainDecoder

TIME

Psychology Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)