iluminasi fidget spinner

Di sekolah-sekolah kita sekarang ini berlaku trend pelajar bermain apa yang dinamakan sebagai fidget spinner. Peralatan ini yang berharga RM10-RM50 merupakan satu permainan yang nampak seakan-akan tidak berbahaya tetapi jika diubah suai, mampu menyebabkan kecederaan.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut, lebih baik kita fahami dulu apa itu 'fidget.' Jika ditafsir, fidget bererti satu tindakan yang dibuat oleh tangan atau kaki, yang dilakukan berulang-ulang kerana didorong oleh faktor kegelisahan atau ketidaksabaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya ada banyak peranti lain yang mempunyai peranan sama seperti 'spinner' yang menjadi kegilaan kanak-kanak ini.

Jika kita selalu melakukan satu tugasan yang panjang yang memerlukan kita menumpukan konsentrasi, kita pasti akan melakukan sesuatu seperti menekan-nekan pen kita, mengetuk jari atau menghentakkan kaki. Ada juga popular sekejap penggunaan bola merah lembut yang kita gengganm yang digelar 'stress relieving ball' yang membantu mengurangkan stress.

Tindakan-tindakan yang kita buat untuk membantu kita fokus itu digelar sebagai 'fidgeting' sama ada dengan peranti atau tiada peranti.

iluminasi fidget spinner sekolah2

Kajian yang dilakukan oleh The Conversation US mendapati, menurut asas psikologi, manusia akan melakukan perubahan kepada suasana atau situasi mereka supaya mereka boleh mendapatkan stimulus untuk kekal fokus. Dalam erti kata lain, kita hanya mampu fokus dalam suasana yang kita selesa.

Tiap-tiap orang mempunyai tahap stimuli yang diperlukan yang berbeza-beza mengikut individu. Ada individu yang perlu suasana senyap, ada individu suka bunyi riuh untuk bekerja, ada juga orang yang memerlukan satu perkara yang mengalihkan perhatian dia supaya dia mampu kekal fokus.

Di sinilah datangnya peranti-peranti 'fidget' ini.

Dalam satu pra kajian yang di lakukan oleh National Dropout Prevention Center, USA, pelajar-pelajar yang mempunyai peranti seperti 'stress ball' sebagai alat untuk membantu tindakan 'fidgeting' mempunyai tahap kemahiran, penulisan dan kebolehan berinteraksi dengan lebih baik.

Dalam satu kajian yang lebih mendalam terhadap kanak-kanak yang mengalami penyakit ADHD pula, didapati kanak-kanak yang mempunyai peranti yang sentiasa berinteraksi dengan mereka ketika mereka belajar, mempunyai pergerakan yang kurang serta lebih mudah fokus.

Namun begitu, tindakan pihak sekolah tidak membenarkan penggunaan fidget spinner pada pelajar sekolah adalah tepat walaupun terbukti peranti fidget mampu menaikkan kadar fokus.

Ini kerana fidget spinner yang digunakan kanak-kanak kita itu memerlukan pengawalan tangan dan mata yang akan menarik fokus mereka daripada apa yang mereka patut lakukan - belajar.

Dengan membenarkan fidget spinner digunakan dalam kelas, pelajar sebenarnya akan mengalihkan tumpuan mereka dari pengajaran di dalam kelas kepada usaha menumpukan fokus untuk bermain atau mengimbangkan spinner itu supaya terus berpusing, jadi faedah kepada membantu rasa fidgeting itu sudah tiada.

iluminasi fidget spinner sekolah3

Untuk membantu pelajar fokus kepada pelajaran dengan peranti 'fidgeting' ini, penyelidik menyarankan penggunaan bola lembut untuk digenggam, kerana hanya tangan perlu berinteraksi dengan bola, sementara mata dapat memberikan fokus pada pelajaran.

Bukannya peranti seperti fidget spinner!

Jika ada anak-anak anda gunakan alasan yang fidget spinner membantu mereka belajar, itu semua karut kerana fidget spinner adalah sejenis permainan yang akan membuat mereka tidak mampu fokus kepada apa yang sepatutnya mereka fokuskan.

Saya menyarankan pihak sekolah membendung budaya bermain fidget spinner ini di dalam kelas, kerana secara saintifik sudah terbukti fidget spinner akan mengganggu proses pembelajaran pelajar.

Berikan mereka bola stres itu sebagai ganti kalau benar mereka tidak mampu fokus. Ia lebih membantu.RujukanTaylor Francis OnlineJournal at risk IssuesScientific American




Hakcipta iluminasi.com (2017)