Oleh pada 03 May 2017 kategori

kaya jiwa

Dalam hidup zaman moden ini, ramai di antara kita yang hanya mengejar kekayaan dunia. Seseorang itu dikatakan berjaya apabila berpangkat besar, berkereta mewah dan mempunyai rumah seperti mahligai. Dan seseorang itu dikatakan gagal apabila tidak mempunyai harta sebanyak orang lain, berkereta biasa dan rumah yang kecil. Jika seseorang itu berharta dan kaya wang ringgit, akan dikategorikan sebagai berjaya oleh masyarakat. Harta sebenarnya boleh dikategorikan sebagai ganjaran daripada Allah, dan juga sebagai ujian daripada Allah. Seperti mana Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Sesungguhnya setiap umat memiliki ujian, dan ujian umatku adalah harta." [HR. Tirmidzi, No.2336]

kaya

Bagaimana harta itu dikatakan sebagai ujian? Bagi sesetengah orang, mereka merasakan apa yang mereka dapat itu sebenarnya hasil dari titik peluh dan kerja keras mereka sendiri. Yang sebenarnya, rezeki yang kita dapat itu hanyalah ihsan Yang Maha Memberi. Jika sekuat manapun kita berusaha, tanpa ihsan dan kurniaanNya, kita tidak akan dapat apa yang kita kejarkan. Apa yang dikatakan harta itu adalah ujian apabila harta yang mereka dapat itu bukan memberikan kesyukuran dalam jiwa, tetapi lagi menyesatkan dan merosakkan.

Ramai yang sedia maklum, apabila seseorang itu miskin harta, di dalam hati mereka mengatakan jika mereka kaya suatu hari nanti, mereka akan menolong orang susah. Namun apa yang terjadi adalah selepas mereka berjaya mengecapi kesenangan, mereka malah sombong dan bongkak, dan mengatakan apa yang mereka kecapi itu hasil usaha mereka. Dan mereka yang miskin itu adalah hasil daripada kemalasan mereka sendiri. Alangkah hinanya mereka ini kerana dengan harta tersebut telah membuatkan mereka takbur dan lupa diri. Inilah yang dikatakan harta itu sebagai ujian.

rumah mewah

Sememangnya benar ramai di antara kita ini tidak dapat membezakan antara kegembiraan, kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Ramai yang tidak pernah menikmati kebahagiaan, walaupun mereka sering menikmati kegembiraan. Kegembiraan belum menjamin kita boleh merasakan kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

Berapa ramai orang yang tidak kaya harta, hidup cuma sederhana, namun bahagia disisi orang tersayang, dan jiwanya tenang dengan apa yang dikurniakan Tuhan. Mempunyai anak-anak yang soleh, masa yang berkualiti dan rezeki yang halal. Walaupun tidak berharta, masih mampu bersedekah dan membantu yang memerlukan. Bagi mereka, itulah kegembiraan dan kebahagiaan sebenar. Semua serba cukup. Apabila kita bersyukur dengan nikmat Allah, sedikit pun kita merasakan banyak.

miskin harta tapi kaya jiwa

Dan ramai orang yang memiliki kekayaan harta, namun tidak merasakan ketenangan. Senantiasa berasa gundah gulana memikirkan harta, kedudukan dan pangkatnya. Bergaji besar, berkereta mewah, makanan yang lazat, tilam yang empuk, serta dihormati oleh manusia lainnya, namun kebahagian dan ketenangan jiwa belum tentu hadir di antara kemewahan yang dimilikinya. Hidup dalam kegelisahan, serba tak cukup dan tiada rahmat dalam keluarga. Walaupun dengan harta yang banyak, namun kedekut untuk membantu mereka yang susah, takut mereka akan jatuh miskin jika memberi, dan berfikiran bahawa yang miskin itu miskin kerana kemalasan mereka sendiri. Harta mereka telah membuatkan hati mereka gelap dan lupa pada Tuhan yang memberi.

bersedekah

Islam tidak pernah memusuhi harta, malah digalakkan umatnya menjadi kaya, supaya boleh saling membantu yang miskin dan meringankan beban mereka yang memerlukan. Namun, harta bukanlah satu alat yang boleh memberikan ketenangan kepada jiwa. Malah, terlalu banyak manusia yang diazab oleh Allah untuk mengurusi harta dan anak mereka. Seperti dalam firman Allah S.W.T tentang golongan munafik :

"Oleh karena itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak-anak mereka, (karena) sesungguhnya Allah hanya mau menyiksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia."  (Surat At-Taubah 9:55)

rasuah

Ramai di antara kita menyalah tafsirkan kebesaran Allah dengan menyangka harta, pangkat dan kuasa adalah segalanya. Kita menganggap sesiapa yang miskin dan tidak berpangkat itu tidak mendapat kurnia Allah S.W.T. Seolah-olah kurnia Allah itu hanya milik mereka yang kata dan berpangkat besar. Ini merupakan syirik kecil. Harta dan kekuasaan dapat memberikan ketenangan jiwa dan kebahagiaan hati, jika dikendalikan dengan betul. Namun, jika disalahgunakan, pasti akan berbalik menjadi penyebab derita dan sengsara. Juga terdapat ramai manusia kini, seolah-olah menyembah manusia yang lainnya sehingga ke tahap memuakkan, semata-mata mahukan kehidupan dunia yang sementara.

miskin tapi gembira

Pernah diceritakan oleh Buya Hamka, pada suatu hari ketika beliau dan seorang yang ternama dan kaya harta sedang berada di dalam kereta mewah orang tersebut, melalui kawasan sawah padi. Tiba-tiba orang kaya tadi terlihat seorang petani yang sedang berehat seketika. Lalu datang isterinya membawa makanan lalu menghidangkan kepadanya makanan tengahari. Walaupun makanan itu kelihatan biasa sahaja dan tidak mewah, namun ia dimakan oleh petani itu dengan penuh selera. Kemudian orang kaya bersama Hamka itu seraya berkata : "Wahai Buya, aku mempunyai rumah yang sangat besar dan kenderaan yang serba mewah, namun tidak pernah aku menikmati makanan sebagaimana petani tadi menikmatinya,". Begitu lah Allah yang Maha Besar membagi-bagikan nikmatNya.

kaya tapi miskin

Ketika si miskin sedang berdengkur dalam tidur yang nyenyak di rumah serba sederhananya, entah berapa ramai orang-orang kaya yang masih terjaga memikirkan hal dunia di atas tilam yang empuk. Ketika mana si miskin sedang enak menikmati sebungkus nasi yang dibalut dengan daun pisang, entah berapa ramai orang yang kaya tidak dapat menikmati makanan yang lazat yang terhidang.

Siapa yang dihidangkan makanan yang sedap dan lazat, lidahnya belum tentu dapat menikmati kelazatan makanan tersebut. Sesiapa yang dikurniakan rumah yang serba mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya.

bersyukur

Sekali lagi Islam tidak memusuhi harta, namun manusia hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah SWT kepadanya. Cuma perlu kita fahami bahawa tujuan makanan dan tempat tinggal yang mewah itu hanyalah kesedapan dan kenikmatan. Tidak semua yang memiliki kemewahan, dapat menikmatinya, dan tak semua yang tidak memilikinya, akan terhalang merasai kenikmatannya. Begitulah kuasa Allah yang Maha Besar.

Jadi, kita sebagai hambaNya yang hina, perlulah senantiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikannya. Ingatlah, rezeki itu bukanlah semata-mata wang ringgit dan harta kekayaan, sihat itu rezeki, bahagia itu rezeki, kelapangan masa itu rezeki, disayangi itu rezeki, malah, apa jua yang diberikan kepada kita itu dinamakan rezeki. Janganlah kita sesekali sombong dengan manusia hanya kerana kita diberikan nikmat yang lebih, dan jangan sesekali berburuk sangka kepada Allah dengan tidak mensyukuri nikmatnya.

rakyat kecil

Sesungguhnya kekayaan itu bukanlah terletak pada banyaknya wang dan harta, tetapi kekayaan itu adalah kekayaan dan ketenangan jiwa. Sama-sama kita muhasabah diri.


tags : , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)