Sebelum mula mengomel, aku ingin bertanya satu saja soalan berkaitan Proton malahan industri automotif negara kita;"Jika harga kereta kita sama saja semuanya dan tidak ada cukai dikenakan kepada kereta luar, adakah anda masih akan membeli Proton dan Perodua?"Itu adalah soalan yang ramai orang rasanya susah nak jawab. Dalam satu sudut, kita sendiri hendak tengok jenama kita maju tetapi di satu sudut lain, duit kita pula hendak apa yang terbaik untuk kita anda. Itulah sepatutnya yang kita harapkan berkenaan Proton dan Perodua. Aku dapat terima jika produk jenama lain dimahalkan secara tiruan jika produk dari Proton dan Perodua setanding dengan jenama lain yang sama kelas dan harganya, tetapi masih jelas wujudnya jurang perbezaan di antara apa yang kita dapat apabila membeli Proton dan Perodua dari segi rekaan, keselamatan dan penjimatan minyak (untuk Proton).Berbaloikah kita mendokong industri kita sebagai pelanggan? Persoalan itu tidak dapat dijawab secara objektif kerana jawapannya sangat bergantung dengan persepsi seseorang itu. Ada orang kemahuannya lain, ada orang semangat patriotiknya lain, ada juga yang mati-matian berapi kenapa harga terpaksa dinaikkan. Tidak ada pandangan yang salah sebenarnya apabila berbicara berkenaan isu ini. Kita boleh sama-sama saling cuba untuk menyampaikan pandangan kita tetapi selalunya apa yang kita dah pegang itu lah yang kita akan pegang. Tidak dinafikan, masyarakat faham kenapa harga kereta kita khasnya Proton lebih tinggi. Proton tidak punya pasaran luas. Proton menjalankan penyelidikan dan pembangunan sendiri. Proton amat bergantung dengan pasaran lokal kerana pasaran luar negara semenjak beberapa tahun kebelakangan ini amat muram sambutannya terhadap Proton.Bukan seperti Perodua di mana kos penyelidikan dan pembangunan dikongsi oleh Perodua, Daihatsu dan Toyota. Bina satu kereta boleh dijual bawah 3 jenama berbeza di benua yang berbeza. Jika tak laku di Malaysia, tukar lencana dan cuba jual di negara lain. Risikonya kurang jika dibandingkan dengan Proton yang hanya berdiri sendirian.Proton tidak menghasilkan kereta yang teruk. Persepsi yang diterima Proton sebenarnya tidak adil cuma negatifnya jadi agak ketara kerana pencapaian Perodua seolah-olah menunjukkan yang tahap ketahanan Proton jauh bezanya jika dibandingkan dengan kereta keluaran Perodua dan juga berbeza jika dibandingkan dengan model-model awal keluaran Proton dahulu.Sudah banyak langkah memperbaiki imej Proton yang negatif ini dilakukan. Memang benar tidak dinafikan ada persepsi negatif terhadap Proton yang boleh diterima tetapi kebanyakannya sudah dilakukan penambahbaikan. Masalah  kawalan tingkap kuasa Proton pun kita sudah jarang kedengaran, jika ada pun dibantu dengan sokongan warranti seumur hidup.

BESARKAN TEKS     A-  A+

proton persona launch 22

Berdasarkan pandangan peribadi, jelas nampak perbezaan Proton sebelum 2010 dan kini. Pelancaran model Exora seolah memberikan nafas baru pada Proton kerana Proton Exora adalah sebuah kereta yang baik walaupun rekaan dalamannya agak konservatif. Proton Saga yang baru jelas berbeza jika dibandingkan dengan Proton Saga yang digantikan sebelum ini walaupun kuasa enjinnya sama. Usah kita fokuskan pada Proton Perdana kerana itu bukan sasaran jualan untuk semua, Proton Persona baru dan adik kembarkanya Proton Iriz benar-benar membuktikan yang Proton sebenarnya mampu bersaing dalam pasaran tempatan secara terbuka. Jika dibandingkan rekaan Proton pada zaman awal millenium dan dibandingkan dengan rekaan sekarang, jelas Proton kini sudah sedar kesilapan mereka di mana setiap kategori kereta diisi dengan model yang lebih jelas bezanya. Tidak lagi wujud kekeliruan pada rekaan kereta Proton kerana pada pendapat peribadi, aku sendiri tidak tahu kereta apa yang Proton cuba bangunkan dalam model Gen2. Keluarga? Kereta sukan? Kereta poyo? Waja pula mana datang? Tak jelas apa fokusnya.

Dari segi rekaan nampak Proton kini lebih tersusun merencanakan apa kelas yang mereka akan bangunkan dan sepatutnya dikekalkan. Dari Iriz, Saga, Persona, Preve, Ertiga, Exora dan Perdana, Proton kini mempunyai satu model untuk setiap kelas pasaran dan tidak ada lagi berlakunya pertindihan. Dengan banyak liberasi pasaran yang dilakukan dibawah pentadbiran kerajaan sekarang, Proton dan juga Perodua mesti menerima hakikat yang untuk menguasai pasaran, mereka kini tak boleh lagi bergantung dengan 'sokongan' kerajaan untuk terus menjual produk. Sudah tiba masanya pengguna berhak mendapatkan produk yang terbaik selaras dengan kos yang pengguna keluarkan. Persoalannya, ringgit ke ringgit, adakah berbaloi beli kereta Proton jika harga kereta jenama luar sama harganya?

Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen di bawah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)