Ketaksuban terhadap mempunyai kulit cerah bukanlah satu fenomena baru. Ia sudah berada di negara kita bertahun-tahun lamanya, dan menjadi obsesi di kalangan masyarakat terutamanya golongan wanita. Namun, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara-negara jiran.

kosmetik 3

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seorang pembantu pentadbiran di Phnom Penh, Kemboja, Mach Mong, 27 tahun, yang ingin kulitnya menjadi seperti anak patung, telah membeli krim pemutih dari Thailand secara online. Produk yang tidak mempunyai maklumat berkenaan bahan-bahannya itu disapu pada muka Mach tanpa menyelidik dahulu sama ada ia selamat digunakan atau tidak.

"Saya sangat inginkan kulit menjadi putih, dan rakan mengesyorkan kepada saya. Selepas sebulan menggunakannya, kulit saya menjadi sangat teruk," jelas Mach Mong.

Kini Mach terpaksa menutup tompok-tompok parut jerawat pada wajahnya yang disebabkan oleh krim tersebut. Menurut Mach lagi, kadang-kadang beliau tidak keluar dari rumah kerana malu dengan kulitnya.

kosmetik

Di Kemboja, masyarakat menganggap mereka yang mempunyai kulit yang cerah adalah lebih cantik daripada mereka yang berkulit gelap, sebagaimana kulit semulajadi orang Kemboja. Disebabkan oleh tanggapan dan pemikiran begini, ramai di antara mereka yang meracun diri sendiri atas nama kecantikan, yang mana akhirnya hanya mencacatkan wajah sendiri. Terdapat satu kes kematian pada tahun 2010, di mana seorang wanita menyapu krim pemutih ke seluruh badanya untuk kelihatan lebih cerah di hari persandingannya. Beliau meninggal dunia akibat mengalami tindakbalas yang buruk terhadap produk tersebut.

kosmetik timbang 2

Akibat daripada insiden itu, perdana menteri Kemboja telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Kemboja supaya memantau penggunaan dan penjualan produk pencerah kulit, namun tiada pengharaman rasmi dibuat oleh kementerian. Keinginan untuk mendapatkan kulit cerah yang menjadi fenomena global mengundang kebimbangan.

Pasaran dan farmasi-farmasi di Kemboja, tidak ubah seperti di Malaysia, yang mempunyai lambakan produk pencerah, sehinggakan sukar untuk mencari deodoran yang tidak menjanjikan ketiak menjadi "terlebih putih". Harga produk-produk yang murah membuatkan ia mampu dibeli dan diguna oleh golongan yang berpendapatan rendah.

merkuri

Terdapat banyak kajian yang membuktikan kebanyakan daripada krim dan rawatan ini mempunyai logam berat seperti merkuri, arsenik, kadmium dan juga plumbum. Antara logam yang mencetuskan kebimbangan paling besar terhadap kesihatan kepada umum adalah merkuri, yang digunakan dalam produk pencerah untuk menghalang melanin yang menyebabkan pigmentasi kulit.

Menurut kajian pada tahun 2015 yang dikendalikan oleh saintis dari Kemboja dan Amerika Syarikat telah mendapati bahawa 41% daripada krim pencerah kulit mengandungi toksik yang sangat tinggi termasuklah merkuri. Arsenik dan plumbum yang dijumpai dalam produk itu juga boleh merosakkan sistem saraf dan meyebabkan bengkak pada hati dan otak. Lebih teruk lagi, tiada maklumat mengenai penggunaan merkuri dipaparkan pada produk-produk ini.

akibat kosmetik 169

Namun, walaupun produk pencerah kulit memberikan impak yang sangat buruk pada kulit dan kesihatan, ia masih menjadi salah satu industri global yang memberikan pulangan tinggi. Direktor Neary Khmer Association for Health and Vocational Training in Cambodia, Ing Sovanly memberitahu anggaran sebanyak 90% daripada wanita Kemboja menggunakan produk pencerah dengan kerap.

"Kulit cerah adalah sangat popular di kalangan wanita Kemboja dan di kebanyakan negara ASEAN kerana mereka beranggapan kulit cerah lebih cantik dan menarik daripada kulit gelap. Kulit cerah juga melambangkan kekayaan, yang menunjukkan anda tidak bekerja di ladang," jelas Ing Sovanly.

krim timbang

Dalam satu lagi kes, Ouch Lina, 23, telah membeli krim pencerah daripada rakannya yang mencampurkan krim pencerah di rumah dan menjualnya secara online. Menurut Lina, anda akan dianggap berasal dari kampung jika berkulit gelap. Lina yang melihat rakannnya berkulit cerah dan beranggapan akan menjadi cerah jika beliau menggunakan krim tersebut. Ibu saudara rakannya yang menjual produk tersebut bekerja di farmasi yang membuatkan beliau lebih percaya.

Lina mengesyaki krim tersebut mengandungi steroid dan selepas sebulan menggunakannya, kulitnya mula tumbuh jerawat dan tompok-tompok hitam. Disebabkan itu, beliau sudah menghabiskan lebih dari RM4,000 untuk merawat kulitnya yang penuh dengan parut akibat produk tersebut.

Rujukan : Vice




Hakcipta iluminasi.com (2017)