Oleh pada 25 Mar 2017 kategori

Kredit foto: Utusan Online

Menerusi laporan Berita Harian, baru-baru ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan 8 lagi produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan.

Produk yang dimaksudkan ialah Moleek Day Cream, Adel Miracle Flawless Serum, Ah Beauty Night Cream, NDZ UV Whitening, Snow Cream Normal, Snow Cream Sensitif, Dnars Nar Cream-Sensitif dan Ellfie Night Cream.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua produk kosmetik tersebut mengandungi raksa, hidrokuinon dan tretinoin yang mampu memberi kesan sampingan kepada kesihatan pemakainya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penjual dan pengedar produk kosmetik ini diberi amaran untuk berhenti menjual dan mengedar barangan yang disenaraikan dengan serta merta.

Mereka turut diingatkan penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. 

Bagi syarikat yang melakukan empat kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dr Noor Hisham mengingatkan semua bahawa sebarang produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang harus berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan cuma dapat digunakan dengan nasihat pakar kesihatan.

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan terlalu sensitif. 

Kesan daripada penggunaan hidrokuinon boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit. 

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan dan penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan sensitif kepada cahaya matahari. 

Produk kosmetik yang dicampur palsu dengan raksa boleh memudaratkan kesihatan kerana raksa yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Terdahulu, pihak KKM telah mendedahkan sebanyak 162 produk kesihatan yang juga disahkan mengandungi bahan terlarang.

Sumber berita: Siakapkeli




Hakcipta iluminasi.com (2017)