Pada tahun 13 November 1985, Gunung Berapi Nevado del Ruiz meletup mengakibatkan letusan lahar gunung berapi sebanyak 3 kali mengalir merentasi pekan Armero, Colombia.

Gunung itu kali terakhir meletus hanya secara kecil pada tahun 1845, membuatkan tidak ada sebarang amaran dapat dikeluarkan kepada penduduk sekitar kawasan Armero. Jika ada amaran pun, mesej itu sampai lambat kerana tidak ada jalinan hubungan yang wujud, kerana ketika hari kejadian bekalan elektrik telah terputus terlebih dahulu akibat hujan lebat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehari sebelum berlakunya letusan besar itu, sudah terdapat tanda-tanda awal tragedi akan berlaku apabila asap hitam mula keluar dari kawasan gunung. Penduduk hanya diberitahu supaya tidak bimbang.

Amaran pengkaji bumi yang sudah mengesan berlaku pergerakan sejak September tidak diendahkan oleh kerajaan Colombia. Tepat pada jam 9:09 malam, Gunung berapi Nevado del Ruiz meletus mengakibatkan kematian lebih 22 ribu penduduk di situ.

Salah seorangnya gadis kecil bernama Omayra Sanchez.

Keadaan yang huru-hara akibat gunung berapi

iluminasi omayra sanchez kerajaan3

Omayra pada ketika itu berada di rumahnya bersama keluarga, yang semakin dalam kebimbangan akibat batu-batu arang yang semakin kerap menimpa atap rumah mereka. Mereka dapat mendengar dari jauh bunyi lahar semakin menghampiri dan dalam sekelip mata, tiba-tiba sahaja segalanya musnah dibawa arus lahar yang panas.

Ayah dan makciknya meninggal di tempat kejadian sementara Omayra terselamat tetapi badannya tersekat di siling rumah mereka. Ibunya pula bernasib baik pada waktu itu bekerja di luar kawasan.

Tersekat dalam lahar keras

iluminasi omayra sanchez kerajaan6

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan itu bagi menyelamatkan mangsa, kerana lahar itu dipenuhi lumpur yang membuatkan suasana persekitaran menjadi amat susah untuk dinavigasi tanpa tersekat. Omayra berjaya ditemui tetapi pasukan penyelamat tidak berjaya mengeluarkan dia dari celahan batu dan konkrit yang menyepit beliau.

Penyelam yang memeriksa mendapati hanya dengan memotong kaki beliau yang pada ketika itu dalam keadaan melutut, Omayra dapat dibebaskan. Tetapi dengan situasi yang kurang sesuai, besar kemungkinan Omayra akan mati jika kakinya dipotong kerana jangkitan kuman. Cubaan untuk menarik Omayra keluar juga tidak berjaya kerana setiap kali ditarik, air berlumpur akan kembali bertakung pantas yang mampu membuatkan beliau lemas.

Tidak pula dipastikan sama ada Omayra sedar atau tidak, ketika itu dia sedang memijak makciknya sendiri yang tenggelam dalam lumpur di bawahnya, sekaligus membolehkan dia bertahan lebih lama.

Terpaksa dibiarkan merana

iluminasi omayra sanchez kerajaan4

Pihak perubatan mengambil keputusan, jalan terbaik adalah dengan membiarkan saja Omayra di situ serta berharap agar bantuan peralatan datang untuk menyelamatkan beliau.

Omayra pun terus hidup di dalam lumpur dengan hanya kepala dan tangannya kelihatan. Sepanjang dia masih hidup, Omayra kekal positif, menyanyi, makan serta mahu ditemubual oleh wartawan. Bagaimanapun, aAda kalanya beliau jadi takut, kemudian menangis dan meminta pertolongan Tuhan.

Sifat Omayra mula berubah pada hari ketiga sehingga mengalami halusinasi, meracau-racau hendak ke sekolah kerana mahu mengambil peperiksaan matematik. Wajah Omayra pada ketika itu bertukar. Matanya menjadi merah, kulitnya membengkak dan tangannya bertukar keputihan.

Pada jam 10:05 pagi, selepas hampir 60 jam Omayra meneruskan hidup menunggu penyelamat datang, beliau meninggal dunia pada 16 November 1985 kerana penyakit gangrene dan hypothermia, akibat terlalu lama berada di dalam air.

Siapa yang bertanggungjawab?

iluminasi omayra sanchez kerajaan5

Banyak pihak meletakkan beban kesalahan pada kerajaan Colombia yang gagal menyediakan fasiliti amaran dan keselamatan yang lengkap. Kemudahan asas seperti alat bantuan penyelamat juga tidak diperolehi, menyukarkan sebarang kerja menyelamat apatah lagi dalam situasi di kelilingi lumpur.

Kerajaan Colombia pula mengakui kelemahan mereka pada ketika itu diburukkan lagi ketika itu kerajaan mereka terpaksa menghadapi serangan pemberontak kerajaan, yang membuatkan wakil kerajaan terpaksa memfokuskan kepada perihal keselamatan negara.

Menjadi simbol masyarakat Colombia sehingga kini

iluminasi omayra sanchez kerajaan2 514

Frank Fournier, seorang jurugambar Perancic sempat menemui Omayra sehari sebelum dia meninggal dan merakamkan detik-detik akhir Omayra Sanchez yang diterbitkan 6 bulan kemudian dalam satu siri gambar yang diberikan tajuk "The Agony of Omayra Sanchez." Gambar itu memenangi anugerah World Press Photo of The Year bagi tahun 1986.

Tragedi itu telah membunuh hampir 75% penduduk (22 ribu) daerah Armero dan penduduk pekan Armero yang masih hidup, memulakan semula kehidupan mereka ke sebuah lokasi lain di bahagian utara beberapa kilometer dari Armero yang dinamakan sebagai Armero Guayabal.

Bandar Armero ditinggalkan dengan sesetengah lokasi masih lagi diselimuti lumpur. Gunung berapi Nevado del Ruiz dikhabarkan masih aktif dan jika pemanasan global terus berlaku, dianggarkan tragedi serupa mampu berulang sekali lagi.

iluminasi omayra sanchez kerajaan5

Omayra Sanchez kini menjadi simbol masyarakat Colombia, sebagai peringatan kepada kecuaian kerajaan Colombia dalam menangani krisis yang sebenarnya mampu dielakkan.

Begitulah kisah tragedi kematian manusia terbesar melibatkan insiden lahar gunung berapi yang berlaku satu masa dulu pada tahun 1985.




Hakcipta iluminasi.com (2017)