Apakah yang berlegar di minda anda apabila terlihat seorang pengawal keselamatan? Adakah anda memandang serong kepada mereka? Adakah anda berfikir bahawa mereka ini tidak berpelajaran, dan tidak mempunyai kemahiran lain sehinggakan terpaksa menjadi pengawal keselamatan.

Jika anda seorang yang sering memperlekehkan pengawal keselamatan, artikel ini mungkin mengubah persepsi anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

erwin valmoria macua

Erwin Valmoria Macua, 38, seorang pengawal keselamatan di St. Theresa College, Cebu City, Filipina, kelihatan masih bekerja shift malam, di malam sebelum hari graduasinya. Ya, benar, beliau merupakan seorang pengawal keselamatan yang baru sahaja menamatkan pelajarannya dalam Ijazah Sarjana Muda Dalam Pendidikan Asas, dengan kepujian.

Ketika bertugas, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa kegembiraan dalam dirinya kerana impiannya untuk menamatkan pelajaran di peringkat kolej telah tercapai.

"Saya masih tak dapat percaya saya mampu sampai ke tahap ini. Saya sangat gembira".

Bapa kepada tiga orang anak ini telah bertugas sebagai pengawal keselamatan di kolej tersebut sudah 17 tahun sejak tahun 2000. Sebelum berkahwin dengan isterinya, Irenea, Erwin merupakan pelajar kursus kejuruteraan di Divine Word College of Tagbiliran (kini dikenali sebagai Holy Name University).

erwin valmoria macua 6

Namun ketika beliau baru sahaja memasuki semester pertama pada tahun 1997, Erwin terpaksa melupakan niat untuk meneruskan pelajaran kerana ibu bapanya yang bekerja sebagai penanam padi tidak lagi mampu untuk menanggung kos pembelajarannya.

erwin valmoria macua 4

Sebagai anak sulung daripada 6 adik beradik, beliau berasa bertanggungjawab membantu keluarga lalu membuat keputusan untuk berhijrah ke Cebu City untuk bekerja. Bapa saudaranya yang juga seorang pengawal keselamatan telah membantu beliau dalam menghadiri kursus pengawal keselamatan selama 3 minggu yang membolehkan beliau mendapatkan kerja di St. Theresa College pada tahun 2000.

erwin valmoria macua 2

Selepas mendapat kerja, Erwin terus berkahwin dan membesarkan keluarga, namun impiannya untuk menamatkan pelajaran masih membara di hati tetapi masih tidak berpeluang. Sehinggalah 13 tahun kemudian selepas St. Theresa College yang sebelum ini merupakan kolej perempuan, mula mengambil pelajar lelaki. Ketika itulah datangnya peluang bagi Erwin untuk mendapatkan ijazah sarjana muda.

erwin valmoria macua 8

Walaupun tekanan masa yang amat hebat bagi Erwin yang mana beliau terpaksa bekerja shift selama 12 jam dari pukul 7.00 pagi sehinggalah 7.00 malam, beliau tidak pernah terlepas untuk ke kuliah yang bermula dari pukul 7.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Bayangkan setelah penat bekerja selama 12 jam, 30 minit kemudian perlu hadir kuliah sehingga jam 4.00 petang, dan perlu bekerja semula pada jam 7 petang. Dengan rehat yang tidak cukup dan mempunyai isteri serta 3 orang anak di rumah, Erwin masih mampu untuk mendapatkan keputusan yang sangat baik, iaitu anugerah dekan bagi setiap semester sejak tahun pertama.

erwin valmoria macua 5

Dan sama seperti belajar, Erwin tidak pernah ponteng kerja sehingga ke hari sebelum majlis graduasinya. Alasannya sangat mudah, beliau tidak mahu gajinya dipotong.

"Tak kerja, tak ada gaji. Gaji yang saya dapat ini bukan sahaja membantu dalam membayar kos pendidikan saya tetapi juga menanggung keluarga serta membesarkan anak-anak saya," jelas Erwin.

erwin valmoria macua 3

Keputusannya mengambil Ijazah dalam bidang pendidikan kerana ingin memberi semangat kepada golongan remaja untuk belajar dan mengubah hidup mereka, lebih-lebih lagi dia mahu untuk menginspirasikan anak-anak muda supaya membalas segala jasa ibu bapa yang berkorban memberikan pendidikan kepada mereka.

Beliau juga sangat gembira dan meluahkan rasa syukurnya apabila pihak pengurusan kolej memberitahunya bahawa 50% daripada yuran pelajarannya akan ditanggung pihak kolej. Dengan yuran sebanyak RM4,800 sehingga RM8,600 bagi satu semester, ia merupakan satu kelegaan bagi Erwin dengan hadiah yang diterimanya daripada pihak kolej. Rasa leganya ditambah apabila mendapat berita sulungnya, Jean Vincent mendapat tajaan biasiswa daripada kerajaan Cebu City.




Hakcipta iluminasi.com (2017)