Pernah tak, anda masuk bilik dengan niat nak berbuat sesuatu. Tapi bila anda masuk-masuk saja bilik, terus tak ingat apa nak dibuat dan terfikir, "Eh, apa yang aku buat kat sini? Tadi nak buat apa entah?"

Ataupun anda buka pintu peti ais atau kabinet, kemudian anda terkebil-kebil lupa anda buka itu sebenarnya nak ambil apa?

buka peti ais lupa nak ambik apa

BESARKAN TEKS     A-  A+

Anda mungkin risau menjadi nyanyuk ataupun dapat penyakit Alzheimer. Tapi ketahuilah bahawa situasi ini bukan saja boleh terjadi kepada anda, malah ia juga boleh berlaku kepada orang yang paling genius di dunia dengan ingatan paling hebat sekalipun.

Memahami minda manusia

Menurut pakar-pakar psikologi, keadaan di mana kita sering terlupa perkara yang sepatutnya dibuat apabila memasuki bilik atau ruang ini dipanggil Doorway Effect.

Semasa tahun-tahun awal kajian ke atas otak bermula, para saintis berpendapat bahawa ingatan manusia diibaratkan sebuah almari. Ia mempunyai banyak bahagian yang boleh kita masukkan 'kotak-kotak' memori untuk disimpan. Kotak-kotak memori ini akan berada di dalam 'almari' itu selama-lamanya dan boleh diambil semula pada bila-bila masa apabila ingin digunakan.

memori manusia

Walaupun bunyinya macam mudah difahami, tapi ia adalah satu teori yang salah. Otak manusia sebenarnya jauh lebih kompleks dan canggih, sehinggakan terdapat kajian terbaru yang membuktikan otak mempunyai keupayaan untuk berubah sepanjang kehidupan seseorang individu.

y u so y u so forgetful

Ingatan manusia bukanlah satu garisan naratif yang linear. Ia adalah berepisod, terbahagi kepada segmen-segmen yang berlainan dan sangat bergantung kepada individu yang membentuknya. Sebagai contoh, dua orang individu mungkin mengimbas sesuatu kejadian yang serupa dalam cara dan penjelasan yang berbeza.

Doorway Effect : Alam nyata VS realiti maya

Dalam beberapa set penyelidikan yang dijalankan oleh Gabriel Radvansky dan rakan sepasukannya di University of Notre Dame, mereka mendapati bahawa pergerakan bertukar ruang bilik dan berjalan melalui pintu sememangnya boleh membuatkan seseorang jadi 'pelupa'.

lupa apa nak buat bila lalu pintu masuk bilik

Dalam kajian pertama yang menggunakan suasana realiti maya mengandungi 55 bilik, peserta kajian perlu mengambil item yang dijumpai di atas mana-mana meja dan meletakkan kembali item itu di meja yang lain.

Keputusan kajian mendapati apabila peserta melalui mana-mana pintu yang terbuka, prestasi memori mereka adalah agak teruk berbanding meliputi kawasan berkeluasan serupa dalam bilik yang sama.

doorway effect pelupa nyanyuk alzheimer 191

Dalam kajian seterusnya, para penyelidik itu menguji peserta menggunakan bilik dan pintu sebenar. Apa yang menarik, keputusan pemerhatian adalah sama seperti sebelumnya di mana peserta menghadapi masalah mengingati objek apabila melepasi laluan pintu.

Apa punca berlakunya Kesan Laluan Pintu ini?

Pakar psikologi berpendapat apabila seseorang bergerak melepasi pintu atau memasuki satu ruang yang baru, ia akan mencipta satu sekatan ke atas mental. Hipotesis ini disokong oleh satu penyelidikan ke atas memori yang mendapati orang melalui pintu mengalami 'jurang kosong' dalam minda.

nak buat apa tadi entah asyik lupa je

Apabila melalui pintu, manusia akan mengalami perubahan persekitaran dari segi fizikal dan juga mental.

Misalnya, anda mahu bergegas ke tempat kerja dan terlupa mengambil kunci di bilik tidur. Dalam minda, anda sudahpun bersedia untuk keluar tetapi episod baru 'ambil kunci di bilik tidur di tingkat atas' ini tercetus secara tiba-tiba.

Tak boleh fikir macam-macam pada satu-satu masa

Apabila anda sedang menuju ke tingkat atas, minda anda terlupa tentang 'kunci' kerana anda sedang fokus dengan 'pergi ke bilik'. Boleh jadi juga fikiran anda sedang fokus kepada perkara-perkara lain yang lebih besar seperti 'dah lambat nak pergi kerja' ataupun 'tak siap lagi kertas kerja untuk mesyuarat'.

Untuk pemahaman lebih mudah, anda bayangkan ahli sarkas yang menjugel atau mengimbangi pinggan dengan memusing di atas sebatang rod. Apabila dia hanya fokus kepada satu pinggan, kadangkala pinggan yang lain boleh terjatuh dan pecah.

pemusing pinggan perlu fokus kepada satu pinggan pada satu satu masa 176

Begitu jugalah minda manusia. Setiap buah fikiran memerlukan tahap fokus yang tersendiri. Dalam pada anda sedang mengubah persekitaran mental dengan memikirkan pelbagai benda yang lebih penting daripada hal remeh seperti 'kunci', persekitaran fizikal anda pula tiba-tiba berubah apabila anda masuk ke bilik. Di sinilah peranan pintu itu dalam mempengaruhi pemikiran seseorang.

Perkara ini adalah sangat normal dan tiada kaitan langsung dengan daya ingatan anda, tahap kepintaran, penyakit mental atau usia yang semakin lanjut.

Jadi, kalau anda asyik tiba-tiba terlupa apa nak buat bila masuk dapur atau keluar rumah, jangan khuatir. Itu tandanya anda memang banyak berfikir dan belum nyanyuk lagi.

Sumber dan rujukan:

1. Scientific American

2. Psychology Today

3. BBC

4. British Psychological Society




Hakcipta iluminasi.com (2017)