Oleh pada 28 May 2017 kategori

SAMBUNGAN DARI : Kecewa Dalam Percintaan, Lelaki Ini Berhijrah Bekerja Petik Buah Di Australia - Bahagian 2

Untuk baca bahagian 1 : Kecewa Dalam Percintaan, Lelaki Ini Berhijrah Bekerja Petik Buah Di Australia Dengan Gaji Lumayan - Bahagian 1

img 20140506 140956s 646


Musim sejuk tiba

Bulan Mei masuk musim sejuk dan masa ni perit sikit. Semua benda sejuk. Aku penah tinggal di rumah yang mana owner rumah tak bagi guna pemanas bilik sebab nanti bil elektrik melambung. Terpaksalah guna selimut elektrik. Tapi time tidur saja panas, bangun pagi buka selimut, sumpah menggigil. Tapi yang bestnya makanan letak dekat luar, tak basi. Biskut tak lemau. Sebab sejuk. Haha.

musim sejuk 963

Keluar pagi-pagi nak pergi kerja, jejak tanah, tengok rumput dah jadi ais, memang susah hati. Aku pakai sarung kepala yang macam perompak tu, sebab hidung beku. Baju dan sweater sampai 3 lapis dipakai, dan sarung tangan 2 lapis, sebab gunting yang digunakan adalah gunting besi, tersangat sejuk. Ada satu hari tu, boss aku yang matsaleh tu datang nak beri arahan, tersekat-sekat bercakap sebab sakit tekak oleh cuaca terlampau sejuk. Kesian pulak aku tengok.

Sebab lain aku suka kalau cuaca sejuk adalah kerana tak berpeluh. Aku dah la cepat peluh even tak panas. Rimas. Tapi biasalah lumrah manusia, bila sejuk, nak panas, bila panas, nak sejuk pulak.

Habis kerja pruning, ada 2 minggu sebelum mula kerja baru iaitu thinning. Kami diberikan kerja menyapu ranting yang kami pruning tu. Habis 2 minggu, mulalah kerja thinning.


Musim 'thinning'

Kerja thinning, bagi aku, dan bagi semua orang lain, adalah yang paling senang antara semua kerja. Tak perlukan pengalaman, masa ni boleh nampak ramai budak baru diambil bekerja.

thinning 454

Buah yang baru tumbuh akan tumbuh serumpun dan banyak, macam buah langsat seperti dalam gambar. Kerja kita hanya buang buah-buah itu dan tinggal dalam 2-3 biji sahaja, mengikut arahan boss. Tujuannya adalah untuk memberikan ruang kepada buah untuk membesar, dan supaya kurang persaingan antara buah. Kalau terlalu banyak, buah tak boleh tumbuh dengan besar dan sihat.


Musim bunga dan musim petik

Bila dah masuk bulan September iaitu musim bunga, buah dah mula besar. Mana-mana pokok yang kita dah thinning awal dahulu, buah dah makin besar, ada yang dah boleh dipetik, akan dipetik. Jadi bulan September dan Oktober, ada dua kerja, sambil thinning buah yang masih kecil, kita juga akan petik buah yang sudah masak. Keutamaan akan diberikan kepada buah yang sudah masak untuk dipetik dahulu. Kalau ada buah perlu dipetik dan buah perlu di-thinning, pekerja akan dipecahkan kepada 2 kumpulan, petik dan thinning.

Jadi kerja di sana, bermula dengan pruning kemudian thinning, dan akhir sekali petik, dan ulang. Cerita ini hanya mengenai kerja di ladang stonefruit saja. Lain kerja, lain cerita. Kalau cerita anda tak sama, maknanya pengalaman kita berbeza lah.


Suami Isteri berhijrah

Ada juga pasangan suami isteri yang mahu mengubah nasib berhijrah bekerja di Australia. Pelbagai cerita, ada yang suami datang terlebih dahulu dan memastikan keadaan baik di sana dan si isteri menyusuli kemudian. Ada yang datang bersama. Ada di sana yang suaminya bekerja petik buah dan si isteri menjual makanan kepada pekerja lain dengan harga $5 sebekas. Jika ada 20 tempahan, sudah boleh dapat $100 sehari. Jumlah pekerja di sesebuah kawasan mencecah ratusan orang. Siapa yang pandai masak untung lah. Karipap seketul sahaja dijual $1 (RM3.20).


Berpuasa dan beraya di Australia

Jun 2014 tiba, Ramadhan pertama aku di perantauan. Sebelum ini memang teringin nak rasa apa perasaannya berpuasa di negara asing. Kerja seperti biasa. Alhamdulillah ketika itu musim sejuk jadi puasa pun singkat sebab ketika musim sejuk, waktu siang singkat. Balik kerja pukul 5.30pm dah masuk waktu maghrib. Lepas makan biasanya mata pun terus akan layu sebab makan banyak dan letih kerja. Terlepas la tarawih. Walaupun kerja gaji banyak, tapi bila puasa, terasa lainnya suasana, tak meriah macam suasana di Malaysia. Itu la kekurangannnya. Tapi semua tu pengorbanan dan pengalaman. Hujung-hujung bulan puasa, sambil kerja kami pasangkan lagu raya. Memang berdiri bulu roma. Rasa syahdu saja. Baru la lagu Sudirman "Dari jauh ku pohon maaf" rasa bermakna sebab dengar di perantauan. Tapi tak la sampai meleleh air mata. Bila dah balik Malaysia, rindu pula nak beraya di perantauan.

sembelih kambing 589

Ketika hari raya Aidilfitri, aku tidak berkesempatan beraya di ladang kerana pulang ke Melbourne beraya di Konsulat Malaysia untuk beberapa hari. Raya ke-3 aku sudah pulang ke ladang. Tapi aku sempat beraya Aidiladha. Disebabkan harga kambing yang murah di sana, jadi dan kawan aku Sam nak belanja kawan-kawan lain dengan buat kenduri. Harga seekor kambing biri-biri kat sana adalah $140 (RM448). Tak terasa sangat sebab gaji sehari dah boleh beli seekor kambing buat BBQ untuk Aidiladha. Jika di Robinvale lagi murah boleh dapat serendah $70(RM224) seekor. Juga pengalaman pertama aku sembelih kambing. Hehe


Pengalaman beli kereta

20150204 175032

Setahun selepas aku di Australia, rakan dan adik aku pula datang untuk merasai pengalaman yang sedang aku lalui ketika itu. Mereka tiba September 2014. Setelah dibawa ke tempat aku kerja, mereka terus bekerja keesokan harinya. Seperti aku dulu, mereka melalui proses yang sama. Ada perasaan teruja dan juga cuba menyesuaikan diri. Setelah beberapa bulan di sana, rakanku bercadang ingin membeli kereta bagi memudahkan pergerakan di sana. Kami sama-sama ke Melbourne dan mencari kereta terpakai. Nak beli kereta kena pergi daftar dengan VicRoads (Macam JPJ) dulu, then baru boleh beli.

kereta 635

Dipendekkan cerita, aku telah membeli kereta bagi pihak kawan aku Bart, Holden 2.0 dengan harga $2200 (RM7040). Memang sangat murah. Gaji tak sampai sebulan dah boleh beli kereta cash bercc 2.0 pula tu. Pernah juga seorang lagi rakanku, Sam, membeli kereta yang dijual oleh pekerja di ladang tempat kami kerja dengan harga $50 (RM160). Boleh lah untuk buat pergi balik kerja.


Pelbagai perkara berlaku

Ada seorang rakan aku yang susah senang bersama di sana, kini sudah berkahwin dengan orang Australia dan kini menetap di sana serta sudah mempunyai cahaya mata. Dia sekarang diberikan bridging visa sementara menunggu proses untuk mendapat visa pemastautin tetap. Rezeki Allah tu luas. Kalau orang cerita buruk pasal Australia, itu Allah dah tetapkan dia tak ada rezeki di sana. Rezeki kau dan dia, tak sama bro.


Cabaran dan pengorbanan

Bagi aku, aku langsung tak rasa kerja ini berat. Tipu la mula-mula tu tak rasa penat dan stress, tapi alah bisa tegal biasa la kan. Cuma perlukan kekuatan mental berjauhan dengan keluarga tersayang. Ramai yang putus asa kerana tekanan itu. Tapi di mana-mana pun kita kerja, akan ada liku-liku dan ranjaunya. Hanya cara kita atasi membezakan kita. Tak ada cabaran dalam hidup pun tak bermakna jugak kan.

20140926 113113

Jika nak cakap tentang tekanan fizikal, pun tak ada masalah sebenarnya. Ramai saja pekerja perempuan dan orang berumur 50 ke atas dari negara lain boleh survive, kenapa kita tak boleh? Sebab kita manja. Nak dengan tak nak saja. Nak cakap kerja macam bangla, itu memang tak la bagi pengalaman aku. Sebab sesiapa pun akan buat kerja yang dia mampu dan berikan pulangan yang baik. Tak ada kena mengena dengan bangsa dan warganegara. 

20140915 130405

Kerja teruk kena tekan sampai tak sempat rehat, balik badan sakit macam nak mati? Bagi aku tak, maybe sebab aku pernah kerja lebih teruk, atau toleransi aku tinggi. Pengalaman orang lain wallahualam aku tak tahu. Mungkin dia tak pernah kerja teruk? Mungkin biasa kerja ofis, bila keluar kerja luar, rasa macam nak mati? Mungkin sebab dia tersalah kerja dengan kontraktor yang penipu dan tuan ladang yang kejam? Nasib tak baik, atau tak ada rezeki la tu. Tapi belum cuba belum tahu. Bak kata orang "We don't know how strong we are until being strong is the only choice we have", kan?

img 20140506 140953

Tapi kenapa nak jadikan "bangla" sebagai penanda aras untuk kerja teruk? Kenapa tak cakap, "Eh taknak lah aku kerja macam tu, kerja macam Melayu". Kita tak cakap macam tu, sebab kita tak sanggup kerja sekuat bangla. Ramai saja Melayu yang kerja kuat, tapi tak adil lah kita nak gunakan bangla sebagai penanda aras. Kerja apa pun tak kisah, macam bangla kah, macam Melayu kah, macam Cina kah, macam India kah. Yang penting halal. Itu yang perlu kita ingat. Kalau kau kerja seminggu dapat RM2,500 kan, bangla tak bangla, janji masyuk. Betul?


Tips untuk tahan mental dan fizikal

Alang-alang dah aku cerita, better aku bagi tips untuk sesiapa yang nak ke sana atau di sana, untuk tahan mental dan fizikal. Pertamanya, betulkan niat, kalau anda nak pergi seronok-seronok, yang ini yang masalah. Bila kerja susah sikit, mulalah tak tahan nak balik. Niat kena betul iaitu nak cari duit, barulah apa saja halangan datang anda boleh lalui. Ramai sangat ingat kerja ini seronok-seronok dan dapat duit banyak. No, salah. Kerja gaji lumayan, ada la cabaran tersendiri. Ramai juga yang pernah ikut aku kerja, ada seorang student dari Melbourne. Kerja sehari, dah taknak kerja. Sebab apa? Sebab dia ada pilihan lain, nak kerja boleh taknak kerja pun boleh. Dan dia hanya nak dapatkan duit poket. So, memang tak tahanlah. Ada lagi 2 orang student juga dari Melbourne, kena buang kerja sebab kerja main-main. Jadi, betulkan niat memang nak cari duit betul-betul. Bukan suka-suka. Ini tersangat penting.

Kedua, buat kawan. Kalau anda pergi seorang diri atau berdua dengan rakan dari Malaysia, dan tinggal serumah dengan rakan anda, tak semestinya anda akan kerja di ladang yang sama. Jadi amatlah penting untuk anda berkawan dengan rakan yang kerja di ladang anda bekerja. Ini adalah supaya anda tak rasa keseorangan ketika bekerja. Kalau anda tak mahu berkawan, susahlah. Anda akan rasa waktu bekerja 8 jam tu sangat panjang, dan mula lah fikir nak balik Malaysia dan sebagainya. Bergaul lah, tak kira bangsa dan negara. Bila hati anda senang, anda akan rasa seronok, dan tak rasa tertekan lagi.

Ada 3 orang aku hantar pergi kerja di sana, tempat sama aku kerja. Baru sampai sehari, belum sempat kerja, dia dah nak cabut balik, tak jadi kerja. Alasan dia tak masuk akal. Seorang lagi sampai sana terus menangis. Rindu famili katanya. Dan lagi seorang, malam tu sampai rumah di ladang, dan esok harinya dia cabut lari ke tempat lain. Alasannya, aku tak beritahu yang akan tinggal dengan India Malaysia. Eh, kalau nak tinggal sebumbung dengan bangsa lain pun tak boleh, sapa sebenarnya yang bermasalah. 

Boss walaupun baik tapi garang, kalau dia maki f**k / fu***n hell tu, mesti ada sebab. Sama ada kami main-main atau mengular. Sekilometer boleh dengar dia maki. Hati kena kental, kalau anda yang buat salah kena maki, memang padan la. Hati tisu tak sesuai. Kalau kerja betul-betul dia takkan marah. Tapi kami dah lali, kena maki, tapi masih boleh gelak-gelak. True story.

Jadi sesiapa cakap kerja teruk tu, itu terletak pada ketahanan masing-masing. Berlambak perempuan kerja kat sana, umur dah lebih 50 tahun, boleh je tahan. Buat malu kaum adam saja yang cakap kerja macam bangla tu. Mental kena kuat la bro.


Pengalaman paling berharga dalam hidup

kerja di australia 2

Petik stonefruit (pic, nektarin, plum, aprikot) ini hanyalah salah satu kerja yang pernah aku buat di Australia. Banyak lagi kerja yang aku buat macam sorting cherry (gaji tertinggi aku penah dapat iaitu RM65 sejam), petik zucchini, broccoli, buah zaitun, epal, anggur dan macam-macam lagi. Rugi tak sempat nak cuba kerja asparagus, yang tu kerja start malam, habis pagi. Cerita orang berpengalaman, tengah kerja, tiba-tiba ada kanggaru berdiri kat situ, pandang je kau macam nak gaduh. Haha. Ada beran?

img 20140314 100200

Tapi bagi aku antara kerja paling menguji kelakian aku adalah kerja sayur iaitu zucchini dan broccoli. Satu sebab sakit pinggang, biasa la baru mula akan sakit. Lama-lama dah biasa okay la. Tapi bab cuaca, yang ni yang mental. Matahari belum terbit dah mula kerja. Pernah pukul 4.30 pagi dah tunggu kontraktor datang ambil. Naik van ramai-ramai dengan pelbagai bangsa dan warganegara. Kerja pulak bulan 5, musim sejuk. Sayur biasanya pokok atas batas. Suhu menusuk ke tulang, lorong-lorong pokok becak berair, terkena pula air embun. Sejuknya hanya Allah sahaja yang tahu. Ada satu pagi tu, terlalu sejuk ditambah dengan hujan renyai, semua orang saling pandang satu sama lain dan geleng kepala, sebab tangan, kaki, dan badan dah beku. Sekali matsaleh Australian geleng kepala. 

img 20140325 131733

Tapi begitu lah, pengalaman masing-masing. Bagi aku, aku bersyukur dapat pengalaman yang baik serta tak ditipu. Kita tak boleh hanya dengar cakap orang. Memang betul, tak semua orang boleh kerja sebegini, tapi tak semua orang akan gagal. Kalau nak pengalaman, keluarlah dari comfort zone anda, dan cuba challenge diri dengan sesuatu yang mencabar dan berbaloi. Selagi anda masih muda.


Nasihat terakhir jika ingin berhijrah

Mesti sebelum anda baca artikel ni, terlalu banyak yang anda dengar mengenai cerita buruk bekerja di Australia kan? Tak dinafikan, aku juga pernah mendengar cerita buruk dari orang. In fact, di dalam BAHAGIAN 1 artikel ini aku dah beritahu tentang aku buat research terlebih dahulu sebelum datang, dan memang ramai yang cerita buruk lebih daripada baik. Tapi itu tidak membuatkan aku patah semangat. Sebab aku percaya rezeki masing-masing, dan aku dan orang lain, kelebihan kita tak sama. Kalau semua orang kata susah, tak boleh, dan teruk, adakah ia mustahil? Tak. Bak kata Nelson Mandela, "It always seems impossible until it's done".

Tapi, memang benar ada yang ditipu oleh agen, ada yang kerja tak dibayar, ada yang dah sampai tapi kerja tak banyak dan gaji tak seperti diceritakan. Satu cara sahaja nak selesaikan. Gunakan akal fikiran kita. Jangan main terjah pergi ja bila dengar gaji RM15,000. Buat research, banyakkan membaca dan bertanya. Jangan malas.

Kalau anda tak guna otak, malu dan malas bertanya, bukan cakap kerja di Australia, kerja di KL pun anda akan kena tipu. Penipuan ni ada di mana-mana saja. Sama ada anda nak biarkan diri anda ditipu atau tak, itu terletak di tangan anda. Ramai orang nak ambil kesempatan dalam hal ini, sebab tu penting ada ilmu pengetahuan.


Tanya orang yang berpengalaman

Datang pada waktu dan musim yang betul. Ramai yang tak sabar-sabar nak pergi, dengar gaji tinggi, bulan Mac atau April pun tergedik-gedik nak pergi. Padahal tak tahu masa tu kerja kurang sebab dah mula sejuk. Kalau ada pun kerja anggur atau sayur. Sayur dan anggur tak sesuai untuk budak baru. Sebab anda akan rasa teruk gila. Dan bila dah rasa teruk, mulalah buat cerita yang kerja di Australia ni indah khabar dari rupa. Padahal anda yang salah, tak buat persediaan dan kurang pengetahuan mengenai perkara ini.

Paling sesuai adalah kerja di ladang stonefruit untuk permulaan. Ini tak, pergi musim sejuk, anda baru sampai dan tak biasa dengan cuaca sejuk, kena pula kerja sayur macam aku cerita tu, 5.30 pagi dah kerja dalam cuaca sejuk, aku berani jamin anda akan menangis. Dan 80% akan putus asa. Jadi, plan betul-betul. Jangan kalut.

After all, hidup kita sangat singkat untuk kita hanya duduk dan tertanya-tanya. Go out there and challenge yourself. Baru kau tahu siapa diri kau, sama ada kau bangla atau orang Malaysia. Dan bagi aku, pengalaman ini sedikit sebanyak mematangkan aku dari beberapa sudut. Dan inilah pengalaman paling berharga dalam hidup aku. Banyak lagi sebenarnya butiran-butiran yang aku tak ceritakan dalam ini secara terperinci, nanti terlalu panjang artikel ini, ini pon dah panjang gila.

Semoga penerangan aku ini cukup detail bagi mereka yang tertanya-tanya mengenai kerja petik buah di Australia. Memang ada cerita pasal ni sebelum ini, tapi mungkin ini yang paling terperinci anda pernah baca. Baru dapat gambaran yang lebih jelas. Dan harap tak menyinggung mana-mana pihak. Kalau ada, beritahu. Okay, till next time.


TAMMAT


tags : , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)