Oleh pada 11 Aug 2017 kategori

Tak perlu nak kenalkan lagi siapa Jackie Chan. Semua orang mengenali lagenda seni bela diri dan pelakon hebat dan tangkas ini. Walaupun bertubuh kecil, ia bukanlah penghalang kepada Jackie Chan untuk berjaya dalam industri lakonan sehingga menembusi Hollywood. Beliau yang tak boleh membaca, adalah contoh kepada masyarakat bahawa usaha dan kegigihan mampu membuahkan kejayaan.

jackie chan

Jackie Chan dilahirkan pada 7 April 1954 di Hong Kong kepada bapanya Charles dan ibunya Lee-lee Chan. Ketika dilahirkan, bapanya yang tak mampu membayar kos pembedahan terpaksa meminjam daripada rakan, dan menolak tawaran doktor untuk mengambil Jackie Chan sebagai bayaran.

family photo small

Bapanya merupakan seorang tukang masak di kedutaan Perancis di Hong Kong manakala ibunya seorang pembantu rumah. Semasa zaman kanak-kanaknya, kehidupan Jackie Chan dihimpit kemiskinan yang sangat teruk. Bapa beliau akan mengejutkan awal pagi dan mereka akan berlatih kung fu bersama-sama. Charles percaya dengan belajar kung fu, ia akan membantu Jackie Chan dalam membina karekter, mengajar erti kesabaran, kekuatan dan keberanian.

jackie chan kecil

Ketika di sekolah rendah, beliau bersekolah di Nah-Hwa Primary School yang mana beliau gagal pada tahun pertama lalu diberhentikan sekolah oleh bapanya. Wang yang diberikan untuk berulang alik ke sekolah sebaliknya digunakan untuk membeli makanan, dan berjalan kaki pergi dan pulang dari sekolah serta kerap bergaduh dengan kanak-kanak kulit putih dalam perjalanan. 

jackies

Ketika kanak-kanak lain lulus dan melangkah ke darjah 3, Jackie Chan yang gagal masih di darjah 1. Melihat keadaan itu, bapanya menghantar beliau yang berusia 7 tahun ketika itu ke Akademi Drama China, sebuah Sekolah Opera Peking. Ketika berjalan bersama ayahnya di sekolah itu, beliau terlihat kanak-kanak beraksi dan bermain pedang serta kayu. Beliau menceritakan ketika itu beliau berasa sangat teruja dan bersemangat, serta tidak mahu ke sekolah akademik lagi.

jackie chan kecil 2

Di sekolah tersebut, beliau mempelajari seni bela diri, akrobatik, menyanyi dan juga berlakon. Pelajar sekolah ini diajar disiplin yang sangat tegas di mana mereka akan dipukul jika melanggar arahan atau membuat kesilapan. Walaupun agak keras baginya, namun Jackie Chan tiada tempat untuk beliau pergi kerana ketika itu ibu bapanya telah berpindah ke Australia dan beliau dijaga oleh seorang Master. Beliau tidak bertemu dengan ibu bapanya untuk beberapa tahun.

Beliau menamatkan pelajaran di akademi ini pada usia 17 tahun, namun ketika itu Opera China sudah tidak lagi popular membuatkan beliau dan rakan-rakannya terpaksa mencari kerja dalam bidang lain. Namun, ia adalah sangat sukar kerana mereka tidak diajar membaca dan menulis ketika di akademi itu. Satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya adalah kerja buruh atau kerja aksi.

jackie dan bruce lee

Ketika itu juga banyak filem di Hong Kong dihasilkan dan mereka memerlukan stuntman yang muda dan kuat. Jackie Chan yang sangat lincah dan sanggup mencuba apa saja untuk mendapatkan kerja. Karier sebagai seorang stuntmat Jackie Chan bermula dengan filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury pada dan Enter the Dragon pada tahun 1972 dan 1973.

Namun ia tidak semudah itu. Kegagalan demi kegagalan dilalui Jackie Chan dan disebabkan kesukaran mencari kerja stuntman, beliau berhijrah ke Australia dan tinggal bersama ibu bapanya di sana pada tahun 1976. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran dan bekerja dalam bidang pembinaan.

jackie dan willie

Kerja dalam bidang pembinaan amat sukar dan membosankan bagi Jackie, membuatkan beliau tidak gembira tinggal di Australia. Namun, nasib menyebelahi Jackie Chan apabila penyelamatnya iaitu Willie Chan muncul dalam hidupnya. Willie Chan bekerja dalam industri perfileman Hong Kong dan sedang mencari seorang bintang untuk filem terbaru Lo Wei (pelakon dan direktor yang popular di Hong Kong). Willie yang pernah melihat bakat dan aksi Jackie sebagai stuntman berasa kagum, dan telah bertemu dengan Jackie. Ketika ini Jackie Chan belum mengetahui bahawa Willie akan menjadi rakan baiknya serta pengurusnya.

new fist of fury

Jackie Chan kemudiannya pulang ke Hong Kong untuk membintangi filem "New Fist of Fury" ketika berusia 21 tahun. Namun, filem ini tidak begitu berjaya kerana bakat yang ada pada Jackie Chan tidak digunakan dengan sebetulnya. Kejayaan mula menampakkan bayangnya hanya apabila Jackie Chan menyumbangkan ideanya yang menggabungkan unsur lawak ke dalam filem seni bela diri. 

Tak lama selepas itu, Jackie Chan mula menjadi bintang terkenal, dengan kejayaan dalam filem "Snake in Eagle's Shadow", diikuti dengan filem blockbuster iaitu "Drunken Master". Filem pertama yang diarahkan oleh Jackie Chan juga mendapat sambutan hangat iaitu "Fearless Hyena".

drunken master 458

Jackie Chan tidak berhenti disitu sahaja apabila beliau mula bereksperimentasi dengan watak komiknya. Perubahan ini memberikan perspektif yang baru kepada genre ini yang mana kemahirannya yang dipelajari di sekolah opera telah digunakan sepenuhnya oleh Jackie Chan.

Selepas kematian Bruce Lee, pencarian pelaon baru yang boleh menginspirasikan penonton seperti mana dilakukan Bruce Lee, lalu setiap ahli seni bela diri muda diberikan peluang. Jackie Chan yang tidak mahu meniru gaya dan hidup dalam bayang-bayang Bruce Lee telah menghasilkan gaya tersendiri dalam lakonannya. Dalam menyempurnakan gayanya yang tersendiri, pelbagai kecederaan yang dialaminya termasuklah patah hidup sebanyak 3 kali, buku lali, hampir kesemua jarinya, tulang pipi serta tengkorak kepalanya.

jackie chan hollywood

Kini Jackie Chan adalah antara salah satu lagenda seni bela diri di antara yang terbaik di dunia setaraf dengan Bruce Lee. Jackie Chan bukan sahaja sangat popular di Asia malah juga di Hollywood. Banyak filem-filem beliau mendapat sambutan hangat di Hollywood termasuklah Rush Hour dan Shanghai Noon. 

Walaupun dengan menerima pendidikan yang sangat minima, beliau telah dijadikan sebagai doktor kehormat sains sosial oleh Hong Kong Baptist University dan rakan kehormat oleh Hong Kong Academy of Performing Arts.

jackie chan lagenda

Tidak mampu membaca dan menulis, Jackie Chan masih mampu mencapai kejayaan sebegitu besar disebabkan ketekunan dan kegigihan beliau dalam bidang yang diceburi. Usaha inovatifnya menambah elemen komik dalam filem seni bela diri terbukti berkesan dan memberikan impak besar kepada dunia perfileman sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2015, majalah Forbes menganggarkan kekayaan Jackie Chan adalah sebanyak RM1.5 billion.


tags : , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)