iluminasi city vios almera honda nissan toyota1

Honda City versi baru telah pun dilancarkan baru-baru ini selepas Toyota kembali melakukan beberapa penambahbaikan ke atas model Vios yang amat popular di kalangan rakyat Malaysia. Kereta dalam segmen B di bawah RM100 ribu ini merupakan segmen paling popular di Malaysia, dipenuhi model-model seperti Honda City, Mazda 2, Nissan Almera, Toyota Vios dan juga model nasional, Proton Persona dan boleh juga diambil kira Proton Preve.

Tetapi untuk hari ini, aku ingin kongsikan pengalaman aku memandu uji 3 buah model kereta bukan nasional yang popular iaitu Honda City, Toyota Vios dan Nissan Almera. Ketiga-tiga model ini pasti mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana ketiga-tiganya merupakan model jenama Jepun dengan harga yang tidak ketara perbezaannya. Ini pendapat aku berkenaan ketiga-tiga model ini.

1. Harga

Kita terus kupas tentang isu paling mudah iaitu harga. Harga Almera rendah sekitar RM10ribu jika dibandingkan dengan Vios atau City. Vios paling mahal antara semua tetapi apabila dilihat dalam bentuk ansuran bulanan, ketiga-tiga kereta mempunyai nilai ansuran yang tak jauh berbeza. Jadi, kita cuba buang faktor harga kerana sasaran kita adalah kereta sedan bawah RM100 ribu yang terbaik.

2. Reka bentuk

Ini juga sesuatu yang aku tak perlu ulas panjang kerana reka bentuk ini subjektif pada mata kita. Ada orang rasa Almera cantik tapi pada aku, bahagian belakang Almera mampu membuatkan aku muntah kerana terlalu hodoh rekaannya. Rekaan City dan Vios pula nampak lebih seimbang depan belakang. Oleh kerana isu ini subjektif, anda putuskanlah sendiri siapa pemenang. Kalau nak bertekak pasal rupa, sampai esok tak habis.

3. Praktikaliti

Ruang belakang Almera paling kecil sementara City memiliki ruangan belakang paling besar. Vios di tengah-tengah. Rekaan dalaman Vios paling praktikal jika dibandingkan dengan City kerana Vios mempunyai ruang storan yang lebih tersusun. Dari segi keluasan kabin pula, City menang dalam perbandingan ini kerana ada kuasa magik yang dilakukan; walaupun City nampak kecil, keluasan kabinnya agak lapang. Dari segi rekaan paparan muka pula, Vios sebenarnya nampak memberikan aspek perincian yang halus berbanding kedua-dua kereta lain. City kemas tetapi kosong, Almera pula nampak 5 tahun ke belakang. Oh, City ada ruang udara tempat duduk belakang.

4. Keselamatan

Di sini, City menang. Tak ada saingan. Model City paling mahal mempunyai ciri keselamatan paling lengkap berbanding ketiga-tiga model yang dibandingkan. Toyota pula, selepas menambahbaik model Vios baharu saja memasukkan Vehicle Stability Control ke dalam kereta yang menjadi standard pada semua model City.

5. Pemanduan

Tujuan aku menulis perbandingan ini sebenarnya untuk topik ini sahaja tapi kalau tak sentuh yang lain, tak lengkap rasanya. Kereta mana yang memberikan pemanduan paling baik antara ketiga-tiga kereta. Nissan Almera apabila dipandu dapat dirasakan yang pemanduannya agak kurang mencabar. Maksud aku, kereta itu bergerak, kita pusing stereng kereta berpusing, tetapi tidak ada keseronokan memandu datang. Almera kompeten tetapi tidak menggetarkan jiwa. Macam Uncle yang ramah dan boleh borak lama.

Di antara City dan Vios, kereta yang lebih sedap dipandu adalah Vios. Ada kelainan yang agak ketara dari cara Vios menyerap hentakan jalan yang selesa jika dibandingkan dengan City. Jika memandu di jalan yang tidak rata, kelancaran dan keselesaan memandu Vios akan lebih dirasai. Walaupun begitu, City bukanlah teruk cuma gegaran permukaan tidak rata lebih dirasai. Stereng Vios juga memberikan maklumbalas kepada pemandu dengan lebih jelas.

Sistem penyokong suspensi City lebih keras berbanding Vios, tetapi apabila lengkungan jalan diambil laju, kedua-dua kereta mampu melekat di atas jalan dengan baik dan stabil tanpa memberikan rasa membuang.

iluminasi city vios almera honda nissan toyota2

Kesimpulan

Jadi, akhir sekali, kereta mana yang lebih baik? Kita tolak Almera awal-awal. Ada sebab kenapa Almera lebih murah dan sebabnya nyata dapat dirasakan dari segi ciri dan faktor pemanduan. Almera baik, tapi jika dibanding terus dengan City dan Vios, ketara perbezaannya. Jika ditanya, selepas Vios facelift dan City facelift diperkenalkan, mana satu patut jadi pilihan?

Untuk pemilik yang berkeluarga, City merupakan pilihan yang lebih praktikal. Untuk individu bujang yang gemar memandu, pilihlah Vios.

Harus diingatkan, ada perbezaan harga di antara kedua-dua kereta. Untuk perbandingan lebih mudah, kita ambil andaian bahawa UMW Toyota menurunkan harga Vios supaya lebih hampir dengan City, jadi kereta mana yang lebih baik?

Untuk pakej yang lengkap, Toyota Vios adalah pemenang keseluruhan tetapi ada beberapa faktor lain yang dimenangi City yang diharap akan ditambah baik oleh Toyota supaya perbandingan ini dapat disimpulkan dengan lebih mudah. Honda City bagus, namun perinciannya tidak sehebat Vios.


tags : , , , , , , , , , , ,









/ / /
Hakcipta iluminasi.com (2017)