Dalam kehidupan kita, lebih-lebih era moden ini, materealisma dan penampilan meresap ke dalam diri, sejak kecil ke peringkat remaja sehinggalah kita dewasa. Ketika kita masih kecil, kita menghakimi masing-masing siapa lebih cool dengan apa yang kita ada, dan ia kemudiannya dibawa ke peringkat remaja dan semakin menjadi-jadi.

Pakaian apa anda pakai? Telefon apa anda pakai, iPhone atau Samsung? Kereta apa ibu dan ayah anda belikan? Kita dinilai dan menilai serta diletakkan di dalam hierarki sosial tanpa disedari. Dan apabila dewasa, ia masih ada di dalam diri walaupun semakin kurang kejelasannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

jono l

Jika kita dilahirkan sebagai individu normal, dan itu pun membuatkan kita bergelut untuk bergaul dengan masyarakat, bayangkan apa yang dialami oleh Jono Lancester, yang dilahirkan dengan keadaan yang berbeza.

Dilahirkan tidak normal

Pada tahun 1984, Jono Lancester dilahirkan dan mengalami sindrom Treacher Collins, di mana wajah beliau tidak mempunyai tulang muka, dan separuh daripada pesakit ini hilang deria pendengaran. Keadaan ini membuatkan mata Jono jatuh sedikit ke bawah daripada individu normal.

jono lancaster 10 136

Masalah ini dikatakan berlaku kepada 1 daripada 10,000 bayi di United Kingdom. Kebanyakan kes adalah dominan autosomal, dengan mutasi dalam genetik TCOF1.

Dibuang ibu bapa sendiri

jono lancaster 9 59

Ibu bapa Jono yang tidak tahu akan keadaan ini sangat terkejut melihat wajahnya itu. Mereka tidak dapat menerima kenyataan dan tidak mahu menerimanya. 36 jam selepas Jono dilahirkan, beliau diserahkan oleh ibu bapa kandungnya kepada jabatan kebajikan untuk diberikan kepada sesiapa yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat.

Diambil keluarga angkat

Jabatan kebajikan kemudiannya menemui seorang wanita, Jean Lancaster. Jane diberitahu bahawa terdapat seorang bayi yang diabaikan oleh ibu bapanya sendiri yang tidak ada perasaan sayang terhadapnya. Jane kemudiannya berkata, "Bagaimana seseorang itu tidak rasa sayang pada anak sendiri?".

Jane telah diberi peringatan mengenai wajah bayi tersebut, namun sejurus selepas Jane melihatnya, beliau terus mengangkat bayi tersebut dan tersenyum, sambil berkata, "Bila saya boleh bawa dia pulang?".

Bayi tersebut dibawa pulang dan diberi nama Jono. Untuk tempoh 5 tahun, Jane cuba menghubungi ibu bapa kandung Jono, sambil Social Service menghantar laporan perkembangan dan juga gambar-gambar Jono. Namun, ibu bapa Jono menghantar semula surat-surat tersebut tanpa dibuka.

jono lancaster 11

Beliau menceritakan bahawa beliau sangat terdesak untuk mendapat kawan sehingga sanggup berbuat apa saja. Beliau membeli dan memberikan gula-gula kepada kanak-kanak lain supaya mereka menyukainya. Beliau pernah membakar mercun di dalam kelas, hanya kerana mahu orang bercerita mengenai kejadian tersebut, dan bukan mengenai wajahnya.

Menjadi bahan ejekan dan ketawa

Ketika berumur 7 tahun, Jono mula rasa dirinya berlainan kerana layanan yang diberikan kanak-kanak lain. Mereka mengejek Jono dengan menarik kedua-dua mata mereka ke bawah serta berlari menjauhi Jono kerana takutkan wajah mereka menjadi sepertinya.

jono lancaster 5

Jono kemudiannya pulang ke rumah dan bertanya kepada ibunya, Jane, mengapa mereka bertindak demikian, yang membuatkan Jane mengalirkan air mata. Jono berasa sangat bersalah kerana buat ibunya menangis. Satu hari ketika Jono berada dalam bas dalam perjalanan ke muzium, terdapat satu pasangan kekasih yang sedang bermesra.

Ia membuatkan Jono tersenyum, namun mereka kemudiannya mengejek-ejek rupa parasnya. Ibu Jono kemudiannya pergi bercakap dengan pasangan tersebut yang membuatkan ibunya menangis.

Sejak itu, Jono mula menyendiri, dan semakin beliau membesar menjadi remaja, Jono mula berfikir, "Mengapa aku? Kenapa ibu bapa aku buang aku? Ibu bapa sepatutnya menyayangi anak mereka walau apa keadaan sekalipun. Kalau mereka sendiri buang aku, siapa akan mahukan aku?"

Bencikan wajah sendiri

jono lancaster 2

Jono mula membenci wajahnya dan menjadi parah kerana tidak dapat mengubah wajahnya. Jono akan mengelak daripada melihat wajahnya, walaupun hanya refleksi melalui cermin di tepi jalan. Beliau sangat malu dengan rupa sendiri. Rakan-rakanya semua mempunyai impian dan cita-cita, dan mempunyai kekasih. Beliau juga ingin kelihatan cool, popular dan menarik. Namun, itu hanya angan-angan.

Mula bersemangat untuk hidup

Rakan Jono, Ben, yang selalu membulinya menawarkan kerja sebagai pelayan di bar. Jono yang berusia 19 tahun ketika itu bersetuju. Namun, Jono hanya bertahan selama 3 jam kerana mereka yang memesan minuman semuanya mengejeknya dan ketawa sekuat-kuatnya melihat wajah Jono. Beliau rasa sangat malu dan ingin pulang.

jono lancaster 13

Namun, datang seorang lelaki berotot dan duduk di bar tersebut. Jono cuba mengelak daripada melayan lelaki tersebut, namun tidak berjaya. Lelaki tersebut bertanyakan apa yang berlaku kepada wajah Jono, dan beliau menerangkan segalanya, termasuklah beliau memakai alat bantuan pendengaran kerana pekak.

Kemudian lelaki itu berkata, "Kau bernasib baik kerana boleh matikan alat bantu pendengaran itu, kerana aku pun inginkan begitu. Setiap kali aku pulang ke rumah isteri aku akan membebel 24 jam. Kau patut bersyukur,"

Ia membuatkan Jono dan lelaki itu tertawa, dan itulah kali pertama seseorang ketawa bersama-sama Jono, dan bukan ketawakan Jono. Sejak daripada insiden itu, Jono menjadi lebih bersemangat untuk hidup dan keyakinan dirinya semakin bertambah. Jono berjanji dengan dirinya untuk hanya fokus kepada perkara positif sahaja.

Tamatkan pelajaran dan bekerja

jono lancaster 15 619

Beliau kemudiannya menghabiskan diploma dalam sains sukan dan bekerja sebagai pelatih kecergasan di gym. Walaupun ia penuh dengan cermin, namun ia tidak mematahkan semangat Jono, malah membuatkan Jono mula tersenyum dan fikirkan bahawa hidup ini sebenarnya indah.

Pada tahun 2009, Jono berhadapan dengan satu cabaran yang paling kuat dalam hidupnya, apabila beliau cuba mencari ibu bapa kandungnya.

jono lancaster 6

"Saya memang berniat mencari mereka, tapi ketika remaja saya berasa sangat marahkan mereka. Saya ingin berjumpa dengan mereka hanya untuk memarahi mereka, namun sekarang saya sudah dewasa dan memahami segala-galanya. Saya fikir semuanya telah berubah dan mungkin mereka mahu tahu yang saya gembira sekarang,"

Namun, Jono sekali lagi kecewa dan patah hati apabila ibu bapa kandungnya tidak menerimanya buat kali kedua. Jono sangat sedih sehingga menangis dan terus menangis, namun akhirnya beliau menerima kenyataan.

"Saya dapat tahu bahawa ibu bapa saya mempunyai 2 orang anak yang lain selepas saya. Saya gembira mereka mempunyai keluarga. Saya gembira, dan saya harap mereka juga gembira,"

Menyumbang kepada mereka yang senasib

jono lancaster 7 147

Kini, Jono menyumbang kepada masyarakat dengan mengembara ke serata dunia bertemu dengan kanak-kanak yang senasib dengannya bagi memberi semangat kepada mereka. Beliau kini bekerja sebagai guru dan motivator untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang sindrom Treacer Collins dan bagaimana untuk berhadapan dengannya.

Beliau juga mengumpulkan dana bersama "Love Me, Love My Face Foundation" bagi membantu mereka yang mengalami nasib yang sama.

Rujukan :

BBC

Blogs Plos

NTD TV




Hakcipta iluminasi.com (2017)