Oleh pada 24 Jul 2017 kategori

Dah beberapa hari saya menaiki MRT ke tempat kerja saya di Puchong dari Kajang. Memang amat teruja sebenarnya menaiki MRT kerana selama ini saya berkereta dan apabila stesen LRT di buka di Puchong yang benar hampir dengan tempat kerja saya, saya ada cuba-cuba juga untuk ke Puchong menaiki pengangkutan awam.

Namun gagal diteruskan kerana memerlukan banyak proses transit. Lagipun saya masih perlu memandu kereta jauh. Bila dah ada di Kajang ni, fulamak, lega rasanya. Setakat ini, selesa. Perjalanan pun lancar kerana saya tak perlu lagi memandu jauh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, berdasarkan penelitian saya masih lagi ada banyak kekangan berkenaan pengangkutan awam yang membezakan kita dengan masyarakat lain yang lebih terkedepan berbanding kita. Bukanlah niat saya hendak memandang rendah masyarakat kita sendiri tetapi perkara-perkara ini jelas berlaku setiap hari pada pemerhatian saya. Ni lah 5 contoh mentaliti orang kita yang perlu diangkat supaya setaraf dengan sistem MRT kita yang kini semakin bertambah maju.

1. Beri laluan eskalator

iluminasi naik mrt2

Tak susah rasanya jika kita semua mengamalkan sesiapa yang tak mahu berjalan di eskalator supaya berdiri di tepi sebelah kiri kerana tanda peringatan sudah pun diletakkan. Kosongkan laluan di sebelah kanan bagi mereka yang nak mendaki tangga eskalator atau nak cepat.

Ini satu perkara yang setiap kali saya akan nampak dan memang akan mengganggu perjalanan trafik penumpang lain. Yang bercinta tu, berengganglah sekejap. Teman lelaki berdiri belakang yang wanita berdiri di depan. Seminit kot paling lama dan takkan putus cinta suci anda tu.

2. Tak mahu bagi orang keluar tren bila beratur

iluminasi naik mrt

Saya tak mengerti kenapa kita susah sangat nak beratur dan beri peluang kepada orang dari dalam tren keluar dulu. Pada hemat saya ini kerana kita takut kita tak dapat masuk tren jadi ramai yang ready berdiri depan pintu masuk sampai dia sendiri ganggu orang nak keluar.

Berdirilah di tepi sikit beri ruang untuk orang keluar kerana kalau orang tak boleh keluar, kita tak boleh masuk. Itupun tak boleh fikir?

3. Dia ingat MRT tu bilik dia

iluminasi naik mrt5

Ini saya tujukan kepada pengguna tablet yang gemar menonton filem atau drama tanpa menggunakan headphone. Tak susah rasanya untuk faham yang bukan semua orang nak tonton sama drama Korea yang anda tengok tu cik adik. Pakailah earphone atau headphone.

Tak pun tonton saja drama bisu dengan hanya berdialog sarikata terjemahan. Yang berpakat nak tonton video viral ramai-ramai pun sama. Boleh saja tonton pada waktu lain beramai-ramai tapi waktu orang lain nak tenang-tenang tu lah dia nak tunjuk kat kawan-kawan video orang bergaduh. Yang cakap telefon kuat-kuat pakai loudspeaker lagi satu spesis.

4. Jenis yang sibuk tangkap gambar dan video

iluminasi naik mrt6

Kita ada dalam zaman media sosial namun bukan semua orang berminat nak masuk dalam media sosial anda. Saya tak tahu kenapa anak muda zaman sekarang ni rasa ada orang berminat nak tengok liputan dia naik MRT secara langsung.

Tak pasti pula saya dia pakai Whatsapp video call atau Facebook Live tapi annoying bro kalau anda buat liputan langsung melibatkan orang lain.

5. Adab sopan mana?

iluminasi naik mrt4

Saya akui tidak ada kewajipan untuk beri perempuan, warga tua atau mereka yang sedang mendukung anak duduk jika tempat duduk keutamaan sudah di isi mereka yang layak. Memang tidak ada paksaan untuk anda bangun berikan tempat duduk anda kepada ibu yang perlu mendukung anak sebelah tangan dan pegang tas tangan sebelah lagi.

Kami tak boleh marah anda kalau anda terus buat muka toya dan buat tak pedulikan ada orang yang lebih layak duduk berbanding anda. Saya tahu anda nak duduk nak main game atau nak browse berita penting dekat media sosial anda, tapi mana dia adab sopan dan rasa bertimbang rasa anda?

Itulah lima benda yang saya nampak. Saya seronok tengok lebih ramai yang beradab dalam MRT tapi bila nampak yang tak elok tu, memang menyakitkan hati saja. Harapnya siapa yang termakan cili, dialah yang rasa pedasnya. Kita lagi 3 tahun nak masuk 2020 ni.

Nukilan,

Brader Admin Rumah Kajang Ofis Puchong24 Julai 2017

Nota - semua gambar dalam tulisan ini hanyalah hiasan kecuali gambar yang mewakili poin nombor 3. Yang tu saya letak bukan sebagai hiasan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)