Stephen Hawking, pakar teori berkaitan cabang ilmu kosmologi, merupakan salah seorang ahli sains paling menjadi rujukan dunia. Sumbangannya kepada dunia antaranya adalah teori bagaimana mengukur radiasi dalam lohong hitam, teori-teori mekanik kuantum dan teori relativiti. Saya bukan nak mengajak pembaca-pembaca sekalian mengetahui apa yang dimaksudkan, tetapi saya nak berbicara mengenai teknologi yang dibina untuk Stephen Hawking berkomunikasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seperti ramai yang sudah ketahui, Hawking adalah pengidap penyakit Motor Neuron Disease atau MND di mana berlakunya kematian neutron dalam sel otak beliau. Penyakit tersebut menyerang saraf di bahagian otak dan mengganggu mesej-mesej yang hendak disampaikan dari otak ke semua bahagian otot sehingga pesakit mengalami masalah mengawal kesemua otot sehingga mengakibatkan kehilangan upaya untuk bergerak, makan, bercakap dan lebih malang, bernafas.

iluminasi stephen hawking fizik sains teknologi4

Stephen Hawking bersama isteri beliau, Jane Wilde

Pada tahun 1985, Hawking telah kehilangan keupayaan untuk bercakap selepas menjalani trachtheotomy, sejenis pembedahan yang menebuk lubang dilehernya untuk membolehkan beliau bernafas selepas beliau dijangkiti pneumonia, sejenis jangkitan paru-paru ketika berada dalam kondisi hidup dengan bantuan. Selepas kehilangan kebolehan untuk bertutur, beliau berkomunikasi menggunakan kad yang mengandungi huruf dan huruf dipilih satu-satu dengan menggerakkan kening beliau sebagai tanda mana yang dipilih.

Seorang sahabat beliau yang bernama Martin King mendapat tahu mengenai sebuah syarikat teknologi yang membantu pesakit memilih huruf dan arahan menggunakan komputer melalui peranti butang klik. Selepas mendapat persetujuan, sistem tersebut dipadankan pada bentuk yang lebih mudah alih dan dipasang di kerusi roda Hawking. Hasil pengenalan teknologi tersebut, Hawking mula dapat berkomunikasi dalam kadar 15 perkataan satu minit.

Pada tahun 1997, Hawking mula memerlukan peranti prosesor yang lebih kuat untuk memproses jadi beliau mula bekerjasama dengan Intel untuk mereka komputer yang mampu mentafsirkan mesej beliau dengan lebih baik. Setiap 2 tahun, komputer itu akan digantikan untuk membantu beliau memproses maklumat dengan lebih cepat.

Kemudian selepas kehilangan keupayaan mengawal jarinya pada sekitar 2008, Hawking memerlukan peranti lain kerana beliau kini hanya mampu menggerakkan otot pipi beliau sahaja. Teknologi baru terpaksa dibangunkan untuk memastikan beliau tetap dapat berkomunikasi. Dengan mengambil kira had pergerakan beliau yang hanya mampu mengawal otot pipi, pembantu beliau ketika itu mencipta satu alat yang dipanggil "cheek switch." Dengan memasang satu pengimbas infrared di cermin mata beliau, peranti itu membaca perubahan pada otot pipi beliau lalu disalurkan kepada komputer untuk berkomunikasi.

iluminasi stephen hawking fizik sains teknologi3

Stephen Hawking bersama pelakon komedi Jim Carrey bergurau senda.

Walaupun begitu, semakin hari keupayaan Hawking berkomunikasi semakin perlahan jadi beliau meminta bantuan dari Intel untuk membantu mempercepatkan prosesnya. Intel mengumpulkan pakar-pakar komunikasi manusia-komputer mereka lalu mereka memutuskan untuk menggabungkan beberapa teknologi seperti imbasan muka, kawalan melalui pandangan dan hubungan di antara komputer dan otak. Walaupun begitu, selepas beberapa percubaan yang kebanyakannya gagal, beberapa teknologi yang dibangunkan didapati tidak sesuai dengan kondisi Hawking pada ketika itu.

Akhirnya Intel mengambil keputusan untuk menambahbaik dan memperbaharui perisian yang digunakan Hawking selama ini untuk memudahkan beliau menaip. Selama ini perisian bernama EZ Word digunakan oleh Hawking untuk menaip jadi Intel membangunkan satu perisian baru yang dinamakan ASTER atau Assistive Text Editor yang dapat mempercepatkan kebolehan Hawking untuk menaip, yang masih menggunakan imbasan terjemahan pergerakan otot pipi yang dibaca oleh pengimbas infrared di cermin mata beliau.

Walaupun begitu, Hawking mengatakan percubaan beliau menggunakan ASTER adalah satu proses yang rumit pada beliau sehingga beliau melabelkannya sebagai "bencana." Kemudian Intel mula menggabungkan teknologi Swiftkey (ya, Swiftkey yang mungkin dipasang ditelefon anda itu) ke dalam ASTER untuk membantu beliau memilih perkataan. Selepas beberapa percubaan, teknologi itu dimuktamadkan dengan nama ACAT atau Assistive Contextually Aware Toolkit, yang mengandungi pelbagai cara untuk membantu Hawking mengawal apa yang beliau perlukan.

Untuk bercakap pula, Hawking akan menggunakan sebuah perisian yang diberi nama Speech+. Beliau akan menaip perkataan atau ayat yang dimahukan dan kemudian perisian tersebut akan mentafsir perkataan kepada ayat. Apa yang mengkagumkan, teknologi tersebut sebenarnya sudah berusia hampir 40 tahun kerana teknologi tersebut diambil daripada alat penjawab telefon automatik yang digunakan pada era 80 an. Untuk memberikan syarahan atau kelas, Hawking akan menaip terlebih dahulu setiap ayat yang akan dibacakan dan kemudian beliau akan mengawal bacaan ayat itu satu per satu.

iluminasi stephen hawking fizik sains teknologi2

Buat masa sekarang, semua komunikasinya datang dari pergerakan otot pipi. Pelbagai kajian dan pembangunan sedang dilakukan untuk membantu beliau sekiranya beliau hilang keupayaan lagi di masa akan datang seperti penggunaan pengimbas wajah, penggunaan joystick untuk membolehkan Hawking mengawal kerusi rodanya sendiri, imbasan mata dan paparan kawalan otak. Walaupun begitu, setakat ini Hawking paling selesa menggunakan otot pipi beliau untuk berkomunikasi.

Begitulah sedikit sebanyak kisah mengenai teknologi yang dibangunkan untuk membantu salah seorang pakar fizik terkemuka berkomunikasi. Harap kita dapat serba sedikit inspirasi untuk bersama-sama memulakan pembangunan teknologi-teknologi seperti ini di Malaysia.

p.s. - Untuk pengetahuan anda, peranti komputer terbaru Hawking ketika ini menggunakan komputer riba jenama Lenovo Yoga yang mengandungi prosesor Intel i7 dan perisian Windows 10.




Hakcipta iluminasi.com (2017)