Oleh pada 28 May 2017 kategori

Pengurusan Islam dilihat sebagai satu alternatif yang terbaik dalam pengurusan sesebuah organisasi. Konsep pengurusan Islam yang berteraskan tauhid menggambarkan betapa dinamiknya Islam dalam menangani isu-isu pengurusan yang gagal diselesaikan oleh sistem pengurusan yang sedia ada. Kenyataan ini bukan bermakna sistem pengurusan yang digunapakai sekarang tidak selaras dengan Islam. Cuma masih banyak lagi ruang untuk penambahbaikan serta keperluan kepada proses mengasimilasi nilai-nilai universal Islam ke dalam sistem pengurusan yang digunapakai dewasa ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika ditinjau ke dalam sesebuah organisasi, masalah pembaziran merupakan isu yang sering diberi perhatian oleh pihak pengurusan. Pembaziran yang di maksudkan di sini ialah pembaziran sumber atau pembaziran input kerja yang sudah tentu memberi kesan yang negatif terhadap produktiviti sesebuah organisasi. 

Pembaziran Kepakaran

kepakaran kejuruteraan kimia

Kelayakan dan kepakaran seseorang itu dalam sesuatu bidang belum tentu dapat menjamin dia akan diambil bekerja di dalam bidang yang dipelajarinya semasa dia berada di universiti. Semasa sesi temuduga biasanya kemahiran berkomunikasi dan keupayaan meyakinkan pihak penemuduga memainkan peranan yang penting bagi memastikan calon tersebut berjaya atau tidak dalam sesi berkenaan.

Dalam suasana pasaran kerja yang begitu sengit dewasa ini, objektif utama para graduan baru ialah untuk mendapatkan kerja (walau dalam apa bidang sekalipun). Adalah tidak pelik jika ada di antara kita yang mempunyai ijazah dalam bidang kimia tetapi di ambil bekerja dalam bidang pentadbiran awam, atau mempunyai ijazah sarjana dalam bidang teknologi maklumat tetapi bekerja dalam bidang pemasaran insurans.

Mungkin keadaan yang mendesak telah menyebabkan mereka merimaa sebarang jawatan yang ditawarkan walaupun ia tidak berkaitan dengan apa yang dipelajari. Mereka mungkin bertahan untuk tempoh waktu yang singkat sahaja dengan sesebuah organisasi tersebut sebelum mencari pekerjaan baru yang bersesuaian dengan mereka. Jika ini berlaku, organisasi akan mengalami kerugian dari segi kos lantikan dan kos latihan.

Seharusnya majikan perlu memastikan sumber manusia yang ada dalam organisasi terbabit di tempatkan mengikut kelayakan dan minat masing- masing. Ini bagi memastikan kualiti kerja yang terbaik dapat dihasilkan melalui kepakaran yang ada. Di dalam Al-Quran, Allah ada berfirman di dalam surah Yusuf ayat ke 55 : “Nabi Yusuf berkata : Jadikan saya penjaga perbendaharaan Sesungguhnya saya pandai menjaga lagi mengerti.”

Walaupun ada hadis nabi s.a.w yang melarang seseorang itu meminta sesuatu jawatan - seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : “Sesesungguhnya kami tidak akan melantik sesorang itu untuk sesuatu jawatan yang dimintanya”. – ini tidak bermakna sesorang itu tidak boleh meminta jawatan yang bersesuaian dengan kelayakannya. Malah ia tidak menjadi satu kesalahan jika dia sanggup dan mampu memikul amanah tersebut. Apa yang menjadi kesalahan di sini ialah kerana ia inginkan jawatan tersebut bagi tujuan bermegah-megah dan inginkan pangkat kemewahan dunia.

Dalam kisah nabi Yusuf ini, kerana minat dan kepakaran yang baginda ada, baginda telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai menteri ekonomi Mesir dengan begitu efektif sekali sehinggakan kemakmuran negara Mesir mampu dikongsi dengan penduduk negara jiran pada ketika itu

Pembaziran Idea

pembaziran idea

Seringkali pekerja yang mempunyai idea untuk memajukan sesebuah organisasi itu gagal untuk menyuarakan pendapat mereka kepada pihak atasan atau gagal untuk menyakinkan pihak atasan tentang pendapat mereka. Di dalam istilah pengurusan pengetahuan, ini dikenali sebagai pembaziran modal inteleks. Kegagalan ini sama ada disebabkan para pekerja takut untuk menyuarakan pendapat atau pun disebabkan kegagalan pihak pengurusan untuk menilai sesuatu idea yang diutarakan.

Dalam hal ini, pekerja perlu berani kerana idea yang bernas itu tidak semestinya datang daripada pihak atasan sahaja dan pihak pengurusan perlu bersikap lebih terbuka dalam menilai pendapat yang disuarakan.

Nabi s.a.w sentiasa bermesyuarat dengan para sahabat di mana pendapat mereka diambil kira dalam menentukan sesuatu keputusan. Sebagai contoh, baginda s.a.w menerima saranan Salman Al-Farisi supaya dibuat parit di sekeliling kota Madinah sebagai penampan dan usaha menghalang kaum musyrikin Mekah daripada memasuki kota tersebut semasa Perang Khandak.

Pembaziran Sumber Peralatan Pejabat

pembaziran kertas

Peralatan pejabat seperti telefon, faksimili, komputer, mesin fotostat dan sebagainya adalah hak milik organisasi dan ia perlu digunakan untuk tujuan pejabat sahaja. Kita sering menyalahgunakan kemudahan ini untuk tujuan peribadi. Sebagai individu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, kita perlu sedar bahawa setiap perbuatan kita sama ada yang elok atau yang sebaliknya akan diberi balasan oleh Allah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8 : “Maka sesiapa yang berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah, nescaya Dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, walaupun sebesar zarah, pun Dia akan melihatnya”

Justeru itu, penggunaan perlatan pejabat untuk tujuan peribadi dianggap sebagai satu pembaziran dari segi nilai ekonomi kepada organisasi dan merupakan satu kesalahan di sisi Islam. Pihak pengurusan perlu memandang serius masalah ini, walaupun secara kasar, kesannya tidak begitu besar. Ia perlu dibendung daripada peringkat awal lagi sebelum menjadi lebih serius.

Di samping itu, pihak pengurusan juga perlu menggalak para pekerja supaya mengamal konsep kitar semula seperti menggunakan kedua-dua belah muka surat untuk mencetak dokumen yang kurang penting, menggunakan kembali sampul-sampul surat yang telah dipakai untuk menghantar dokumen ke jabatan lain di dalam organisasi terbabit serta memastikan air dan elektrik digunakan tanpa pembaziran. Amalan kitar semula, di samping dapat mengurangkan kos operasi, ia juga sedikit sebanyak menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

Pembaziran Waktu

pembaziran masa

Pembaziran waktu selalunya dikaitkan dengan kegagalan pekerja untuk menggunakan masa yang berkualiti untuk meningkatkan produktiviti. Masalah ini biasanya dikaitkan dengan agensi-agensi kerajaan. Walaupun ada agensi-agensi swasta mengalami masalah yang serupa, tetapi masyarakat biasanya menuding jari ke arah jentera perkhidmatan kerajaan kerana ia mengendalikan urusan orang ramai dari pelbagai peringkat.

Masalah lewat datang ke pejabat, keluar minum di luar waktu rehat, keluar pejabat untuk mengurus hal peribadi dan seumpamanya adalah antara faktor-faktor penyumbang kepada masalah ini.

Semua pihak dalam organisasi perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab adalah amanah. Jika seseorang itu, baik pengurus atau pekerja bersikap amanah, sudah pasti segala kerja dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat dan produktiviti dapat ditingkatkan. Pelanggan pula tentu berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Kita perlu sedar bahawa kita mendapat gaji daripada kerja yang dilakukan. Daripada gaji yang diperolehi inilah kita gunakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang diperlukan. Gaji yang diperolehi melalui sumber yang tidak sepatutnya adalah haram dan setiap yang terhasil daripada sumber yang haram tiada tempat di sisi Islam.

Sabda nabi s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari : “Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari akhirat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka”.

Masalah pembaziran waktu ini boleh dikaitkan juga dengan sikap sesetengah individu sendiri. Sikap ini perlu diubah dan dalam hal ini peranan majikan amat penting dalam membentuk nilai-nilai yang murni pekerja menerusi latihan dan kursus ke arah pemantapan sakhsiah seseorang pekerja itu.

Kesimpulan

Pengurusan secara Islam lebih menitikberatkan kepada penyemaian nilai-nilai universal Islam ke dalam jiwa individu itu sendiri. Baik individu ini seorang pengurus, penyelia mahupun pekerja biasa. Sifat amanah dan bertanggungjawab bukan sahaja perlu ada dalam jiwa ketua, malah pekerja juga. Apapun, pekerja perlu menghormati ketua dan ketua pula perlu mengambil berat tentang kabajikan pekerjanya barulah persekitaran kerja yang harmoni dapat diwujudkan di dalam sesebuah organisasi tersebut.

Penulis Asal : Muhammad Hisyam Bin Mohamad 

Sumber : Ikim FM




Hakcipta iluminasi.com (2017)