Oleh pada 13 Mar 2018 kategori

sultan nazrin shah dan tuanku zara salim

Bahasa istana merupakan satu cabang bahasa Melayu yang kaya dengan warisan dan sejarah tersendiri dan bukan semua orang mampu menguasainya dengan baik. Bahasa istana mempunyai pelbagai penggunaan perkataan berbeza yang tidak digunakan dalam pertuturan seharian dan hanya diaplikasikan pada waktu-waktu tertentu.

Ada banyak sebenarnya gelaran dan panggilan yang digunakan bagi merujuk mereka yang terletak dalam golongan istana yang kerap kita gunakan. Pernahkah anda tertanya, dari mana datang gelaran-gelaran yang unik ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah beberapa gelaran pilihan yang kerap kita gunakan untuk merujuk individu pembesar istana serta sedikit catatan ringkas asal usul penggunaan gelaran tersebut.

1. Asal-Usul Perkataan Permaisuri

asal usul gelaran perkataan permaisuri

Gelaran 'permaisuri' mempunyai banyak pendapat tentang asal-usulnya. Yang paling ringkas, perkataan itu berpunca daripada gabungan dua perkataan iaitu 'permai' yang membawa maksud damai atau aman dengan 'suri' yang membawa maksud isteri. Bagaimanapun, pendapat paling kuat sebenarnya merujuk kepada perkataan sanskrit 'paramesvari' yang membawa maksud 'wanita tertinggi' atau dalam erti kata lain, raja perempuan.

2. Asal-Usul Gelaran Raja

asal usul gelaran dan panggilan raja

Gelaran 'Raja' yang kita gunakan sekarang ini bagi merujuk pemerintah tertinggi sesetengah negeri di Malaysia juga diambil daripada bahasa sanskrit dengan asalnya adalah perkataan 'rajan' yang membawa maksud 'pemerintah tertinggi sesebuah kota, wilayah atau kawasan.'

3. Asal-Usul Perkataan Putera / Puteri

asal usul gelaran nama putera puteri

Sama seperti gelaran permaisuri dan raja, gelaran 'putera' juga diambil daripada perkataan asal bahasa sanskrit 'putra' - yang membawa maksud anak lelaki. Begitu jugalah dengan perkataan 'puteri' yang diambil daripada perkataan asal 'putri', maksudnya pula anak perempuan. Perkataan 'jaya' juga diambil daripada bahasa Sanskrit jadi nama Putrajaya yang kita gunakan sebenarnya membawa maksud 'anak lelaki yang beroleh kemenangan.'

4. Asal-Usul Gelaran Agong

asal usul gelaran sultan

Asal-usul perkataan 'Agong' kelihatan seperti diinspirasikan daripada perkataan Tamil 'agung' yang membawa maksud 'tuan.' Bagaimanapun, mengapa ejaan 'Agong' yang dipilih dan bukan 'Agung' agak kurang jelas sejarahnya. KIsahnya, semasa usaha menghalang penubuhan Malayan Union sebelum merdeka, Majlis Raja-Raja memilih untuk menggunakan gelaran 'Yang Di-Pertuan Agong' dan bukan 'Yang Di-Pertuan Besar' yang dicadangkan. Dari situlah bermulanya gelaran Agong digunakan pada ketua pemerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kini, Malaysia.

5. Asal-Usul Perkataan Istana

asal usul perkataan istana

Secara asasnya, perkataan 'Istana' berasal daripada perkataan sanskrit 'sthana' yang membawa beberapa maksud berbeza bergantung kepada keadaannya. Dalam bentuk penulisan penerangan, 'sthana' membawa makna sesebuah negeri atau wilayah dan juga kekukuhan atau kestabilan kekuasaan seorang raja/pemerintah.

Dari segi fizikalnya, perkataan 'sthana' boleh juga merujuk kepada satu bangunan yang mempunyai tujuan tertentu, seperti sebuah kuil untuk bersembahyang atau rumah sebagai satu kediaman.

Sekiranya kita menyemak makna perkataan 'istana' menerusi takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebenarnya membawa maksud yang lebih kurang serupa dengan beberapa maksud yang dibawa oleh perkataan sanskrit 'sthana.'

6. Asal-Usul Gelaran Sultan

asal usul perkataan dan gelaran sultan

Selain gelaran Agong dan Raja, kita juga ada gelaran Sultan - dengan gelaran ini menjadi pilihan majoriti kebanyakan ketua pemerintah negeri di Malaysia, kecuali di Perlis yang menggunakan gelaran Raja.

Perkataan 'sultan' berpunca daripada perkataan Arab yang membawa maksud kekuasaan. Seiring dengan peredaran zaman, perkataan tersebut mula digunakan bagi mewakili individu-individu yang memegang kuasa dalam sesebuah kerajaan atau memerintah sebuah kawasan.

Ekoran populariti perkataan 'sultan' digunakan oleh pemerintah beragama Islam, 'sultan' selalunya hanya merujuk kepada pemerintah masyarakat Islam, dengan gelaran 'malik' selalunya digunakan bagi merujuk golongan Raja secara amnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)