Oleh pada 25 Mar 2017 kategori

cara jimat masa di pasar raya

Ibu atau bapa yang berkerjaya selalu merasakan masa terlalu mencemburui mereka. Asyik tak sempat. Terlalu sibuk nak buat semua benda. Nak pergi ke pasar raya beli susu tapi pelbagai halangan perlu ditempuh seperti anak buat perangai, trafik sesak, pasar raya padat dengan pelanggan dan macam-macam lagilah.

Di sini kami ingin berkongsi 9 tips agar anda dapat menjimatkan masa ketika membeli-belah di pasar raya.

#1 Sentiasa bersedia

Anda mungkin mempunyai hari dan waktu pilihan tersendiri untuk keluar membeli-belah tapi pernah tak kadang-kadang anda pergi ke kawasan berdekatan pasar raya atau memerlukan satu, dua barang sahaja secara tiba-tiba? Oleh itu, kami sarankan anda supaya sentiasa bersiap sedia dengan senarai barang yang anda ingin beli.

senarai barang telefon

Gunakan aplikasi "notes" dalam telefon anda untuk menyimpan senarai barang yang kehabisan di rumah. Senarai ini juga boleh dikemaskini dengan bahan resepi setiap kali anda mempunyai idea baru untuk memasak.

Anda tidak akan lagi terkial-kial sambil berjalan menonong memikirkan apa yang perlu dibeli apabila TERkunjung ke pasar raya.

#2 Ambil gambar

ambil gambar peti sejuk dan kabinet dapur anda 520

Jika anda tiada masa dan terlalu sibuk untuk membuat senarai, anda boleh juga gunakan bantuan teknologi dengan menangkap gambar sebelum anda pergi ke pasar raya. Ambil gambar bahagian dalam peti sejuk dan juga barang di kabinet dapur. Dengan ini, memori anda tidak akan lupa barang yang kehabisan atau ingin dibeli ketika di pasar raya. Cuma skrol saja galeri album gambar!

#3 Cara cepat membaca risalah edaran

baca risalah dengan pantas 796

Cara paling mudah dan cepat untuk membaca risalah pasar raya adalah dengan memberi perhatian pada muka surat paling hadapan dan paling belakang kerana di situlah terletaknya promosi jualan paling menguntungkan. Selain itu, anda juga boleh menyemak risalah untuk barang yang anda ingin beli.

#4 Fleksibel

Ada kalanya pasar raya akan kehabisan stok barang. Ada sesetengah orang sanggup menghabiskan masa dengan berkunjung ke pasar raya yang lain untuk mencari barang yang diinginkan. Namun, jika anda seorang yang sibuk, anda perlu menjadi lebih fleksibel.

fleksibel dan ubah resepi sekiranya bahan yang anda inginkan kehabisan stok

Sebagai contoh, jika anda tidak dapat membeli tomato ceri, gantikan dengan tomato bersaiz biasa. Ataupun jika anda tidak dapat membeli keju cheddar, boleh digantikan dengan keju parmesan dan sebagainya. Ini menjimatkan masa anda selain menjadikan anda seorang yang lebih kreatif di dapur!

#5 Minta bantuan

Luangkan masa seminit atau dua sahaja (maksimum) untuk mencari barang yang ingin dibeli. Sekiranya masih tidak dijumpai, jangan malu-malu untuk bertanya dengan pekerja yang paling hampir dengan anda.

masih ada pekerja supermarket ramah dan suka senyum

Walaupun ada sesetengah pekerja mengambil sikap sambil lewa, sombong dan tak mahu membantu tetapi sebenarnya masih ramai lagi pekerja berdedikasi di Malaysia ini.

#6 Beli dari kedai atau pasar raya yang lebih kecil

Anda sering membeli-belah di pasar raya besar dan hypermarket seperti Tesco, Giant dan Aeon? Kadang-kadang di pasar raya ini terdapat terlalu banyak jenama dan pilihan untuk sesuatu barang. Sebagai contoh, ada 27 pilihan mentega kacang yang membuatkan anda sendiri pening nak pilih yang mana satu. 15 jenama sardin dan 31 jenis susu pekat. Mana satu pilihan hati? Nak tengok harga, kuantiti, kualiti atau jenama?

ada kedai runcit berdekatan yang lagi murah daripada pasar raya besar

Benda ini sebenarnya mudah, tapi minda anda di'susah'kan sehingga memenatkan badan kerana sindrom 'analysis paralysis'. Oleh itu, sesekali anda boleh cuba pergi ke kedai runcit berdekatan rumah ataupun pasar mini seperti 99 Speedmart dan kedai sensei. Jimat masa, jimat wang dan jimat tenaga!

#7 Nak beratur di barisan mana?

Anda dah habis membeli barang dan menuju ke kaunter juruwang. Tapi semua kaunter penuh dan anda tak tahu nak beratur di belakang siapa?

Anda nampak dua orang lelaki sedang beratur dengan beberapa barang sahaja di tangan mereka. Anda juga nampak seorang wanita dengan troli yang melimpah di kaunter sebelah. Mesti anda rasa nak pergi ke kaunter pertama kan?

nak beratur di barisan mana satu

Menurut Profesor Dan Meyer, setiap orang di hadapan anda menambah 48 saat hanya untuk beredar. Walau bagaimanapun, hanya 2.8 saat sahaja diperlukan bagi setiap satu barang yang dibeli. Oleh itu, anda boleh cari dan beratur di belakang orang yang beli berpuluh jenis barang berbanding 2 orang yang membeli sedikit saja.

Selain itu, laluan bayaran tunai lebih pantas daripada bayaran kredit.

#8 Bungkus sendiri barang anda

Pernah tak cashier bungkus barang anda sampai terkoyak beg plastik sebab terlalu berat? Ataupun barang basah dicampur bersama barang kering? Ataupun dia bungkus sampai penyek roti anda?

Jika anda bawa beg sendiri, anda boleh susun dan bungkus sendiri barang-barang anda. Kumpulkan barang mengikut kategori seperti sejuk beku, barang sejuk, keropok serta roti. Asingkan barang berat dan ringan. Apabila anda pulang ke rumah, anda menjimatkan masa kerana kesemua barang ini boleh dikeluarkan bersama.

bungkus sendiri barang anda

Tapi kalau nak bungkus barang sendiri, buatlah dengan pantas serta efisien ya. Janganlah terhegeh-hegeh sehingga membuatkan barisan jadi panjang di kaunter.

#9 Beli barang tahan lama secara online

Anda boleh membeli barang yang tidak mudah rosak seperti sabun basuh baju, peralatan mandi, tisu dapur dan peralatan mencuci dari laman web beli-belah dalam talian. Selain menjimatkan masa, anda juga tidak perlu bersusah-payah ke pasar raya dan hanya menunggu barang tiba ke pejabat atau rumah.

beli barang kering dan peralatan rumah secara online dalam talian

Sekiranya anda belum bersedia dan masih ragu-ragu untuk membeli barang basah seperti ayam dan ikan secara dalam talian, anda masih boleh membeli makanan dalam tin, makanan sarapan pagi dan makanan kering di situ.

Ada sesetengah laman web memberikan kupon diskaun atau anda boleh perhatikan sendiri promosi yang ditawarkan. Bila tiba hujung minggu, anda cuma perlu beli barang basah sahaja di pasar raya. Jimat masa kan!


tags : , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)