Kitar semula sebenarnya bukanlah sekadar mengasingkan sampah mengikut kategori dan tong. Banyak lagi cara yang anda boleh fikirkan untuk mengitar semula bahan terbuang. Mungkin anda boleh ambil inisiatif dan idea organisasi-organisasi berikut untuk diaplikasikan dalam skala yang kecil pula dari rumah atau dalam komuniti anda:

#1 Produk-produk terbuang

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Eskilstuna, Sweden, sebuah pusat membeli-belah hanya dikhususkan untuk menjual hasil barangan lestari atau kitar semula. ReTuna Ã…terbruksgalleria merupakan kombinasi perkataan "Tuna" iaitu gelaran untuk nama bandar dan "Ã…terbruk" pula bermakna guna semula dalam bahasa Sweden.

Pusat membeli-belah dengan 9 buah kedai itu juga menjadi satu depoh pengumpulan di mana pelanggan boleh menghantar barang-barang yang mereka tidak lagi perlukan. Mereka menerima kesemua jenis produk termasuklah perabot, peralatan sukan dan pakaian. Barang-barang yang boleh dibaiki akan terus dijual semula di salah satu kedai.

Sekiranya barang itu tidak terjual, mereka akan dermakan kepada institusi lain seperti sekolah-sekolah, ataupun barulah dihantar untuk dikitar semula.

#2 Makanan terbuang

Pusat membeli-belah ini pula terletak di Minnesota, Amerika Syarikat. The Mall of America di Bloomington ini merupakan pusat membeli-belah terbesar di negara itu dan juga amat gigih bersaing untuk menjadi kompleks yang paling "hijau" di Amerika.

mall of america yang hijau dengan pokok dan tumbuhan

Antara usaha mesra alam sekitar yang dibuat oleh pihak pengurusan adalah seperti pemasangan lampu LED di kawasan tempat letak kereta, menyediakan tandas dengan penggunaan air yang cekap dan penanaman ribuan pokok dan tumbuhan.

Selain itu, kompleks membeli-belah ini juga mengitar semula minyak masak untuk dijadikan biodiesel serta mendermakan lebihan makanan kepada ladang khinzir tempatan. Setiap tahun, 2,400 tan lebihan makanan diberikan kepada ladang-ladang ini.

lebihan makanan terbuang didermakan kepada ladang khinzir

Di Malaysia pula, sebanyak 15,000 tan makanan dibazirkan setiap hari. Ramai yang tak ambil pusing pun pasal kitar semula. Tahukah anda 15,000 tan makanan ini boleh mengenyangkan 11 juta manusia lain dengan hidangan lengkap untuk 3 kali sehari?

#3 Selipar

Setiap tahun, dianggarkan 8 juta tan plastik terbuang memasuki lautan. Pencemaran ini bukan hanya disebabkan oleh botol air soda dan beg plastik yang membahayakan hidupan lautan. Pada tahun 1997, seorang penyokong pemuliharaan marin, Julie Church, terkejut melihat keadaan pantai di Kenya yang dipenuhi dengan selipar.

ocean sole arca penyu menggunakan selipar

Julie kemudian mendapati kanak-kanak di sana gemar membuat permainan menggunakan hasil buangan selipar ini. Lalu, Julie pun meyakinkan kaum wanita tempatan untuk mengumpulkan, mencuci dan memproses semua selipar terbuang ini menjadi objek seni yang berwarna-warni.

arca baru yang dihasilkan menggunakan selipar terbuang

Inisiatif kecil itu kemudian menjadi semakin besar hingga tertubuhnya Ocean Sole, sebuah perniagaan yang mengumpulkan selipar dari laut dan pesisiran pantai Kenya untuk digubah menjadi arca plastik, aksesori dan barang kodi. Selain menyelamatkan alam, Ocean Sole berjaya membuka peluang pekerjaan bagi wanita yang tinggal di pedalaman Kenya.

#4 Pampers

Knowaste merupakan sebuah syarikat dari Kanada yang diasaskan sejak tahun 1989. Syarikat ini mengitar semula produk kesihatan/kebersihan diri yang menyerap seperti lampin pakai buang, tuala wanita dan lampin dewasa.

Mereka telah mengusahakan kaedah untuk membuang bahan plastik dan fiber daripada produk-produk ini yang kemudian akan digunakan untuk menghasilkan produk baru seperti bahan pembinaan komposit, pasir kumbahan haiwan peliharaan ataupun sistem tiub kadbod perindustrian.

#5 Rambut

Matter of Trust yang berlokasi di San Francisco merupakan satu badan kebajikan ekologi yang memulakan program Clean Wave untuk mengumpulkan rambut dan bulu terbuang dari salon dan kedai gunting rambut. Mereka kemudian menggunakannya untuk membuat sejenis alat menyerupai tikar yang menyerap minyak dan juga menyumbat bum (containment booms).

Pasukan Hazmat akan menggunakan produk yang dihasilkan ini untuk membersihkan tumpahan minyak manakala jabatan kerja raya pula menggunakannya untuk mengelakkan titisan minyak daripada memasuki jalan air.

tikar rambut

Tikar rambut dan bum Matter of Trust telah digunakan untuk kerja-kerja pembersihan semasa tumpahan minyak BP Deepwater Horizon di Teluk Mexico pada tahun 2010.

#6  Krayon

Kilang pembuatan krayon jenama Crayola di Pennsylvania, Amerika Syarikat menghasilkan 12 juta batang krayon baru setiap hari. Oleh sebab itu, warna krayon amat mudah didapati dengan harga yang murah dan sering dibuang begitu sahaja apabila ia menjadi semakin pendek.

Tetapi ramai yang tidak menyedari bahawa krayon kebiasaannya diperbuat daripada lilin parafin dan tidak boleh terbiodegradasi. Untuk mengelakkan alatan seni ini merosakkan alam sekitar, seorang bapa telah menubuhkan satu badan bukan untung dinamakan The Crayon Initiative bagi mengumpulkan krayon terbuang dari pelbagai restoran dan sekolah.

krayon baru dihantar ke hospital kanak kanak

Krayon terkumpul kemudian dileburkan sendiri oleh bapa ini untuk menghasilkan batang-batang krayon baru. Krayon-krayon berwajah baru seterusnya didermakan kepada hospital kanak-kanak di seluruh California Utara untuk menceriakan hari mereka. Sudahlah menyelamatkan bumi, ditambah pula kebaikan dengan menggembirakan pesakit kecil. Pahala berlipat kali ganda!

Anda taknak ke pahala banyak macam tu? Recycle-lah!




Hakcipta iluminasi.com (2017)