Oleh pada 23 Feb 2018 kategori

elle fanning dalam 20th century women

Dunia sedang cuba mengangkat dan menyamaratakan taraf wanita dengan lelaki, melalui pelbagai cara. Salah satunya adalah dengan penggunaan filem yang mampu memberi kesan positif terhadap penontonnya.

Walaupun begitu, kebanyakan filem yang cuba mengangkat mesej wanita yang popular, selalunya mempunyai jalan cerita atau watak yang lebih sesuai untuk ditonton kaum lelaki, seperti filem Wonder Woman atau Mad Max yang mempunyai protagonis wanita berdikari namun filemnya tetap sebuah filem aksi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di mana filem untuk wanita sekiranya mereka tidak mahu menonton unsur-unsur keperwiraan dalam filem? Bagaimana sekiranya wanita mahukan sebuah filem yang mengangkat nilai wanita tanpa aksi keganasan? Berikut adalah 5 filem yang kami rasakan mampu membantu menyampaikan mesej positif tentang nilai seorang wanita, yang sesuai ditonton oleh seorang pihak dalam usaha memahami penat lelah hidup dalam dunia moden.

1. 20th CENTURY WOMAN

20th century women filem mengangkat nilai wanita

Filem ini mendapat reviu yang sangat baik dikalangan penggemar filem dan anda pasti akan faham mengapa, selepas selesai menontonnya. Menceritakan berkenaan pengalaman seorang budak lelaki yang mengharungi hidupnya tinggal dengan 3 orang wanita lain serta seorang lelaki dewasa, yang memberi kesan besar kepada hidupnya.

Merupakan sebuah filem yang cuba membincangkan berkenaan isu sosial dan hubungan sesama mereka, masalah serta isu yang dihadapi oleh mereka berlima adalah masalah yang kerap kali kita temui akan berlaku dalam hidup kita.

Pelakon veteran Annette Benning menjadi tunjang belakang filem ini dibantu oleh watak-watak yang digarap cukup kemas, dengan setiap 5 watak mempunyai peluang untuk membesar dalam filem. Kami mengesyorkan filem ini kepada golongan remaja, khasnya remaja wanita kerana banyak mesej tentang kehidupan disampaikan dalam filem ini. (Rujukan)

IMDB - 7.4, Rotten Tomatoes - 88%, Metacritic 83%

2. THE HELP

the help emma stone filem mengangkat nilai wanita

'The Help' adalah sebuah filem lakonan Emma Stone yang menceritakan berkenaan kisah rasisme yang berlaku di Amerika, satu masa dulu apabila golongan kulit putih menjadikan individu wanita berkulit hitam sebagai pembantu rumah mereka.

Emma Stone berlakon sebagai seorang wanita kulit putih yang berhasrat menjadi seorang penulis, lalu menjadikan hubungan yang berlaku di antara pembantu rumah berkulit hitam dengan majikan mereka sebagai subjek tulisannya. Tujuannya mahu menyedarkan masyarakat ketika itu berkenaan sistem yang mengamalkan prejudis terhadap masyarakat kulit hitam.

Bagaimanapun, niatnya yang baik itu dilawan oleh mereka yang sama bangsa dengannya, kerana tidak mahu keuntungan yang mereka perolehi itu hilang begitu sahaja. Filem ini adalah filem yang sangat sesuai untuk golongan wanita yang memerlukan sedikit inspirasi dalam hidup kerana tekanan yang dihadapi watak-watak wanita kulit hitam dalam filem tersebut, merupakan sesuatu yang masih berlaku sehingga ke hari ini. (rujukan)

IMDB - 8.1, Rotten Tomatoes - 75%, Metacritic 62%

3. THE LONG WALK HOME

long walk home filem mengangkat nilai wanita

Filem yang dibuat berdasarkan insiden digelarkan Montomery Bus Boycott yang tercetus akibat pengasingan tempat duduk dalam bas di Alabama, Amerika Syarikat ini adalah sebuah filem yang berjaya mengangkat nilai wanita kepada satu tahap yang tinggi.

Berikutan sistem sosial pada ketika itu yang masih lagi mengamalkan segregasi di antara warna kulit, Odessa, lakonan Whoopi Goldberg memilih untuk pergi bekerja sebagai pembantu rumah di rumah majikan kulit putihnya dengan berjalan kaki, setiap hari. Ekoran boikot yang diamalkan oleh masyarakat kulit hitam itu, sistem pengangkutan awam mengalami kerugian dan hidup masyarakat kulit putih terganggu disebabkan ketiadaan pembantu rumah.

The Long Walk Home memfokuskan kisahnya kepada hubungan yang terbina di antara Odessa dan Miriam serta bagaimana insiden yang berlaku, mengubah pandangan Miriam berkenaan masalah sosial yang dinafikan golongan berkulit putih di Amerika Syarikat waktu itu. (rujukan)

IMDB - 7.3, Rotten Tomatoes - 87%, Metacritic 73%

4. BEND IT LIKE BECKHAM

bend it like beckham filem mengangkat nilai wanita

'Bend It Like Beckham' adalah sebuah filem ringan yang mempunyai tema yang berat. Watak Jess, seorang gadis Punjabi yang dibesarkan dengan cara hidup yang ketat meminati sukan bola sepak, namun dihalang oleh keluarganya. Pertemuan secara tidak sengaja dengan seorang wanita lain bernama Juliette membuatkan Jess memberanikan diri bermain bola sepak secara lebih serius.

Mesej kekeluargaan cukup jelas dipaparkan dalam filem ini. Watak Jess yang berbelah bahagi di antara mengejar minatnya yang bercanggah dengan permintaan keluarganya banyak menghasilkan konflik yang mampu membuatkan kita sendiri mempersoalkan cara hidup yang dikenakan kepada kita.

Bagaimanapun, filem ini tetap menitik beratkan nilai dan pengaruh ibu bapa di dalamnya, dengan menjadikan keizinan ibu bapa sebagai satu faktor paling penting dalam hidup seorang gadis remaja yang mahu meningkat dewasa. (rujukan)

IMDB - 6.7, Rotten Tomatoes - 85%, Metacritic 66%

5. WHALE RIDER

whale rider filem filem mengangkat nilai wanita

Sebuah filem keluarga yang mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan bernama Pai yang menjadi satu-satunya waris sebuah suku kaum di New Zealand yang bernama Whangara. Namun oleh kerana jantinanya, Pai tidak layak untuk menjadi ketua kepada suku tersebut.

Kekuatan filem ini terletak di antara hubungan Pai dengan Datuknya, Koro yang membesarkannya dari kecil ekoran Pai yang ditinggalkan di bawah jagaannya. Koro yang berpegang kuat kepada tradisi tidak mempunyai waris yang layak untuk meneruskan tugasnya sebagai ketua suku namun Pai, yang menjadi tunjang utama filem ini merasakan dirinya layak - walaupun dia adalah seorang perempuan.

Kami syorkan anda menonton filem ini seisi keluarga. Selain daripada memaparkan visual New Zealand yang indah, kita juga dapat mempelajari corak hidup masyarakat etnik yang cuba mengekalkan tradisi mereka dalam zaman moden. Mendapat pujian banyak pihak serta mampu memperolehi markah 90% di laman web Rotten Tomatoes sehingga kini, 'Whale Rider' merupakan antara filem yang wajib anda tonton dalam memahami rintangan yang dihadapi kaum wanita setiap hari. (rujukan)

IMDB - 7.6, Rotten Tomatoes - 91%, Roger Ebert 4/4




Hakcipta iluminasi.com (2017)