Oleh pada 06 Dec 2017 kategori

adegan mark ruffalo keira knightley dalam begin again

Filem berkenaan muzikal memang banyak di pasaran tetapi filem berkaitan kisah hidup pemuzik mempunyai genre berbeza yang tetap ramai juga peminatnya. Negara kita mempunyai siri filem 'Rock' arahan Mamat Khalid dan juga 'Kembara Seniman Jalanan' arahan Nasir Jani, bagi memaparkan kehidupan seorang pemuzik atau seniman.

Genre ini walaupun bukan tergolongan dalam genre paling diminati di Hollywood berikutan wujudnya kecenderungan peminat filem dunia menyokong filem berbentuk blockbuster, filem yang membawa kisah kehidupan pemuzik tetap menjadi pilihan ramai pihak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 filem kisah hidup pemuzik terbaik yang perlu anda tonton, jika anda tidak sukakan filem bertemakan muzikal.

1. Walk The Line

walk the line reese witherspoon joaquin phoenix

'Walk the Line' merupakan filem biografi mengisahkan kehidupan awal penyanyi legenda Amerika Syarikat, Johnny Cash sebelum dia bergelar penyanyi. Lakonan hebat Joaquin Phoenix dan Reese Witherspoon sebagai Cash dan isterinya, June Carter ini membolehkan kedua-duanya tercalon dalam anugerah pelakon terbaik Academy Awards ke 78, dengan Witherspoon menang anugerah tersebut.

Kesemua runut bunyi filem ini dipersembahkan sendiri oleh Phoenix dan Witherspoon dan telah memenangi anugerah Best Compilation Soundtrack for Motion Pictures dalam anugerah Grammy ke 49. Patutkah anda tonton filem ini jika anda bukan peminat muzik Johnny Cash? Patut. Lakonan dan jalan cerita filem ini memang mempesonakan.

2. Almost Famous

almost famous kumpulan stillwater

Salah sebuah filem komedia yang diarahkan oleh Cameron Crowe, 'Almost Famous' menceritakan pengalaman seorang remaja berusia 13 tahun bernama William yang dibenarkan mengikut perjalanan sebuah kugiran bernama Stillwater, atas arahan editor majalah Rolling Stones.

Alpa dalam dunia baru yang disaksikannya sendiri, William mula berkawan baik dengan Russell (Billy Crudup) ketua kumpulan Stillwater serta temannya, Penny (Kate Hudson) menjelajah Amerika, melihat turun naik nasib kugiran tersebut. Cameron Crowe mengakui dia sebenarnya menulis filem ini berdasarkan pengalaman beliau menjadi penulis bersama majalah Rolling Stones semasa muda dan apa yang beliau saksikan pada ketika itu, diterjemahkan ke dalam filem ini satu per satu.

'Almost Famous' gagal di pawagam namun dicalonkan ke dalam empat kategori Oscar dengan skrip layar Crowe, memenangi kategori skrip terbaik.

3. That Thing You Do!

that thing you do kumpulan the wonders

Filem paling ceria antara semua filem yang disenaraikan, That Thing You Do! menjadi fenomena dunia semasa ditayangkan, dengan lagu temanya menjadi salah satu lagu paling popular bagi tahun 1996. Filem ini mengisahkan bagaimana sebuah kumpulan yang bernama The Wonders mengecapi populariti yang akhirnya terkubur disebabkan perpecahan dalaman sesama mereka.

'That Thing You Do!' tidak akan tergolong dalam salah satu filem terbaik yang pernah dibikin, tetapi impaknya pada pop culture dunia jauh lebih besar berbanding filem-filem lain dalam senarai ini. Kekuatan filem ini terletak pada kehebatannya menggambarkan kesan populariti pada sesebuah kumpulan yang pada ketika itu, masih lagi kurang matang dan bersifat terburu-buru mengejar nama. Kegembiraan yang mereka rasai ketika kali pertama mendengar lagu sendiri dimainkan di radio tidak akan lagi dapat dirasai oleh generasi muda akan datang.

4. Begin Again

begin again sesi rakaman

Filem 'Begin Again' keluar pada tahun 2014 dan kurang mendapat perhatian peminat filem. Bagaimanapun, bagi peminat filem arahan John Carney, 'Begin Again' merupakan sesuatu yang baru bagi mereka. Menampilkan Mark Rufallo (Avengers) sebagai Dan, seorang produser muzik yang hilang arah tujuan, dia bernasib baik menemui secara tidak sengaja seorang komposer dan penyanyi bernama Gretta (Keira Knightley) dalam satu sesi nyanyian terbuka di kelab.

Kerjasama di antara mereka berdua membantu kedua-duanya membina semula hidup mereka yang telah runtuh berikutan masalah-masalah peribadi. Dibantu oleh Adam Levine (vokalis Maroon 5), Catherine Keener dan Heilee Steinfeld, 'Begin Again' memaparkan perubahan yang berlaku dalam diri Dan dan Gretta semasa mereka sama-sama merakamkan album sulung Gretta, dengan lari daripada teknik ortodoks pembikinan album.

5. Once

once glenn hansard marketa irglova

Kami ramalkan filem ini akan terus kekal menjadi rujukan peminat filem berkaitan muzik berdekad lamanya. KIsah yang disampaikan dalam filem ini juga sangat ringkas sehinggakan dua watak utamanya tidak memerlukan nama diberikan. Jika 'Begin Again' merupakan filem John Carney yang lebih bersifat komersial, 'Once' adalah filem di mana hidup dua orang pemuzik yang berkenalan dan selebihnya dibiarkan penonton putuskan sendiri apa yang berlaku.

Jika filem ini tidak memfokuskan isinya pada jalan cerita, elemen lain yang benar-benar mengangkat filem ini adalah muzik yang dihasilkan hasil kerjasama mereka berdua semasa berkenalan, dalam tempoh waktu yang pendek. Muzik yang terhasil dalam kerjasama mereka benar-benar menghantui penonton dan sebagai penonton, sudah pastilah kita mahukan perkara yang terbaik berlaku pada mereka berdua. Pada akhir filem ini, pasti ramai yang sedar perkara terbaik yang kita mahukan untuk mereka berlaku, sebenarnya bukan yang terbaik untuk mereka berdua.

Kekuatan filem ini banyak dibantu oleh dua watak utama yang dipegang bukan oleh pelakon, tetapi dua orang pemuzik yang sedang bercinta ketika pengambaran filem ini berjalan. Keistimewaannya- kisah mereka berdua boleh berlaku pada sesiapa saja kerana filem ini memang filem kisah orang kebanyakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)