iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis4 900

Ahhh. Zaman remaja.

Satu zaman di mana kita sendiri tak tahu apa hala tujuan kita. Hidup dirasakan seperti berlalu dan kita setiap masa mencari peluang untuk mencuba sesuatu yang seronok supaya kita boleh ketawa dan ketawa dan ketawa. Aku dulu terikut jugak dengan beberapa perkara yang remaja buat seperti gosokkan duit syiling di dagu supaya kita ada parut lurus (nampak cool bro!) , simpan rambut panjang satu tocang walaupun kepala berambut pendek atau simpan kuku jari kelingking panjang supaya nampak macam taiko Cina.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bangang bila difikirkan apa kita buat tapi kalau nak dikatakan bangang, berikut adalah 5 perbuatan remaja yang berada di merata-rata tempat yang boleh dikategorikan sebagai "betul-betul bangang."

1. Cabaran Serbuk Kulit Kayu Manis

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis3

Anda tahu serbuk kulit kayu manis? Yang mak kita buat untuk jadi perencah masakan tu? Cabaran di internet bermula apabila ada pihak mencabar sesiapa yang berani untuk menelan satu sudu serbuk kulit kayu manis tanpa meminum apa-apa. Apa yang berlaku selepas itu? Oleh kerana serbuk tersebut sukar ditelan dan akan menyelaputi mulut dan tekak apabila kering sehingga menutup salur tekak, mampu menyebabkan batuk, tercekik atau lebih teruk lagi kerosakan paru-paru.

Dalam 3 bulan pertama trend ini bermula, pihak perubatan di Amerika mendapat beratus panggilan hanya disebabkan cabaran tersebut. Seorang pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital dan seorang budak berumur 4 tahun meninggal selepas tercekik serbuk tersebut.

2. Cabaran Kondom 1 dan 2

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis5

Cabaran nombor 1 ini yang bermula pada tahun 2006 melalui internet memerlukan seseorang menyedut sehelai kondom masuk melalui lubang hidung kemudian mengeluarkannya melalui tekak dan mulut. Risiko yang boleh berlaku adalah jika kondom tersebut tidak dapat dikeluarkan dari salur tekak seperti yang dirancang. Cabaran nombor 2 pula mempunyai risiko yang lebih besar. Mula popular pada tahun 2015, kondom akan diisi dengan air sehingga penuh dan peserta perlu memakai kondom tersebut seperti topi.

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis7

Apa yang akan berlaku adalah kondom tersebut mula mengambil bentuk kepala pelaku dan menutupi mulut dan hidung mangsa, lalu menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

3. Cabaran Api

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis2

Ramai yang dah saksikan video ini rasanya. Seorang individu merakam aksi beliau menyemburkan cecair gas ke atas badan lalu api dimulakan. Tanpa ada sebarang perlindungan, kulit melecur adalah hasil yang akan diperolehi. Salah seorang mangsa yang terlibat menyifatkan kesakitan yang ditanggung "tidak mampu digambarkan dengan kata-kata."

Belum masuk lagi risiko jika api menyambar bahan mudah terbakar lalu menyebabkan kebakaran lebih besar.

4. Cabaran Garam dan Ais

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis6

Sejujurnya, aku sendiri semasa menulis artikel ini baru mengetahui yang tindak balas garam dan ais mampu menghasilkan kesan kesejukan yang melampau. Dalam cabaran ini, peserta (peserta!) dikehendaki meletakkan garam di atas kulit yang terdedah lalu ditekapkan ais di atas garam tersebut. Peserta dikehendaki untuk bertahan seberapa lama yang boleh kesan kesejukan yang wujud.

Campuran ais dan garam akan menghasilkan suhu sejuk melampau sekitar -18 darjah celsius dan perasaan pada kulit sama seperti diserang serangan frostbite atau proses reput fros. Apa yang peserta rasakan adalah kesan panas seperti dilecurkan dengan besi yang sedang hangat.

5. Cabaran Pengsan/ Cekikan

iluminasi cabaran viral internet bodoh gila sadis8

Tolong jangan tiru apa yang aku tuliskan ini. Ini adalah untuk pengetahuan anda supaya anda tahu. Wujud satu cabaran di internet yang digelarkan The Choking Game atau The Pass Out Challenge di mana peserta akan bernafas dengan laju selama 30 saat, kemudian beliau akan berdiri bersandar di dinding sementara rakan akan menolak peserta rapat ke dinding di dada.

Oleh kerana nafas yang tercungap-cungap memerlukan pengudaraan oksigen yang lebih disertakan dengan tolakan di dada, badan akan kehabisan oksigen lalu menghentikan fungsi badan buat sementara waktu sebelum otak kembali mengarahkan badan menyedut oksigen.

Apa yang cuba dicapai oleh remaja terlibat, adalah rasa nikmat yang datang sewaktu badan mula kembali menyedut oksigen itu yang dikatakan satu pengalaman yang sangat ganjil. Risiko permainan ini pula sangat tinggi. Dengan menghentikan perjalanan darah ke otak, otak akan berhenti berfungsi. Boleh berlaku sawan jika tidak berjaya pulih dalam tempoh masa yang perlu atau lebih malang, berlaku kematian. Memang berlaku banyak kes kematian kerana cabaran gila ini.


Tidak dapat dipastikan kenapa remaja zaman sekarang terlalu ekstrim dengan apa yang mereka cuba lakukan sehingga membahayakan diri sendiri dan orang lain, hanya atas nama keseronokan.

Kami kongsikan artikel ini atas dasar pengetahuan kepada ibu bapa supaya lebih teliti dalam menilai apa yang dilakukan oleh anak-anak anda dan supaya golongan remaja menyedari betapa bahayanya kelakuan-kelakuan tidak bermoral yang amat mudah didapati di dalam internet.

Berwaspadalah setiap masa kerana kita adalah masyarakat yang matang dah tahu membezakan perkara yang baik dan yang buruk.


Pemberitahuan - pihak kami tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian buruk. Artikel ini ditulis untuk menyampaikan informasi dan kesedaran, bukan bertujuan untuk mempopularkan tabiat buruk yang disebut di dalam artikel ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)