Kebelakangan ini kita boleh perhatikan ramai sungguh usahawan muda dilahirkan. Ramai remaja dan anak muda yang menyimpan cita-cita nak buka perniagaan sendiri setelah mata sering disogokkan dengan imej usahawan popular yang kaya dan berjaya. Tapi tahukah anda ramai juga usahawan dan peniaga yang menemui kegagalan? Ada juga yang mula berbisnes dengan pinjaman sehingga tanggung hutang ratusan ribu ringgit apabila tersilap langkah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut kami kongsikan 10 punca kenapa perniagaan baru sering gulung tikar:

1. Gagal dalam pengurusan kewangan

Ramai peniaga yang melakukan kesilapan kiraan keuntungan. Mereka hanya nampak untung kasar tanpa mengambil kira kos-kos tersembunyi. Ini sekaligus menyebabkan perniagaan itu beroperasi dalam kerugian sehingga akhirnya bungkus.

Selain itu, ramai juga usahawan yang tidak tahu mengawal kuantiti stok dan inventori.

2. Tidak cukup pengetahuan dan pengalaman

Ramai usahawan yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara membabi buta tanpa ilmu di dada. Sebenarnya nak berniaga ni perlu dalami ilmu dulu. Banyak cabang ilmu dalam perniagaan yang perlu dipelajari seperti ilmu pemasaran, ilmu perakaunan, ilmu pengurusan dan khidmat pelanggan.

Sekarang ada banyak kelas dan seminar yang dianjurkan untuk mendidik usahawan baru. Ada yang percuma, ada yang mengenakan caj sehingga berbelas ribu. Yang ini, pandai-pandailah ukur bajet di badan sendiri.

tidak cukup pengetahuan boleh menyebabkan perniagaan merosot

Usahawan baru perlu berguru dan dapatkan tunjuk ajar daripada peniaga-peniaga senior. Ini disebabkan mereka telah terlebih dahulu 'makan garam' dan tahu selok-belok perniagaan. Seelok-eloknya, cari guru/mentor daripada jenis perniagaan yang sama.

3. Berniaga produk atau perkhidmatan yang bukan kepakarannya

Ada sesetengah usahawan yang memang tabiatnya suka ikut orang lain. Orang berniaga kosmetik, dia nak berniaga kosmetik. Orang buat perkhidmatan fotografi, dia pun nak tawarkan perkhidmatan yang sama.

Seboleh-bolehnya elakkan daripada meniru perniagaan lain. Gunakan sendiri kemahiran dan kepakaran yang anda ada. Sebagai contoh, anda pandai menjahit, maka bukalah kelas menjahit atau hasilkan produk yang dijahit. Ataupun anda gemar menghias rumah, maka tawarkan perkhidmatan rekaan dalaman atau personal shopper perabot.

Jual produk atau tawarkan perkhidmatan yang anda mahir dan suka. Barulah anda tak rasa tertekan dan sentiasa gembira dalam perniagaan.

berniaga mungkin memerlukan anda kerja lebih masa atau pada hujung minggu

4. Enggan kerja teruk

Ramai usahawan muda hanya nampak wang ringgit, kemewahan dan keuntungan hasil perniagaan. Tapi mereka tak mahu berusaha keras. Kata orang, "bukan senang nak senang." Ada perniagaan yang memerlukan anda kerja lebih masa, bekerja pada hujung minggu, tak cukup tidur, perlu angkat barang berat-berat ataupun terpaksa selalu berjauhan dengan keluarga. Pendek kata, mesti ada sedikit pengorbanan sebelum anda betul-betul berjaya.

Tanyalah mana-mana usahawan sekalipun, tak ada sesiapa yang mulakan perniagaan dengan goyang kaki duduk depan tv tanpa berusaha keras.

5. Himpunan modal (capital) yang tidak cukup

Modal di sini bukan hanya bermakna anda perlu keluarkan wang yang besar untuk memulakan perniagaan. Wang modal anda ini perlu 'bekerja keras' untuk mendapatkan kembali keuntungan dengan jumlah yang sama.

Anda tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja besar atau buat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan. Yang penting, modal anda perlu cukup untuk menampung operasi perniagaan selama sekurang-kurangnya setahun. Selain itu, pengurusan wang modal ini juga perlu dibuat dengan baik. Kalau tidak diuruskan dengan baik, boleh hangus begitu sahaja.

khidmat pelanggan teruk boleh menyebabkan pelanggan lari

6. Networking lemah

Dalam apa-apa perniagaan yang diceburi sekalipun, networking adalah sangat penting. Anggaplah urusan networking ini sebagai hubungan silaturrahim sesama peniaga, pembekal, pelanggan dan semua orang yang terlibat dalam perniagaan anda. Networking yang bagus membolehkan perniagaan anda berkembang dengan lebih pesat.

Ramai usahawan baru sekarang gagal mempunyai jaringan network yang padu. Malah, ada usahawan yang lebih teruk dengan melayan pelanggan seperti sampah. Fail sungguh dalam memberikan khidmat pelanggan yang mesra. Tanpa pelanggan, anda tak ada bisnes tau! 

7. Sikap malas

Ada usahawan yang tidak mahu berusaha dengan gigih dalam menjalankan perniagaan. Mereka enggan keluar atau turun padang untuk memantau dan melihat sendiri bagaimana perniagaan lain dijalankan. Ada juga yang kurang motivasi dan tidak berdisiplin semasa berniaga. Sebagai contoh, kedai dibuka tidak mengikut waktu operasi, berniaga main-main ataupun kerap mahu cuti.

banyak liku liku dan dugaan dalam perniagaan

8. Tidak tahu / tidak mahu menyelesaikan masalah

Apabila timbul sesuatu isu dan perniagaan menemui krisis, ada usahawan yang tidak mahu menyelesaikannya dan sanggup membiarkan masalah itu berlarutan. Ketahuilah bahawa semua perniagaan akan mengalami banyak dugaan pada bila-bila masa. Cara anda menanganinya akan menentukan kejayaan perniagaan anda, maka tanganilah semua isu dengan bijak.

9. Terlalu fokus pada produk semata-mata

Ada usahawan yang tidak dapat berfikir secara meluas. Mereka lebih banyak memberikan penekanan pada produk tanpa memikirkan hal-hal lain seperti kaedah pemasaran berkesan dan khidmat pelanggan yang baik. Seorang usahawan yang bijak dan berjaya akan mengambil kira segala faktor yang mempengaruhi perniagaan mereka.

Disebabkan itulah ilmu perniagaan itu penting untuk dipelajari. Bukan sekadar seronok-seronok nak berniaga.

dapatkan sokongan daripada ahli keluarga dan kelilingi diri dengan orang positif

10. Tidak mendapat sokongan moral

Ada usahawan baru yang mendapat tentangan hebat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan. Ini menyebabkan mereka berasa sangat tertekan dan down sehingga mereka hilang fokus untuk meneruskan perniagaan. Ada juga usahawan yang dikelilingi oleh orang-orang negatif yang sering memandang rendah kepada mereka.

Sebaik-baiknya, bawa berbincang dengan pasangan atau ahli keluarga sebelum meneruskan dengan rancangan berniaga. Siapkan kertas kerja ramalan untung rugi dan pelan perniagaan anda supaya mereka lebih faham hala tuju idea anda. Barulah mereka hilang rasa ragu-ragu dan terus menyokong anda dari belakang.

Selamat memulakan perniagaan!




Hakcipta iluminasi.com (2017)