Di Malaysia, ibu yang baru melahirkan berhak mengambil cuti minimum selama 60 hari dari tarikh bersalin. Walau bagaimanapun ada sesetengah syarikat yang bermurah hati memberikan cuti 90-120 hari kepada pekerja. Tapi tahukah anda, ada negara yang beri cuti sampai setahun untuk mereka yang baru melahirkan anak?

#10 Finland

finland 898

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ibu mengandung di negara ini boleh mula mengambil cuti materniti seawal 7 minggu sebelum tarikh dijangka bersalin. Kemudian kerajaan membiayai 16 minggu cuti bersalin berbayar melalui satu geran yang tidak mengira sama ada ibu itu seorang pelajar, penganggur atau bekerja sendiri.

Para bapa pula menerima 8 minggu cuti paterniti berbayar. 

Selepas anak menjangkau usia 3 tahun, ibu bapa juga dibenarkan untuk mengambil cuti menjaga anak di mana mereka boleh membahagikan masa antara keluarga dan kerja. Cuti khas ini hanya dibenarkan sehingga anak berusia 8 tahun.

#9 Sweden

sweden

Ibu bapa di Sweden dibolehkan mengambil cuti sebanyak 480 hari pada kadar 80% bayaran gaji. Ini tidak termasuk 18 minggu cuti bersalin yang diberikan khas untuk ibu. Para bapa mendapat cuti khas paterniti sebanyak 90 hari kerana kerajaan Sweden memberi pendekatan bahawa bapa juga perlukan masa untuk lebih akrab dengan anak dan ibu juga memerlukan perhatian dari si bapa selepas bersalin.

#8 Iceland

iceland

Di Iceland, kedua-dua ibu bapa boleh membahagikan sama banyak cuti bersalin sebanyak 9 bulan. Setiap seorang ibu dan bapa mendapat 3 bulan cuti dan mereka boleh berbincang bagaimana mahu membahagikan baki 3 bulan selebihnya.

Setiap ibu bapa dibayar 80% daripada gaji mereka sepanjang tempoh bercuti.

#7 Denmark

denmark

Ibu di Denmark mempunyai cuti materniti sebanyak 18 minggu : 4 minggu sebelum tarikh bersalin dan 14 minggu selepas bersalin. Mereka juga dibayar gaji penuh sepanjang tempoh bercuti. 

Semasa dalam tempoh 14 minggu itu, bapa boleh memilih untuk mengambil cuti 2 minggu secara berterusan pada bila-bila masa.

Kemudian, kedua-dua ibu bapa boleh membahagikan 32 minggu cuti tambahan. Mereka juga ada pilihan untuk memanjangkan cuti bersalin sekiranya anak atau ibu bapa jatuh sakit.

#6 Serbia

serbia

Para ibu dibenarkan mengambil cuti 20 minggu dan dibayar gaji penuh selepas melahirkan.

Setelah itu, mereka juga boleh mengambil cuti tambahan selama setahun, namun pampasan bayaran akan berkurangan secara berperingkat. Pada 26 minggu pertama mereka masih menikmati bayaran gaji 100%, diikuti bayaran gaji sebanyak 60% dari minggu 27 hingga 39 dan akhirnya dikurangkan menjadi 30% pada minggu selebihnya.

#5 Belgium

belgian

Kerajaan Belgium memberi cuti sehingga 15 minggu untuk ibu yang melahirkan. Pada 30 hari pertama anak dilahirkan, mereka dibayar 80% daripada gaji dan 75% untuk waktu cuti selebihnya. Mereka juga mempunyai pilihan untuk mengambil cuti part-time selama 8 bulan jika tidak mahu menggunakan cuti berterusan selama 15 minggu ini.

Bapa pula menerima cuti sebanyak 10 hari dan 3 hari daripadanya dibayar 100%. Baki 7 hari itu akan dibayar 82% sekiranya dihabiskan dalam masa 4 bulan.

#4 Estonia

estonia

Dalam artikel sebelum ini, kerajaan dari wilayah Baltik ini telah tersenarai sebagai salah sebuah negara yang menawarkan sistem pendidikan terbaik di dunia. Selain pendidikan, negara ini juga menawarkan polisi cuti bersalin yang terbaik untuk mereka yang sudah berkeluarga.

Ibu-ibu di Estonia diberikan cuti 140 hari yang dibayar gaji penuh yang boleh diambil seawal 30-70 hari sebelum due date. Para bapa pula diberi cuti paterniti sebanyak 2 minggu.

Selepas cuti bersalin tamat, kedua-dua ibu bapa diberikan cuti tambahan sebanyak 435 hari untuk dikongsi bersama dengan bayaran gaji yang dibayar secara purata.

#3 Norway

norway

Kerajaan Norway sememangnya terkenal dengan polisi mereka yang amat fleksibel dan amat menjaga keharmonian hidup rakyat. Ibu-ibu di negara Scandinavia ini boleh memilih cuti bersalin selama 35 minggu dibayar penuh atau 45 minggu dengan bayaran 80% gaji.

#2 Hungary

hungary

Di Hungary, ibu boleh mengambil cuti selama 24 minggu yang dibayar sebanyak 70%. Cuti ini boleh bermula seawal 4 minggu dari tarikh dijangka bersalin. Bapa pula diberikan cuti seminggu yang dibayar penuh.

Selepas habis cuti bersalin, ibu bapa boleh mengambil cuti tambahan selama 156 minggu yang boleh dikongsi bersama dengan bayaran 70% daripada gaji.

#1 Lithuania

lithuania

Negara-negara Nordic dan Scandinavia sering mendapat perhatian dengan polisi terbaik mereka, namun negara ini mungkin dapat mengatasi semua negara!

Ibu di Lithuania boleh mengambil cuti 18 minggu dibayar penuh, bapa pula diberi cuti selama 4 minggu. Kemudian mereka diberi cuti tambahan selama 156 minggu untuk dikongsi.

Untuk cuti tambahan tersebut, pasangan boleh memilih sama ada mereka ingin dibayar penuh sehingga anak berumur 1 tahun (52 minggu) atau dibayar 70% sehingga anak berumur 2 tahun (104 minggu). Minggu selebihnya adalah tidak dibayar.

Perghhh. Dahlah boleh cuti setahun dua, pastu gaji tetap masuk setiap bulan. Mungkin anak tak ramai kot. Apa-apa pun, syukurlah dapat cuma 60 hari cuti pun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)