Oleh pada 02 May 2017 kategori

Bagi mereka yang kreatif, pastinya anda mempunyai idea-idea yang menarik untuk dihasilkan. Terdapat pelbagai pertandingan yang mengetengahkan bakat mereka yang kreatif bagi menghasilkan produk-produk yang membantu meningkatkan taraf kehidupan manusia dan juga menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi di zaman moden ini. 

Antara usaha kerajaan untuk mengetengahkan bakat seperti ini adalah dengan mengadakan pertandingan seperti "MyInovasi" di mana ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar di peringkat institusi perngajian tinggi untuk menghasilkan ciptan masing-masing.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara ciptaan yang menarik perhatian kami adalah pemenang yang merangkul johan dalam MyInovasi 2014 iaitu pelajar-pelajar daripada Universiti Tun Hussein Onn yang diketuai Mohd Lutfi Bin Suhaimi, dengan ciptaan mereka 'Self-Lifted Stand for Motorcycle Safety (SMARTS)'. Ciptaan mereka amat ringkas, namun dapat memberikan manfaat yang sangat besar kepada penunggang motosikal. Mereka juga telah mewakili Malaysia dalam pameran Seoul International Invention Fair 2015 di Korea Selatan dan dianugerahkan pingat emas.

a design award

Pertandingan lain peringkat dunia juga mencetus idea-idea yang menarik daripada seluruh pelusuk dunia. A'Design Award and Competition, salah satu pertandingan untuk pereka, pencipta dan syarikat-syarikat yang ingin mengetengahkan diri mereka untuk menarik perhatian media, penerbit dan pembeli. Di dalam dunia yang serba canggih ini, terdapat berjuta-juta produk dan rekaan dihasilkan setiap tahun. Anugerah ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada rekaan dan ciptaan yang benar-benar unik, praktikal dan juga memberi manfaat kepada orang ramai.

Iluminasi.com ingin berkongsi 10 ciptaan menarik dan sangat berguna, yang telah mendapat Anugerah A'Design pada tahun 2016 hingga 2017.

1. Kotak kentang goreng

little pocket 2

little pocket 139

Nama ciptaan : Little Pocket

Nampak sangat ringkas dan mudah bukan? Tapi ianya sangat memukau minda, dan memudahkan hidup mereka yang sukakan makanan segera. Sebelum ini pasti anda sukar untuk menikmati kentang goreng dengan sos, kerana bekasnya tidak menyediakan tempat untuk meletakkan sos, jadi anda perlukan bekas asing. Ini menyukarkan anda untuk makan, kerana anda hanya mempunyai 2 tangan sahaja, lebih-lebih lagi jika anda sedang berjalan atau memandu.

Namun, dengan ciptaan bijak oleh Dong Jiang dari University of Electrionic Science and Technology of China ini, anda kini boleh menikmati kentang goreng kegemaran anda, tanpa memerlukan bekas asing untuk sos. Selain itu, ia juga mengurangkan penggunaan bekas, justeru mengurangkan pembuangan sampah. Hats off!

2. Pembungkus mi segera

enjoy your moment

Nama ciptaan : Enjoy Your Moment

Bagi yang meminati makanan bersup, sudah tentu ciptaan ini dapat membuatkan hati anda sangat gembira. Ciptaan oleh Chen Yuru dari LuXun Academy of Fine Arts, China ini telah mempunyai ciri-ciri yang pintar, di mana apabila bekas ini tidak digunakan, saiznya adalah lebih kecil berbanding apabila digunakan. Chen mendapat inspirasi untuk mencipta bekas ini kerana, dengan cara pembungkusan yang sedia ada, ianya mengehadkan cara dan kenikmatan kita untuk menikmati makanan bersup.

Dengan ciptaan ini, ia lebih praktikal dan mudah, selain lebih bersih kerana ketika pengguna sedang menyediakan mi segera, mereka boleh meletakkan garpu pada tempat khas yang disediakan, yang mana sebelum ini hanya diletakkan di atas meja. Juga, apabila anda mahu menikmati hidangan, dengan saiz mangkuk ini yang boleh dikembangkan dapat meningkatkan rasa selesa anda untuk makan, seolah-olah anda menggunakan mangkuk yang sebenar. 

3. Makanan dan minuman untuk kucing jalanan

meow the cat nutrition for stray cats

Nama ciptaan : Meow - The Cat Nutrition for Stray Cats

Anda pencinta haiwan, terutamanya kucing? Pasti setiap kali anda ternampak kucing di jalanan, hati anda tergerak untuk memanggil mereka lalu mengusap-usap sambil bercakap dengan kucing-kucing itu. Kerap kalinya kucing-kucing jalanan ini seolah-olah meminta makanan dengan 'meow' pada anda. Anda yang tidak sampai hati membiarkan, pasti akan singgah di kedai runcit membelikan makanan untuk mereka. Ciptaan oleh Bahar Bosntanci dari Turki ini memudahkan lagi anda memberi makan, malah minum kepada kucing jalanan. Yang ada di kedai-kedai sekarang adalah makanan, dan bukan minuman.

Ciptaannya diinspirasikan daripada situasi di Turki yang mana terdapat terlalu banyak kucing jalanan sehinggakan didokumentarikan mengenainya. Kebanyakkan mereka yang pencinta kucing akan selalu membawa makanan di dalam kereta atau beg, dan memberikan makanan jika terjumpa dengan kucing jalanan. Tapi yang paling sukar adalah bukan memberi makan, tetapi memberikan air bersih atau mencari bekas untuk dituangkan air kepada kucing-kucing tersebut. Idea ciptaan ini adalah untuk memberikan makanan dan juga air bersih dan segar dalam satu bekas kepada kucing jalanan. Ciptaan ini juga telah mendapat tempat pertama pada Ikmib Packaging Design Award di Turki.

4. Beg durian

safe durian

Nama ciptaan : Safe Durian

Durian digelar raja buah kerana ia adalah sejenis buah yang boleh memberi banyak manfaat kepada badan kita. Namun, ramai juga yang berpendapat gelaran itu diberi kerana struktur dan komposisi dan bentuk pada buah itu sendiri, yang mempunyai duri keras dan tajam. Biasanya mereka yang menggemari raja buah ini menghadapi masalah ketika membeli buah ini. Plastik yang digunakan untuk membawa durian kebiasaanya adalah plastik biasa, yang mudah terkoyak akibat durinya, dan sukar untuk dibawa dan disimpan ke dalam kereta. Bukan itu sahaja, durian juga boleh mencederakan kita, lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Ciptaan Wenzhou Vocational & Technical College, China ini boleh membantu menyelesaikan masalah ini. Ia direka menggunakan bebola kertas yang dikitar semula, dan boleh diguna semula. Dengan ciptaan ini anda boleh dengan selamat membawa durian yang dibeli, dan juga beg ini boleh menampung pelbagai jenis saiz durian. 

5. Kerusi dua fungsi

grow up

Nama ciptaan : Grow Up

Jika anda mempunyai anak kecil, pastinya anda memerlukan kerusi bayi di rumah, yang mana untuk memudahkan anda memberi makan kepada anak kecil anda. Namun, apabila anak anda semakin membesar, kerusi ini tidak lagi diperlukan, dan anda mungkin perlu menyimpannya di dalam stor, sekaligus menyebabkan pembaziran wang dan ruang.

Ciptaan oleh Yong Zhang daripada Lianon Shihua University dapat menyelesaikan masalah ini, di kerusi ini dicipta dengan fungsi yang pelbagai, yang boleh digunakan oleh kanak-kanak kecil dan juga dewasa. Ia sekaligus dapat mengurangkan pembaziran. Ciptaan ini juga amat berguna bagi restoran-restoran kerana ia dapat digunakan oleh kedua-dua tahap umur. Kebiasaanya, kerusi kanak-kanak berasingan dan ia mengambil ruang lebih untuk disimpan jika tidak diguna. Hanya perlu terbalikkan kerusi ini untuk menggunakan fungsi kanak-kanak dan dewasa.

6. Topi keselamatan

eye safety

Nama ciptaan : Eye safety

Semua sedia maklum, kerja-kerja di tempat pembinaan adalah amat berbahaya, kerana itu anda boleh melihat papan-papan tanda yang menegaskan tentang keselamatan, 'Safety First' di serata kawasan. Banyak kes-kes kematian melibatkan pekerja binaan, antaranya adalah dihempap oleh objek yang terjatuh dari atas. Ya, memang ianya wajib untuk mereka memakai topi keselamatan untuk melindungi kepala, tetapi sejauh manakah keberkesanan topi keselamatan tersebut. Jika ada objek yang berat dan keras jatuh dari atas, sudah tentu topi keselamatan apa pun tak akan dapat menyelamatkan anda.

Terima kasih kepada Liu Mingde dari Wuhan University of Technology, masalah ini boleh berakhir. Topi rekaannya ini mempunyai pengesan ultrasonik di bahagian atas produk ini, dan jika terdapat objek besar yang jatuh dari atas, ia akan dapat dikesan. Pengesan ultrasonik itu akan mengaktifkan penggera bunyi untuk memberitahu pemakai topi tersebut, melalui earphone. Jadi, produk ini dapat mengelakkan pekerja daripada mengalami kecederaan serius yang boleh menyebabkan kematian.

7. Pengering payung

ultradry

Nama ciptaan : UltraDry

Bagi bandar besar seperti Kuala Lumpur, pastinya ramai orang menggunakan kenderaan awam, lebih-lebih lagi pada waktu keluar dan pulang kerja. Dengan cuaca tropikal di Malaysia yang kerap hujan, pasti ramai yang akan membawa payung ke mana sahaja mereka pergi. Dan jika anda membawa payung yang basah masuk ke dalam kenderaan awam, air-air tersebut akan jatuh ke atas lantai bas atau LRT. Ia juga mungkin terkena kepada orang lain, seterusnya menyebabkan kenderaan menjadi basah, kotor dan menyebabkan penumpang lain tidak selesa. Air-air ini juga berkemungkinan menyebabkan lantai menjadi licin dan boleh mengundang kecederaan. Menurut statistik, hampir 30% penumbang bas terjatuh disebabkan lantai licin. Ia lebih buruk lagi jika terjadi kepada warga emas atau wanita mengandung.

Ciptaan yang dihasilkan oleh National Taipei University of Technology, Taiwan ini mampu memberikan perubahan kepada situasi ini. Ketika menunggu bas, tidak banyak yang anda boleh lakukan. Selain daripada bermain dengan telefon pintar, waktu ini boleh digunakan untuk memastikan payung anda kering dengan baik sebelum menaiki kenderaan. Dengan UltraDry, anda boleh mengeringkan payung anda dan mengelakkan lantai daripada basah, seterusnya mengurangkan risiko terjatuh. Dengan meletakkan rekaan ini di tempat-tempat awam, ia dapat meningkatkan taraf dan pengalaman perjalanan awam.

8. Botol syampu boleh laras

shampoo bottle 683

Nama ciptaan : Shampoo Bottle

Kebiasaanya, kita akan menggunakan jumlah syampu atau sabun badan yang kita tidak tahu jumlahnya. Kita hanya akan menekan berkali-kali hingga kita merasakan ianya cukup. Namun, kadang-kadang kita terlebih tekan kepala syampu tersebut, lebih-lebih lagi kanak-kanak, yang akan menyebabkan pembaziran syampu dan juga air untuk membilas. Dengan ciptaan ini, pembaziran ini dapat dielakkan dengan mudah. Bahagian yang mengeluarkan syampu pada botol syampu ini boleh dilaras mengikut kemahuan pengguna. Ia boleh dilaras dengan mudah, hanya dengan pusingkan penanda kepada warna yang mewakili jumlah syampu.

Sebagai contoh, jika kanak-kanak memerlukan jumlah yang sedikit, pusingkan pelaras kepada warna biru yang mewakili 3ml. Dan jika anda mempunyai rambut yang panjang, laraskan pelaras ke warna kuning mewakili 5ml, atau merah mewakili 7ml dan seterusnya. Mudah dan menjimatkan wang anda.

9. Kotak rokok

tobacco teeth 334

Nama ciptaan : Tobacco Teeth

Tujuan ciptaan kotak ini adalah untuk mengiklankan kempen anti-merokok. Umum tahu bahawa merokok membahayakan bukan sahaja kesihatan perokok, malah kesihatan orang mereka. Imej kotak rokok ini mempromosikan kesedaran bagi perokok melalui 3 jenis kesan visual. Gambar pada kotak rokok tersebut yang mempunyai ruang lutsinar pada mulut, menyebabkan rokok-rokok tersebut kelihatan seperti gigi. Selepas perokok menghisap beberapa batang rokok, imej pada kotak tersebut seolah-olah seperti kehilangan gigi, yang boleh memberikan kesedaran tentang penyakit berbahaya kepada perokok itu sendiri.

10. Cawan kopi ber-termometer

coffee cup

Nama ciptaan : Coffee Cup

Pencipta ciptaan ini, Yi Teng Shih dan kumpulannya, dari University of Nottingham Ningbo, China, menyedari melalui kajian yang dibacanya, bahawa, ramai pekerja pejabat biasanya akan membeli secawan kopi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Mereka yang membeli minuman tersebut selalunya tidak sedar akan suhu yang panas pada kopi tersebut yang boleh menyebabkan lidah mereka melecur. Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka mencipta cawan kopi yang mempunyai termometer bagi memberitahu suhu sebenar kopi tersebut. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan lidah daripada melecur, malah dapat memberikan pengguna kebebasan untuk menentukan suhu minuman yang mereka gemari.

Sumber : A'Design Award & Competition




Hakcipta iluminasi.com (2017)